Thursday, July 4, 2013

When the going gets tough...the tough get going

Kadangkala ada suatu masalah yang Allah takdir dalam hidup ini bukan untuk diselesaikan, tetapi untuk kita 'hidup bersamanya'. Itulah saluran kita merintih dan berdoa kepadaNya... sentiasa! 

Thursday, June 13, 2013

The power of niat

Aku pernah menulis tentang kehebatan niat dalam FB dan ada sahabat yang agak nakal memberi respon yang melucukan, katanya " Kak Nor hari ni sebelum makan kita niat....Sahaja aku makan lauk ikan dan sayur kerana Allah Taala"....

SubhanAllah jika diterjemah secara literal mungkin ada benarnya begitu...namun sakit yang dideritai hampir 7 bulan mengizinkan aku menyingkap hikmah disebalik 'the power of niat'.

Selepas didiagnose mengidap kanser, sukar sekali menahan tekanan ketakutan, kejutan, kebelum-sediaan untuk mati dan berbagai emosi negatif yang datang tanpa diundang.  Syukur di saat diri diuji, Allah tidak pernah meningalkan aku sendiri.  Terasa betapa bertuah diri kerana begitu ramai yang menyayangi.

Keluarga dan sahabat inilah yang telah menjadi talian hayat sepanjang aku berjuang melalui rawatan yang menyakitkan.  InshaAllah akan kunukilkan kisah ttg insan insan teristimewa ini dlm isu akan dtg, inipun janji juga....Allahuakbar

Bermula dari detik pertama bertemu pakar onkologi di HKL aku telah berniat sebelum keluar rumah "Ya Allah, aku pergi ke hospital untuk memenuhi sunnah orang yg sakit, aku mahu berusaha untuk sembuh ya Allah, jika kesembuhan ini baik untukku, maka kau mudahkan ya Allah, supaya aku dapat menyambung amal solihku ya Allah.".  Aku pergi dengan sedar dan tawakkal bahawa penyakit dan penawar datang daripada Allah, ini sangat berbeza dgn sebelumnya apabila aku sakit aku ke klinik tanpa niat...jadi ia hanya menjadi rutin.  Hasilnya aku lebih positif dan bermotivasi melalui setiap detik malah ada masanya merasa teruja menanti what's next.

Pada hari pertama kimoterapi dan pada setiap sessi yang seterusnya hingga yang terakhir aku berniat sebelum melangkah ke dalam kereta.." Ya Allah..aku pergi untuk menerima rawatan, sekiranya ia baik untuk dunia dan akhiratku ya Allah kau jadikan dia asbab kesembuhanku ya Allah.  Aku ingin memperbaiki semua kesilapan dan kejahilanku ya Allah, izinkan aku sembuh supaya aku boleh terus menyambung amal ku, izinkan aku terus berkhidmat untuk ibuku yang telah tua ya Allah.. ...".

Akhirnya niat menjadi satu yang sangat penting bagiku, ia bukan sekadar iktikad malah niat itu memberi kekuatan spiritual, menyedarkan bahawa tiada satu juzuk pun daripada kehidupan ini yang terpisah dari keterikatan dan ketergantungan daripada mengharap rahmat dan redha Allah semata mata.  Sungguh ia tidak semudah yang disebut, kesakitan, kekecewaan, penderitaan tetap hadir menghiasi sepanjang tempoh rawatan, namun kekuatan keyakinan bahawa Allah berada bersamaku, Allah mendengar niatku, Allah tidak akan sekalipun melupakanku membantu menjadikan semuanya lebih bermakna.

Kini setiapkali membuka hadis 40, aku lebih mengeri mengapa hadis pertama adalah berkaitan niat..


So many things to share..yet..so little time left...

Berita pemergian dua sahabat yang pernah berkongsi suka duka menjalani kimoterapi di Wad Onkologi & Radioterapi HKL minggu lepas mengingatkan diri betapa aku punya banyak lagi ' hutang' yang perlu di tuntaskan sebelum aku menyusul mereka.

Aku ingin sekali menulis buku, memang itulah antara cita cita yang belum ku usahakan sepenuhnya. Aku pernah berjanji pada almarhum suami, aku akan membukukan kisah 'cinta halal' kami yang unik.  Aku berharap ada pengajaran yang boleh dikongsi bersama tentang 'perjuangan' kami untuk membina sebuah keluarga poligami yang menentang arus..
Aku mahu berkongsi perit jerih membina perniagaan sendiri
Aku bermimpi dapat menulis pengalaman mendidik anak anak pra sekolah
Aku punya hasrat untuk menulis tentang pengalaman diuji dengan penyakit kronik

Ohh...menulis blog sahaja tidak mampu istiqomah, bagaimana mahu menulis buku.

Saturday, February 16, 2013

Hitung kesyukuran bukan kesukaran....

Pengalaman ber'uzlah'  di wad meninggalkan jejak yang mendalam dalam jiwa.  Peluang menyantuni sahabat sahabat senasib memberikan perspektif yang pelbagai.  Pagi pertama mendaftar di Wad 2A RT/HKL aku  'disambut' dengan kes kematian.  Insaf bahawa nyawa manusia tidak boleh diundur atau dicepatkan barang sesaat, aku sempat membacakan yasin, doa dan alfatihah dari katil yg dipisahkan  tiga pesakit.

Kematian dengan cara apapun sentiasa muhasabah buat diri, apatah lagi buat diri yang telah diberi 'amaran awal', setiap kematian meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati. Hari hari selepas itu agak tenang di wad.  Buat bekas sukarelawan hospital Johor Bahru satu masa dulu,  agak mudah untuk aku mengambil kesempatan bermesra dgn pesakit pesakit.  Apatah lagi kami senasib...

Majoriti pesakit di Wad ini ceria dan sentiasa ramah mesra, cuma mungkin teragak agak untuk memulakan.  Aku bersyukur kerana dikurniakan muka yg mudah mesra.  Tak kira bangsa apa aku akn tegur. Sampaikan ada satu aunty (berbangsa India) ni melekat dgn aku. Ada satu pagi tu aku teringin nak beli kuih pau di hospimart yg berdekatan, aunty ni sibuk nak ikut...Nurse pesan apa kat aku " akak kena tolong jaga dia ya sbb dia ni ada " kurang sikit" ...Aku: "huh..!" kenapalah aku tak perasan sebelum ni?

So sepanjang jalan dia paut lengan aku dgn kuat dan dia berhenti hampir di setiap pokok bunga untuk mengambil bunga yg wangi utk dibuat kalungan bunga..well this is the seronok part, pengalaman yg menarik..lepas ni nobody can claim aku tak support 1 Malaysia....hehehe.

Satu perkara yg aku notis dan agak menyedihkan ialah agak ramai pesakit yang mengambil mudah soal solat sewaktu sakit.  Inilah sebenarnya ujian bagi orang yang ditimpa musibah.  Terlalu
menghitung kesukaran sehingga lupa bersyukur.  Aku kagum dengan seorang teman yg mengidap kanser tulang. Tulang pinggulnya patah bukan kerana jatuh atau kemalangan tapi kerna kanser yg telah mereputkan tulangnya , tulangnya patah hanya kerana dia bergerak agak kuat.  Kini dia hanya terbaring dan tidak mampu bergerak.  Kami berkenalan bila tanpa sengaja aku datang menziarah dan terlanggar kakinya, dia menjerit hingga aku panik! Selepas itu aku sering dtg untuk bertanya khabar.  Dalam kesakitan itu aku melihat dia tidak tinggal solat dan sentiasa membaca al quran.  Tiada siapa menjaganya di hospital tapi di tepi katilnya sentiasa tergantung spray air yg digunakan utk berwuduk

Aku bertanya sendiri adakah kejahilan yang mendorong mereka tidak solat atau mereka menjadikan sakit satu alasan untuk tidak solat.   Aku perasan di surau banyak buku buku terbitan jawi ttg cara cara solat orang sakit.  Tapi buku itu sendiri pun kelihatannya tidak disentuh.  Oh banyak lagi kerja kita sebagai khalifah dan daie.  Ya Allah berilah aku kekuatan untuk menjalankan tanggungjawab mengingatkan mereka untuk menunaikan rukun islam yg kedua ini.

Aku pernah mempelawa mkcik yg duduk di katil berhampiran untuk sama sama solat disurau, tapi dia memberi alasan "macamana nak solat, tangan mkcik sakit" .  Aku juga ingin berpesan pada anak anak atau waris yg menjaga pesakit di hospital, inilah antara tugas utama anda.  Bukan sekadar meladeni keperluan fizikal seperti makan minum tetapi keperluan rohani yang lebih utama.   Pernah sekali aku merasa sangat geram pd seorang anak remaja yg menjaga ibunya, ibu itu mengalami kesukarn bernafas jadi kelihatan resah.  Sang anak sibuk ber'fb' dengan laptopnya.  Aku membantu menggosok dadanya dan menyapu minyak kapak kerana dia mengadu pening.  Aku betulkan tempat baringnya dan meminta dia mengingati Allah, selepas dia berzikir memang nampak dia sedikit tenang dan boleh berbual.

Ya Allah dalam doa doaku aku sering memohon, Ya Allah aku sedang belajar redha menerima ujian kesakitan pada fizikalku namun jangan kau sakitkan imanku ya Allah.  Luluskan aku dalam ujian ini ya Allah, kerana dalam ujian kesakitan ini samada aku lebih hampir padaMu atau aku makin jauh meninggalkanMu ya Raab.



Tuesday, July 17, 2012

Marhaban Wa Ahlan Ya Ramadhan

Ramadhan Kareem buat semua, tetamu agung yang pergi kini kembali lagi membawa bersamanya begitu banyak tawaran ....mari kita sama sama berusaha merebut sebanyak mungkin kehebatan bulan yang begitu didambakan Rasulullah dan para sahabat.

Ya Allah bantulah aku untuk membuat perancangan Ramadhan dan berilah kesihatan dan kekuatan untukaku melaksanakannya.  Sesungguhnya tiada kekuatan melainkan kekuatan dariMu Ya Allah. 
 

Friday, December 30, 2011

Sesungguhnya manusia INI dalam kerugian....

Dulu masa di sekolah rendah dan menengah aku fikir belajar itu hanya apabila di dalam kelas berhadapan dengan guru dan papan hitam

Bila di pusat pengajian tinggi belajar hanya apabila di bilik kuliah atau bila ada group study

Kini aku sedar hidup ini adalah kelas dan kehidupan ini adalah guru...

Sukarnya bangkit dari sebuah musibah yang menguji kekuatan iman insan. Kadang kadang hati teguh seperti karang yg tetap tegap walau dilanda badai...tidak kurang juga waktu hati ini mendung seperti cuaca di musim tengkujuh...

Sejujurnya telah lama aku tidak peduli pada taman kecil di depan rumah semenjak pemergian arwah suami. Kesian taman yg tidak berdosa ini menjadi mangsa hati yang gagal dikuasai. Suatu pagi Allah menggerakkan hati untuk membersihkan pokok pokok di taman ini. Subhana-Allah, Maha suci Allah, yg menizinkan aku belajar dari kehebatan ciptaanNya. Tanaman yg telah lama tidak dipeduli tetap bertunas. Malunya aku pd diri, begitu kuat azammu pokok, walau tidak dipeduli tuanmu, kau tetap tumbuh. ...aku sedar aku bukanlah 'tuanmu', aku hanya penjaga yg diamanahkan untuk memeliharamu.



Wahai hati, wahai iman bangkitlah dari 'kealpaan'...lihatlah kelilingmu dan ambillah pengajaran, tunas baru akan sentiasa tumbuh. Belajarlah dari 'ketaatan' pokok terhadap pemiliknya...

Aku sedar perjalanan ini masih sangat panjang....menuju destinasi abadi yang menjadi matlamat setiap yang mengaku dirinya beriman. Sembuhlah wahai hati yang diuji...bangkitlah dari lena yang panjang...belajar dan teruslah nelajar dari hidup dan kehidupan.....

Tuesday, September 13, 2011

IFTAR Puasa Syawal day 1 and day 2....

Dah lama tak share food from the kitchen....

Ayam goreng kunyit in the kuali...

ready to be served...

sambal tumis udang & petai...all time favourite..