Thursday, February 19, 2009

Menafsir Hikmah...


Rasanya belum ada satu hari yang berlalu tanpa aku merindui Allahyarham suamiku, dan hari ini genap 40 hari suamiku menemui Illahi. Selepas beberapa minggu rumah yang 'terlalu besar' ini terasa begitu sepi dan bungkam, senja tadi aku menerima tetamu...

Sebelum ini tetamu yang datang seboleh mungkin cuba menghiburku dengan kata kata yang menggembirakan atau paling kurang mengucapkan takziah. Namun setiap kali tetamu pulang aku tetap juga merasakan 'beban' yang ku tanggung ini tidak berkurangan malah menjadi semakin begitu menyiksakan.

Tetamu yang datang senja tadi sebaliknya datang untuk mengadu masalahnya kepadaku, walaupun dalam keletihan kerana ketika tetamu sampai maghrib tadi aku baru balik dari urusan di Kajang, aku tetap menerima dan meraikan tetamu dengan menyediakan hidangan seadanya. Ini memang amanat allahyarham suami yg selalu berpesan supaya aku meraikan tetamu kerumah kami sebaiknya.

Begitu indah perancangan Allah, Dia menghantar kepadaku seorang tamu yang meluahkan masalahnya dan meminta pendapatku. Betapa luahan hatinya membuat aku akur dan insaf, begitu besar kurnia Allah kepadaku, dia telah meminjamkan kepadaku seorang suami yang terlalu istimewa. Terima Kasih ya Allah, gantikanlah kesedihanku ini dengan syurga ya Allah, supaya aku bisa bertemu suamiku di sana.

Saturday, February 7, 2009

Muhasabah Diri


Sayang, aku tenang di sini kerana aku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana. Hentikan tangisanmu, demi ketenanganku di perantauan ini. Yakinlah perpisahan sebenar bukan kerana jaraknya destinasi tetapi oleh retaknya hati.

Perpisahan ini, insya-Allah akan menyuburkan cinta...sekiranya kita menerimanya sebagai satu didikan Allah. Yakinlah, kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis. Perpisahan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Semuga perpisahan ini menguatkan jiwamu. Tiadalah ubat jiwa yang paling mujarab kecuali mencintai Allah. Dan dengan cinta itu nanti semuga kita saling menyintai kerana Allah - cinta yang lebih suci.

Sayangku,
Hadapilah kenyataan ini. Aku sentiasa berdoa untukmu.

Ya Allah...
Kuatkanlah iman dan taqwa isteriku.....dengan kau suburkan selalu dihatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin, berharap terhadap-Mu.

Ya Rahim...
Berikanlah dia kesabaran dan kekuatan dalam mendidik anak-anak didiknya. Agar ditangannyalah nanti tertempa anak-anak yang solih dan solihah. Bimbinglah kemarahanyya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-segalanya dengan seimbang agar dia terdidik untuk mendidik.

Ya Rahman..,
Maniskanlah akhlak isteriku, hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran dan kelembutan. Berilah kecantikan dan keindahan hakiki dengan limpahan taqwa yang sejati.

Sayang,
Ramai pasangan yang berpisah kerana putus cinta. Namun lebih ramai yang yang terpisah kerana terlalu cinta. Bila cinta makhluk membelakangi cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta sesamanya. Ia akan layu, kesepian dan kesaorangan. Pada cinta yang ilusi begini..pertemuan adalah perpisahan. Tapi bila cinta itu cinta hakiki, berpisah jauh pun masih bertemu.

Perpisahan ini adalah ujian yang akan menguatkan kembali ikatan perkahwinan. Sesungguhnya inilah cara Allah mencantas pergantungan hati kita kita dengan yang bernama suami, isteri, ibu, bapa, anak dan saudara.

Didikan ini sangat mahal harganya. Inilah intipati iman kita kepada satu ayat Al-Quran yang sangat pendek: "Sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan dikembalikan"

Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini. Namun jangan sesekali terputus dari berharap sesuatu yang terbaik.

Doamu dan doaku pasti dicelahi oleh rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi padamkanlah segalanya dengan keyakinan bahawa ia pasti diperkenankan. Amin. Yang penting....bukan diperkenankan atau tidak, tetapi semuga Allah tingkatkan keimanan, kesabaran dan tawakkal kita menghadapi apa jua takdirNya.
Isteriku, kata hukama: "Usah dipinta ringankan ujian, tetapi pintalah dahulu beratnya iman untuk mengahadapinya"