Sunday, April 26, 2009

Kepedulian Hassan Al-Banna..

Hassan al-Banna tetap menanamkan rasa kebersamaan yang tinggi kepada kaum muslimin, terutamanya kepada mereka yang ada di Palestin. Ada sebuah peristiwa yang mampu membuat raut muka Hassan al-Banna berubah kerana memendam kesedihan sekaligus kemarahan. Peristiwa ini berlaku dalam tahun 1948, ketika pasukan al-Ikhwan terlibat dalam perang di Palestin.

Saya tidak akan lupakan selama lamanya bagaimana pandangan mata ayah. Ibu bersama makcik dan nenek saya berada di sebuah ruangan, bersama-sama membuat kuih-muih untuk menyambut hari raya. Ayah memandang ibu dan berkata , "Ya Ummu Wafa, apakah engkau akan membuat roti sedangkan ada 12 orang kader al-Ikhwan gugur di Palestin.." Selepas itu ayah meminta salah seorang pembantunya mengemas semua peralatan membuat roti dan kuih. Ibu saya tidak meneruskan usaha membuat roti dan sejak hari itu, ibu memang tidak pernah membuat roti lagi di rumah... (Petikan dari buku Cinta Di Rumah Hasan Al Banna)

Membaca buku ini membuka satu ruang dimensi yang baru dalam aku mencuba memahami dunia baruku. Ia membangkitkan kenangan 40 hari terindah dalam hidupku. Dua hari selepas kami tiba di Mekah, kami membaca berita tentang sekatan ekonomi yang dikenakan rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin. Sekembalinya kami dari Mina kami menerima berita pula tentang serangan rejim zionis ke atas Semenanjung Gaza. Ustaz Halim pun sering mengingatkan kami supaya mempertingkatkan doa untuk saudara saudara kami di palestin.

Berita itu begitu menggugat hati kami, apatah lagi dalam satu insiden yang berlaku di dalam masjidil Haram, ketika itu beberapa kumpulan jemaah wanita sedang bertilawah sambil menunggu masuknya waktu Asar. Di depan ku seorang wanita berjilbab hitam menerima panggilan telefon dan selepas itu menangis tersedu-sedu sehingga terpaksa ditenangkan oleh sahabat-sahabatnya. Dari seorang jemaah yang duduk sebaris dengan wanita itu, kami kemudiannya mengetahui bahawa salah seorang ahli keluarganya di Palestin baru sahaja terkorban.

Ketika dihadapkan dengan pemergian allahyarham suami, entah mengapa aku sering mengingati peristiwa di Masjidil Haram. Begitu berat kesedihan yang ku tanggung, tentunya lebih berat lagi bagi wanita itu menerima berita kehilangan orang tersayang ketika sedang berada jauh di permusafiran. Jika pernyataan ini mampu menghiburkan hatinya maka dia sebenarnya beruntung kerana menerima berita itu di rumah Allah yang sangat mulia.

Tarbiyyah perjalanan Haji bukan sekadar mulut mengatakan kami beriman tetapi ia adalah pernyataan yang menuntut amal dan tindakan. Perang sudah barang tentu tentu membawa musibah dan penderitaan, namun melihat dari sudut yang lebih makro, ia juga peluang untuk manusia menebus kafarah dosanya dan jika manusia mampu bersabar maka balasan yang menanti adalah kebaikan. Semuga aku belajar lebih peduli tentang dunia dan seisinya, lebih emphati terhadap berbagai rupa penderitaan di sekelilingku.

Sunday, April 19, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...rindu Masjidil Haram

Sementara menanti Hari Wukuf, kami berpeluang menghabiskan 12 hari di Mekah. Aku dan suami mengambil peluang sepenuhnya untuk memenuhi hari hari ini dengan melaksanakan sebanyak mungkin ibadat-ibadat untuk menyediakan diri sebelum bertamu ke Arafah.

Sesungguhnya berada di tanah haram Mekah begitu menginsafkan. Jalan-jalan ke Masjidil Haram sentiasa dipenuhi lautan manusia berbagai bangsa yang datang dari seluruh pelosok dunia dengan tujuan yang satu. Terasa begitu kuatnya ukhhuwah persaudaraan yang diikat atas landasan akidah yang sama. Tiada sempadan warna kulit maupun dialek bahasa. Yang pasti ketika itu kami menyahut seruan yang sama, Kami rukuk dan sujud mengadap kiblat yang sama.
Agenda utama kami pastinya untuk memastikan kami dapat mengerjakan solat Fardhu berjamaah di Masjidil Haram. Setiap pagi kami akan saling mengejutkan rakan sebilik seawal pukul 2 pagi untuk memastikan kami mendapat tempat yang strategik dalam masjid. Ketika waktu-waktu 'peak' biasanya kami akan ke masjid seawal pukul 3 pagi, jika terlewat, kemungkinannya bukan sahaja tak dapat tempat strategik, malah mungkin nak masuk ke dalam pun tak dapat, maka solat di dataran masjidlah nampaknya.

Memang menjadi routineku setiap pagi selepas Subuh, aku akan mencari tempat yang paling hampir dengan kaabah untuk memandang kaabah sambil berdoa. Sungguh syahdu suasana pada waktu itu, jika manusia terlalu ramai biasanya suami akan jadi 'bodyguard' di belakangku untuk pastikan aku tidak terhimpit di kalangan JH yang terlalu ramai.

Biasanya jadual Masjidil Haram aku dan suami akan bermula pukul 3:30 pagi, selepas solat subuh kami akan balik ke hotel untuk sarapan. Masa antara selepas Subuh dan Zuhur inilah kami gunakan untuk berehat (tidur) dan menyelesaikan urusan harian seperti membasuh baju. Zuhur kami akan ke masjid semula dan pulang selepas Zuhur untuk makan tengahari. Waktu solat Asar selalunya kami akan stay di masjid sehingga selepas solat Isyak. Waktu itu kami gunakan untuk bertilawah dan bertaaruf dengan sahabat sahabat Jemaah dari negara lain. Alhamdulillah kerana dalam banyak insiden aku dipertemukan dengan Jemaah yang boleh berbahasa Inggeris.

Melalui pemerhatianku aku melihat kebanyakan JH wanita Malaysia lebih selesa memilih untuk solat berdekatan dengan JH senegara(M'sia)/Indonesia/S'pore (Asean). Bagiku aku mengambil cabaran untuk masuk ke dalam saff lain. Banyak masa juga aku terpaksa berbual dlm bahasa isyarat. namun persaudaraan yg didasari iman ternyata melangkau sempadan bahasa. Kemesraan terasa begitu natural dan tidak dibuat-buat, kehangatan berpelukan dengan makcik-makcik Turki dan Pakistan masih terasa hangatnya.

Kerana aku dan suami tidak tinggal sebilik, biasanya waktu selepas isyak kami gunakan untuk keluar 'date' sambil menikmati angin malam di Misfalah. Di musim-musim Haji ni jalan-jalan di kota Mekah tidak tidur, sentiasa 'butsling' dgn kenderaan dan manusia yang berulang alik ke masjid. Waktu waktu begini biasanya kami penuhi dengan menghantar baju ke kedai dobi atau mengunjungi pasar-pasar basah yang menjual buah-buahan segar dan sayur-sayuran. Majoriti penjual kedai-kedai di sekitar Kota Mekah boleh berbahasa melayu (Indonesia). Kebanyakan mereka bukan local tetapi pekerja yg datang dari negara berdekatan, namun keramahan dan manis mulut mereka berjaya memancing pembeli.

Sebelum balik semula ke bilik hotel biasanya kami akan mengakhiri malam kami dengan menikmati aiskrim Mekah yang memang popular sedapnya.

Friday, April 17, 2009

Warna-Warni Al-Fatih

Bermula January 2009, Al Fatih mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan membuka sebuah lagi taska di Bandar Seri Putra. Keputusan besar ini diambil sejurus sebelum aku dan allahyarham suami berlepas ke Mekah. Antara doa yang selalu ku pohonkan di hadapan kaabah ialah semuga Allah meredhai usaha-usaha dakwah keluarga al-Fatih dan memberi kekuatan kepada semua tenaga pengurusan dan pengajarnya untuk menjadi murrabi yang memberi makna kepada kehidupan anak-anak didiknya.

Alhamdulillah, 11hb January yang lepas, Pengurusan Al Fatih dapat meluangkan masa untuk mengadakan kenduri doa selamat di premis taska baru. Kenduri doa selamat ini dihadiri oleh keluarga al-Fatih, jiran-jiran dan Ibu bapa anak-anak taska

Pendidikan anak-anak adalah amanah yang amat berat dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Sebagai pendidik, kami menggalas peranan yang tidak kurang beratnya berbanding Ibu Bapa. Melihat wajah-wajah suci ini mana mungkin hati tidak terusik.


Minggu lepas juga kami adakan program outdoor untuk anak-anak tadika. Selepas Hari Sukan Mac lepas, anak-anak banyak menghabiskan masa dalam kelas, mengambilkira fitrah anak-anak yang suka bermain, kami bagi anak-anak ni lepas bebas bermain sambil buat treasure hunt di padang permainan.

Iqbal -ketua kumpulan 'Tiger' trying to figure out clue yg diberi di check point 3.

Kumpulan 'Camel' bertungkus lumus memadankan suku kata

Kumpulan 'Bear' masih tak pasti adakah ini check point 4 ....

Dua aksi berbeza dari 2 kumpulan berbeza di checkpoint yang sama...

Semuga warna-warna ini akan terus menyerikan hitam putih perjalanan dan menjadi penyuntik semangat untukku meneruskan kehidupan.

Sunday, April 12, 2009

Lukisan Alam..

Lukisan Alam
Artist: Hijjaz

Hidup tidak selalunya indah
Langit tak selalu cerah
Suram malam tak berbintang
Itulah lukisan alam
Begitulah aturan Tuhan

Jadilah rumput nan lemah lembut
tak luruh dipukul ribut
Bagai karang didasar lautan
Tak terusik dilanda badai

Dalam sukar... hitunglah kesyukuranmu
Dalam senang... awasi kealpaanmu
Setitis derita melanda
Segunung KurniaanNya

Usah mengaharpkan kesenangan
Dalam perjuangan perlu pengorbanan
Usah dendam berpanjangan
Maafkan kesalahan insan

Dalam diam... taburkanlah baktimu
Dalam tenang... buangkanlah amarahmu
Suburkanlah sifat sabar
Dalam jiwamu itu
Di dalam jiwamu itu