Saturday, March 28, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...2

Mohon maaf kerana perkongsian pengalaman menjadi tetamu Allah terhenti lama. Terima kasih yang bertanya bila nak sambung cerita...insya-Allah akan terus menulis dan berkongsi selagi diizinkan Allah...

Dari Hujjaj terminal (Jeddah) kami dibawa dengan bas menuju ke hotel penginapan kami di Mekah. Nombor bas memang dah awal-awal ditulis pada pelekat maktab. Jadi selepas berkumpul mengikut nombor bas yang dipegang petugas TH kami pun berjalan keluar dari terminal menuju ke deretan bas yg telah menunggu. Sementara pekerja-pekerja terminal mengangkut beg-beg kami ke atas bas, kami dijamu dengan makan tengahari. Sukar juga nak menggayakan hidangan nasi ayam yg disediakan dalam keadaan tempat duduk bas yang agak sempit, Alhamdulillah akhirnya aku berjaya juga menyesuaikan diri dan menikmati kelazatan hidangan nasi ayam Arab yang pertama dalam hidupku.

Jarak perjalanan dari Jeddah ke Makkah mengambil masa kira-kira 1 jam lebih (100+ km). Kami sampai di Mekah ketika maghrib telah melabuhkan tirainya. Di Mekah waktu maghrib awal (kira-kira jam 5:49p.m) Alhamdulillah, akhirnya kami sampai juga ke tanah haram yang dirindui sejak sekian lama. Seribu satu perasaan menyelinap segenap ruang hati, sebak, syukur, gembira, takut.. Aku dan suami mula membaca doa ketika melihat Kota Mekah. Terasa betapa luhurnya rahmat Allah yang telah mengizinkan kami sampai disini.

Selepas beberapa kali bas yang kami naiki berpusing-pusing di sekitar Mekah mencari hotel penginapan, akhirnya kami sampai ke daerah Misfalah dimana hotel penginapan kami terletak. Ketibaan kami disambut oleh Mutawif Muassasah maktab 83 iaitu Tuan Hj Lufti yang boleh bertutur bahasa Malaysia dengan baik. Takdir Allah memang menakjubkan, hotel yang kami singgahi sama dengan nama tadika ku, aku begitu teruja dan berkali-kali meminta suami mengambil gambar untuk dijadikan bukti bila balik Malaysia nanti.

Walaupun keletihan mula terasa selepas melalui jarak perjalanan yang jauh dan masa yang begitu panjang, namun hati mula meronta-ronta untuk mengunjungi Masjidil Haram dan Kaabah. Ustaz Halim (pembimbing Haji - Pakej Mitra Kembara) bagaimanapun meminta kami berehat di bilik dahulu dan berkumpul semula di lobby hotel pada pukul 10mlm.

Walaupun aku dan suami tinggal berasingan namun bilik kami bersebelahan. Aku ditempatkan dibilik 702 manakala suami di bilik 705. Walaupun bilik yang didiami agak kecil untuk kami berkongsi 5 orang namun bagiku cukup selesa. Kami yang menaiki KT74 adalah kumpulan kedua dari pakej Mitra Kembara yang tiba di Mekah. Kumpulan pertama tiba adalah jemaah dari KT71.

Tepat pukul 10, jemaah KT 74 mula berkumpul di depan hotel Ufuk Al Fateh. Ustaz Halim membawa kami menuju ke Masjidil Haram yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari hotel tempat kami menginap. Bila di Mekah, buku doa yang digantung leher menjadi sahabat yang paling setia dan menemani kami kemana jua kami pergi. Sebaik mula menghala ke arah masjidil haram aku mula merasakan kehangatan dan kesesakan ramainya manusia. Walaupun bukan waktu peak hours lautan manusia tetap memenuhi ruang-ruang jalan sehingga ke dataran masjid.

Sepanjang perjalanan Ustaz mengulang kembali secara intensif apakah rukun/wajib dan sunat serta doa-doa dan yang perlu dibaca. Bagi yang memilih kaedah tamatu' maka kami akan melaksanakan umrah dahulu. Jemaah yang memilih untuk melakukan kaedah Ifrad, mereka akan melakukan tawaf selamat datang dan Saie Haji. Memasukki Masjidil Haram yang tersergam indah membuat aku merasa begitu rendah diri dan kerdil...ketika hati masih berperang dengan berbagai perasaan, kaki terus bergerak mengikuti Ustaz Halim ke arah Kaabah yang menjadi pusat tumpuan umat islam seluruh dunia. Ketika aku mengangkat muka sambil membaca doa melihat kaabah di depanku terlihat bangunan yang dilingkungi begitu ramai manusia...

Ya Allah, hambamu datang Ya Allah...Engkau telah membawaku ke sini ke rumahmu yang mulia, hambamu datang menyahut panggilanMu ya Allah, maka terimalah hambamu yang jahil dan berdosa ini..hati ini ingin sekali menangis namun tiada airmata yang menitis ketika aku melafazkan kalimat syukur, adakah ini tandanya hatiku masih keras dan banyak dosa...

Selesai melaksanakan tawaf, kami solat jamak Maghrib dan Isyak di belakang makam Ibrahim. Ramainya manusia tidak memungkinkan kami untuk mendekati Hajar Aswad. Walaupun hati teringin untuk mengucupnya, tapi suami mengingatkan bahawa mengelakkan mudharat adalah lebih utama dari mengejar sunat. Aku sendiri melihat bagaimana manusia berasak-asak apabila mula tiba di rukun yamani hingga ada ketikanya tanpa mereka sedari mereka menzalimi saudara se-islam mereka. Teringat ceramah ustaz TH, mengucup Hajar Aswad itu sunat, tetapi menjaga hak saudara Islam itu wajib.

Selepas tawaf, suami terus memanduku ke Bukit Safa untuk melakukan Saie. Alhamdulillah sebab suami dah pernah pergi sebelum ini maka pergerakan kami menjadi lebih mudah dan tidak perlu mencari-cari. Ketika ini kami telah terpisah dari Ustaz Halim dan ahli kumpulan yang lain. Alhamdulillah kami selesai Saie Umrah dan bertahlul kira kira jam 2 pagi dan terus balik ke hotel untuk berehat.

Thursday, March 26, 2009

16hb Mac itu...

Cuti sekolah minggu lepas, aku balik ke kampung halaman di Johor. Bertolak dari BSP hampir pukul 5 ptg kami sampai di rumah Kak sarah di Kg Parit Lapis Mahang waktu jam menunjukkan hampir pukul 9 malam. Mujur permusafiran kami kali ni ditemani teacher Yan yang teringin nak tengok kampungku. Hujan lebat sepanjang perjalanan dari Bangi ke Ayer Hitam mungkin faktor utama jalan masuk ke kampung begitu sunyi, hampir kami tak bertemu dengan kereta sepanjang jalan dari Parit Hamid ke rumah Kak Sarah, hanya doa dan tawakkal menjadi peneman sepanjang perjalanan.

Persinggahan kami ke rumah Kak Sarah memang dirancang sebab nak ziarah kak sarah yang baru lepas buat coronary intervention (heart blockage). Kak Sarah sepatutnya menjalani 3 kali rawatan, the next one will be in May. Alhamdulillah kakak kelihatan sihat dan masih bersemangat.

Balik kampung memang percutian yang menenangkan. Pesara macam abang iparku begitu tenang menikmati masa pencennya. Selain berkebun kelapa sawit, kang Salam mengutip buah buah pinang untuk dijemur dan dijual sebagai kopra pinang, walaupun harganya murah tapi baginya inilah salah satu aktiviti riadah yang telah dilakukannya sejak zaman bujang lagi.

Sehari semalam di rumah Kak Sarah kami meneruskan pejalanan balik ke rumah mak di Kulai kerana keesokkan paginya aku telah merancang untuk menziarahi pusara suami di tanah perkuburan Kangkar Pulai. Tarikh 16hb Mac itu begitu bererti bagiku kerana ia adalah tarikh ulangtahun perkahwinan kami. Dalam usia perkahwinan kami yang amat singkat ini dia telah memberikan aku seluruh kebahgiaan yang didambakan oleh seorang isteri dari seorang suami. namun sebagai hamba, aku akur bahawa seluruh cinta dan kasih sayangku tidak mungkin menandingi cinta dan kasih sayang Allah padanya..

Akhirnya dengan berat aku meninggalkan tanah perkuburan yang begitu mendamaikan itu. Aku harus kembali ke alam realiti dan meneruskan kehidupan seperti yang diamanahkan.

Sebelum balik lagi aku telah berjanji dengan anak-anak saudaraku untuk membawa mereka ke zoo sempena cuti sekolah. Selepas ke kubur kami pun meneruskan perjalanan ke Zoo Interactive di Saleng. Melihat keletah dan keriangan anak-anak saudara seolah mengubat mendung yang berlabuh di hati. Sesungguhnya anak-anak itu dilahirkan dalam fitrah, mereka umpama air hujan yang menjadi penawar di kala kemarau panjang. Lama juga kami berlegar-legar di dalam zoo, kebetulan cuaca pun tak berapa panas terik jadi suasana agak nyaman.

Alhamdulillah, percutian yang singkat namun begitu bererti. Ada seorang insan pernah memberitahu ku...kadangkala untuk ke depan kita perlu melangkah beberapa tapak ke belakang.....Berputus asa bukan sifat insan yang dikasihi Tuhan, namun mencari ruang-ruang dan sisa-sisa kekuatan untuk meneruskan perjalanan hingga sampai masa dipanggil pulang...

Sunday, March 22, 2009

Selamat Pengantin Baru Teacher Zai..

Alhamdulillah Sabtu 21 Mac yang lepas, aku dapat memenuhi undangan walimah teacher Zai di rumah pengantin lelaki di Felda Pasoh, Negeri Sembilan. Teacher Zai telah selamat di akad nikahkan pada 7hb Mac di kampung halamannya di Segamat, Johor. Teacher Zai pernah berkhidmat sebagai pembantu guru/pengasuh di Al-Fatih sebelum meletakkan jawatan untuk menjadi surirumah sepenuh masa.

Pagi Sabtu aku, Ina, teacher Yan, teacher Aida dan 4 orang anak gadisnya bertolak dari Bandar seri Putra dengan unser teacher Iman ke Pasoh. Kami melalui jalan Senawang -Kuala Pilah kerana dah janji nak konvoi dgn teacher nurul dan suami yang menunggu di Hutan Lipur Ulu Bendul.

Sebelum ke rumah Zai kami singgah di rumah Pakcik Kasad dan Mak Mah (Ayahanda dan Bunda Ina & teacher Yan) di Felda Pasoh. Kedatangan kami disambut dengan ramah tamah dan dijamu dengan sarapan pagi. Alhamdulillah memang kami tengah lapar sebab tak sempat sarapan. Lepas kenyang perut kami pun meninjau-ninjau di sekitar rumah Pak Kasad sambil melawat kandang kambing biri-biri dan kolam ikan air tawar. Bertuahnya Ina dan Yan, selalu dpat makan ikan dan daging fresh dan paling penting dijamin halal..insya-Allah.

Lebih kurang jam 1 kami pun bertolak pula ke Felda Pasoh 4 sebab nak kejarkan pengantin yang katanya nak begerak dari rumah persinggahan. Kami tiba di rumah pengantin just in time sbb pengantin baru mula bergerak diiringi paluan kompang. Kami pun terus tumpang sekaki ikut rombongan pengantin.

Jamuan di rumah pengantin memang special, nasi putih dengan ayam masak lemak cili padi, sambal tumis petai dan udang, rendang daging dan sambal tempoyak daun kayu. Apalagi.. sekali je tuan rumah pelawa...kami pun terus je buat macam rumah sendiri, tak tunggu pun pengantin makan beradap.

Lepas makan dan berjumpa pengantin, kami pun minta izin untuk bertolak balik, maklumlah perjalanan jauh. Kali ni kami ambil keputusan tak lalu Kuala Pilah sebaliknya ikut jalan Kuala Kelawang. Oleh kerana pemandu pelancung kami memang orang jati N9, maka sepanjang jalan kami di beri taklimat tempat-tempat menarik yang kami lalui. Rupa-rupanya N9 ni kaya dengan sejarah.

Kami sempat juga singgah di Air Terjun Jeram Toi, MasyAllah.. teruja betul tengok air yang sejuk dan jernih tu... Kenapalah Ina dan Yan tak beritahu awal-awal, akhirnya dengan baju kurung kami turun juga ke air, dapatlah lepaskan geram setakat cuci muka dgn air terjun. Anak-anak gadis teacher Aida bukan main seronok main air. Anak bujang kecik teacher Nurul pun boleh tahan jugak. Oleh kerana kami tak bersedia, lepas hilangkan geram dengan air terjun tu kami pun beredar dengan hati yang berat.

Apapun Alhamdulillah, perjalanan kami lancar dan yang penting kami dapat menunaikan hak saudara muslim kami. Untuk Zai dan Zul, selamat mencari keredhaan Allah, kami mendoakan rumahtanggamu akan dilingkungi rahmah dan mawaddah sentiasa. Amin.

Friday, March 13, 2009

Akhirnya airmata itu tumpah jua.....

Pagi ni pagi Jumaat, sejak lepas Subuh tadi hujan lebat di Bandar Seri Putra, dari malam tadi dah teringat-ingat teacher-teacher di tadika dah beberapa kali sebut dah lama tak makan nasi lemak mamak Haseenah, dulu Pakcik (allahyarham suamiku)selalu belanja kita orang kan ?...

Dalam hati aku beriltizam untuk memenuhi keinginan mereka, apa salahnya hari ni berkorban sikit untuk drive jauh demi kemanisan ukhuwwah. Sebenarnya bukan tak mahu belanja, tapi aku sendiri belum cukup kuat untuk menziarahi tempat-tempat yang ada nostalgia bersama suami.

Aku meredah hujan lebat pagi Jumaat dan bergegas turun kereta. Sperti biasa kehadiranku di sapa oleh jurukaunter yg memang mengenaliku, cuma kali ini tiada lagi soalan yg biasa diajukan padaku setiapkali aku sampai "..Kakak mana abang ?" Nada soalannya kali ini penuh nada simpati "Kakak apa khabar..okay ke ...(atau perasaanku ..Wallahualam)

Hati mula rasa serba tak kena, terus tanganku pantas mengambil 15 bungkus nasi lemak dan membayarnya di kaunter, sewaktu melangkah keluar aku dipanggil seseorang, bila ku toleh ..oh sahabat suamiku (Pensyarah KUIS ~bukan local) rupanya yang memanggilku. Aku memang cukup mengenali wajah itu yang juga pelanggan tetap kedai mamak dan sering bersarapan bersendirian. Suamiku sering menghampirinya untuk bertanya khabar atau paling kurang bertukar salam.

"Sister, I'm sorry I heard your husband pass away?" sahabat ini mengucapkan takziah dan memberitahu yg allahyarham suami ada memberitahu ttg pemergian kami ke Mekah dan dia menunggu-nunggu mengapa kami tidak muncul-muncul untuk bersarapan macam biasa walaupun musim haji telah lama berakhir, akhirnya dia telah bertanya salah seorang staff SAFF dan diberitahu yang suamiku telah kembali menemui Illahi.

Lama juga kami bersembang, sahabat ini kelihatan begitu terkesan dengan berita ini dan berulangkali meminta supaya aku bersabar dan menerima takdir Illahi. Selepas pamitan akupun berlari semula ke kereta , dan dalam hujan lebat itu akhirnya airmata yang telah ku seka sekian lama akhirnya tumpah jua. Selama dua bulan ini aku telah berusaha untuk mempamerkan riak ceria apabila dikhalayak ramai, aku tidak mahu mereka turut terkesan dengan kesedihanku.

Tapi pagi Jumaat ini, selepas dua bulan persitiwa itu berlalu, dalam hujan lebat ini akhirnya aku terpaksa akur dengan tuntutan hatiku. Airmataku meluncur laju selebat hujan yang mencurah di luar cermin keretaku. Bagaimana mungkin hatiku tidak terkesan sedangkan mereka yang jarang-jarang bertemunya pun masih sering mengingati kebaikannya. He was a very special person yang membuat orang berasa special berada bersamanya walaupun dalam hal-hal yg kecil.

Setiapkali kami bersarapan di Kedai, dia akan cuba untuk menjadi orang yg membayar dan amat susah hati kalau ada orang yg bayar dulu. Maklumlah guru tadika macam aku, kadang-kadang ada parent yg nak bayarkan. Dia cukup pemurah dalam membelanja orang makan. Ya Allah kau terimalah setiap amalnya sebagai amal Solih. Himpunkanlah ruhnya bersama orang-orang yang Engkau kasihi. Kurniakanlah tempat yang istimewa di sisiMu sebagaimana dia selalu membuat orang merasa istimewa disisinya ya Allah. Ameen Ya Rabbal Alamin.

Wednesday, March 11, 2009

March 11th : Diagnose Iman...


Bagi orang-orang yang beriman, musibah yang menimpa dihadapi dengan tabah, menyemarakkan lagi semangat kasih sayang terhadap Tuhannya, menghayati wasiat Nabi yang mulia maksudnya : " Pelik sikap orang yang beriman, apabila ditimpa atasnya satu nikmat dia bersyukur, maka baginya pahala, demikian pula sebaliknya apabila ditimpa azab, maka dia bersabar, maka baginya pahala, dan tiadalah sikap begitu pada orang selain mereka".Natijah daripada berfikiran positif inilah keimanan meningkat kepada kualiti yang lebih berbanding sebelumnya.

Jika dilihat dengan pandangan yang lebih mendalam berteraskan 'Ainil Basirah kepada bencana yang menimpa negara di tempat yang kebanyakannya dihuni oleh umat Islam, kita mampu membuat kesimpulan bahawa ianya merupakan ujian untuk mempertingkatkan kualiti hidup umat Islam itu sendiri.
Harus disedar bahawa dalam reality hidup bahawa kesusahan merupakan sunnatulLah yang akan menympurnakan warna warni corak kehidupan.SunntaulLah dalah suatu kanun yang tetap berlaku secara istiqamah selama kita berada di alam dunia.Firman Allah dalam surah al-Rum ayat 30 , maksudnya : tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Rela atau tidak , pastinya manusia akan diuji sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat ke 155 : Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Pada dasarnya manusia tidak gemar kesusahan.Apatah lagi jika kesukaran itu diiringi dengan kepedihan kehilangan, kematian dan janji-janji kosong.Namun demikian, jika dikaji secara mendalam , di sebalik pengalaman-pengalaman pahit yang dilalui sebenarnya tersirat hikmat yang cukup luarbiasa daripadaNya.Kesulitan akan menyebabkan terhasilnya pengetahuan, kerana ia menjadi pengalaman yang cukup berharga untuk menghadapai hari depan dengan lebih kuat dan kraetif.

Mengahdapi ujian ini, muslim perlu memperlengkapkan dirinya dengan petua-petua berikut:
Pertama : Hendaklah berbaik sangka dengan Allah yang telah mentakdirkan ujian yang berlaku.Hakikatnya semua orang akan melihat sudut yang negative tentang apa yang berlaku, sedangkan terdapat banyak perkara yang positif di sebaliknya.Hanya orang yang bijak dan sabar sahaja yang akan memperolehi perkara-perkara positif di sebaliknya.Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 maksudnya : "dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.Barangkali tepat untuk dikemukakan bandingan yang diberikan oleh Muhammad al-Ghazali : " Jika anda diberi segelas air jeruk yang masam, janganlah dibuang tapi tambahlah gula padanya!

Kedua, muslim hendaklah meneruskan kehidupan seperti biasa, meneruskan agenda hidup dengan keceriaan dan bahagia.Benar kata-kata mereka : " Life has to carry on".Kita tidak sepatutnya berlarutan dalam duka.Lakukan latihan-latihan yang dapat meneruskan kesinambungan hidup secara-konsisten.

Ketiga, hadapilah ujian dengan objektif tanpa panic dan bayangkan suasana yang lebih baik yang pasti akan berlaku selepas ini.Firman Allah swt dalam surah al-Alam Nasyrah ayat ke 5-6 maksudnya : Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Ke empat pelihara iman kerana ia merupakan energi hidup.Teruskan kesinambungan hidup dengan membersihkan hati agar menyinar nur keimanan dalm diri buat bekalan menghadapi kesusahan dengan semangat dan ketabahan.Orang yang sengsara bukanlah orang yang kehilangan harta benda tetapi orang yang terkikis dan terhakis imannya dek kegagalan menghadapi kepayahan yang sementara, sanggup memperdagangkan iman kerana mengelakkan kerugian harta.

Dan wasiat terakhir, hadapilah hari-hari ini dengan memperbanyakkan munajat dan berdoa kepada Allah.Antara doa yang menjadi amalan salaf yang dianjurkan oleh Nabi apabila mengahdapi kesusahan dan kesedihan ialah dengan berdoa : “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak hambaMu (lelaki) dan anak hambaMu (perempuan) . Ubun-ubunku dalam gengamanMu, hukumanMu berlalu kepadaku, Qada’ ( keputusan ) Mu kepadaku adalah adil, aku mohon kepadamu dengan setiap nama yang telah engkau berikan untuk diriMu, atau yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhlukMu atau yang engkau simpankan dalam perbendaharan ghaib dari ilmuMu, agar Engkau jadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku , cahaya dadaku, pelenyap dukaku dan penghilang kesedihanku”.( HR Ahmad dan Ibn Hibban, dianggap sahih oleh al-Albani dalam silsilah al-Ahadith al-Sahihah ) .Semuga setiap muslim dikurniakn Allah sifat kekuatan oleh Allah mengadapi musibah dalam apa bentuknya sekalipun deNgan keimanan dan ketenangan. (SUMBER ASAL DARI SINI:USTAZ ZAHAZAN MOHAMAD)

Tuesday, March 10, 2009

Kisah Dari Al-Quran - Al Fil

Muslim seluruh dunia amnya dan rakyat Malaysia khasnya mempunyai cara berbeza dalam menghayati sambutan Maulidur Rasul. Bagi tenaga pemikir & penggerak Al-Fatih menghayati sirah Rasulullah is an ongoing business yang diterapkan dalam syllabus.

Hari ini guru-guru Al-Fatih ada special package untuk anak-anak dalam usaha menyemai kecintaan kepada Al-Quran dan Rasul. Kisah tentera bergajah Abrahah yang termaktub dalam surah Al-Fil diterjemah dalam bentuk lakonan untuk memudahkan anak-anak mencerna dan menghayati kisah ini sesuai tahap umur mereka.

Anak-anak memang teruja dan mudah menghayati jika pengajaran disampaikan dalam bentuk lakonan atau penceritaan. Lebih banyak props dan costume digunakan lebih seronok mereka, apatah lagi jika melibatkan haiwan yang mereka kenali.




Selain part gajah, anak-anak cukup enjoy pabila sekumpulan burung-burung membawa batu dan memusnahkan tentera Abrahah, sehingga satu demi satu tentera Abrahah termasuk gajah-gajah bergelimpangan menyembah bumi.

Memang menjadi harapan kami anak-anak Al-Fatih akan membesar dengan kisah-kisah dari Al-Quran ini. Semuga sirah dan perjuangan Rasulullah akan sebati dalam jiwa mereka.

Sunday, March 1, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...1

Niat untuk menulis pengalaman menjadi tetamu Allah mula tersemat di hati sebaik menerima pengesahan dari TH bahawa aku dan allahyarham suami terpilih sebagai JH (Jemaah Haji) 1429H. Insya-Allah catatan ini adalah pengalaman peribadi yang ingin dikongsikan bersama sahabat blogger dan sesiapa yang sudi membaca. Mudah-mudahan ada sedikit kebaikan yang dapat dikutip dari perjalanan rabbani kami.

Kami diminta check in di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada pukul 3:30 pagi , 25hb November 2008. Seawal pukul 2:30 pagi Fairuz (anak buah suami) tiba di rumah kami untuk menghantar kami ke Kelana Jaya. Selesai mengenakan pakaian Ihram dan bersolat sunat musafir & solat sunat Ihram kami bertolak dengan perasaan berdebar-debar. Entah mengapa permusafiran kali ini terasa lain benar.

Kami tiba di Kompleks TH tepat jam 3:30 pagi. Rupanya kami adalah antara JH terakhir yang tiba. Kebanyakan JH sampai seawal 8 malam. Suspen juga melihat suasana yang agak lengang, Booth pendaftaran untuk mengambil beg pun dah ditutup. kami diarahkan supaya terus beratur untuk check in.

Alhamdulillah kami tak perlu beratur atau menunggu lama, urusan check in berjalan lancar. Kami dibawa terus ke dewan menunggu di kompleks TH untuk taklimat sebelum bertolak. SubhanAllah, kami memang betul-betul dilayan sebagai VIP malam tu. Dalam hati bercampur antara malu dan bersyukur. Selepas taklimat kami menaiki bas yang diiringi oleh Polis trafik menuju ke KLIA. Bas meluncur laju tanpa perlu berhenti walaupun lampu trafik merah.

Setibanya di KLIA kami terus dibawa ke ruang menunggu dan mengerjakan solat Subuh di sana. Penerbangan KT 74 yg dijadualkan berlepas jam 7:00 a.m di tunda ke pukul 9:00a.m kerana masalah teknikal. Dalam hati aku beristighfar banyak-banyak, ujian telah bermula. Tepat pukul 9:00 Saudi Airlines berlepas meninggalkan KLIA. Penerbangan pergi selama 8 jam agak mendebarkan, masih terasa betapa eratnya genggaman tangan suami setiapkali k/terbang bergegar kuat. Selepas berniat di miqat (Qarnul Manazil) aku dan suami terus-terusan melafazkan talbiah dan air mata mula mengalir kerana kami sedar tempat yang dirindui untuk dikunjungi sekian lama makin hampir.

Akhirnya Saudi Airlines yang membawa JH KT74 mendarat di lapangan terbang Jeddah jam 12:35 noon (5p.m waktu Malaysia) . Sebaik k/tbang mendarat perkara pertama yg terlintas di benak ialah melihat muka bumi Jeddah yang begitu kering dan berbatu. Begitu juga dengan layanan yang diterima amat berbeza dari kakitangan TH atau KLIA. Masa inilah terlintas di fikiran perbincangan sirah dengan sahabat-sahabat usrah. Memang benar bangsa Arab secara fizikal dan tuturcaranya agak 'kasar' dan ini tentunya berkait rapat dgn muka bumi Tanah Arab.

Sebaik memasukki ruang Hujjaj Terminal, aku memberitahu diriku sendiri ujian sebenar telah bermula..selepas 8 jam 'terikat' di kerusi kapalterbang, masing-masing mula tidak sabar untuk meneruskan perjalanan. Urusan pemeriksaan passport dan visa yg dilakukan secara 'manual' dalam suasana manusia beratur panjang seolah-seolah satu pesta meraikan kedatangan kami. Teriakan-teriakan 'Haji' dan 'Hajjah' mula memenuhi setiap ruang.. rasanya kenalah membiasakan diri dengan panggilan-panggilan ini selepas ini..

Selesai urusan memeriksa passport kami di bawa ke ruang berehat untuk JH dari Malaysia. Alhamdulillah fasiliti yang disediakan cukup selesa. Sementara menunggu bas yang akan membawa kami ke Mekah, JH mengerjakan solat Zuhur dan Asar di ruang solat yg disediakan. Bagi yang ingin ke tandas masa ini digunakan sebaik-baiknya untuk melegakan keperluan keperluan yang mendesak selepas 8 jam terkurung di dalam kapal terbang. Kerana kami pergi dengan penerbangan terus ke Mekah, semua JH pergi dalam keadaan berihram.

Sewaktu mengambil wudhu' untuk solat Zuhur, tanpa sengaja aku melurut rambut untuk membetulkan ikat rambut yg hampir terungkai, dan akibatnya dua helai rambut gugur...Masya-Allah segera aku mengingatkan diri sendiri supaya lebih berhati-hati.