Sepanjang jalan kehidupan ini aku bertemu dengan terlalu ramai insan istimewa yang setiap satunya menempati ruang tersendiri dalam kamus hidupku. Bingkisan dari nuraniku ini untuk menyatakan betapa mereka akan sentiasa dekat dihatiku...insya-Allah
Sunday, November 29, 2009
Eidul Adha dan Pengorbanan.......
Salam Eidul Adha buat semua,
Hari ini 12 Zulhijjah....Pada tarikh yang sama setahun yang lalu aku berada di antara jutaan umat Islam yang lain menyambutnya di bumi Mina. Menyaksikan siaran langsung di television perhimpunan para hujjaj di Arafah, seterusnya ke Mudzalifah dan Mina membuat hati merasa terlalu rindu. Rindu itu terlalu menggebu hingga meruntun setiap ruang dalam jiwa untuk meluahkan rindu melalui coretan ini.
Menyambut Eidul Adha di khemah yang berlantaikan ambal usang tanpa juadah yang memenuhi meja itu begitu indah untuk dikenang. Itulah Eidul Adha pertama dan terakhir aku menyambutnya bersama suami, walau jauh di permusafiran...kami meraikan eidul adha sambil berjalan jalan mencari kedai yg menjual roti dan madu untuk dinikmati bersama teh o panas di celah celah deretan khemah Mina. Namun ia begitu istimewa kerana ia bukan permusafiran biasa, kami pergi sebagai tetamu Allah yang terpilih di antara begitu ramai umat manusia di muka bumi Allah ini.
Eidul Adha dan pengorbanan tidak mungkin dipisahkan. Berkorban tidak semudah menyebutnya. Berkongsi dalam norma/perlakuan biasa adalah satu amalan yang sangat mulia. Majoriti akan bersetuju berkongsi patut digalakkan. Ibu Bapa mengajar anak anak supaya berkongsi, guru guru mendidik murid supaya berkongsi, pemimpin mengingatkan rakyat supaya berkongsi. Tetapi rupanya bukan semua perkongsian di'sukai' dan dianggap mulia.
Berkongsi kasih memerlukan satu pengorbanan yang tinggi. Ia menuntut pengorbanan bukan hanya setahun sekali, tetapi setiap saat dan masa dan dalam setiap bentuk dan ruang. Sukarkah berkorban ?Ritual Haji itu sendiri mengingatkan kita betapa Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail di Wadi yang tandus kerana dilema berkongsi kasih.
Kehadiran Eidul Adha mengingatkan aku terlalu banyaknya pengorbanan yang telah dibuat allahyarham suami dalam merealisasikan impian dan harapan membina keluarga besar kami. Semuga Allah menerima amal solihnya, mengampuni dosa dosanya dan merahmati ruhnya. Apapun pengorbanan yang kita lakukan, bukan kecil atau besar, bukan mahal atau murah jadi ukuran tapi setakat mana keikhlasan dalam melaksanakan yang akan menjadi saksi di depan Allah nanti....."Daging daging unta dan darahnya itu sekali kali tidak dapat mencapai keredhaan Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya...(Al Hajj:37)
Subscribe to:
Posts (Atom)