Agak sukar mencari kawasan untuk meletakkan beg beg kami kerana kawasan itu telah mula dipenuhi ratusan (mungkin ribuan ?) jemaah. Selepas membentang tikar pemberian TH yang memang cukup berguna sepanjang di sana, kami pun mengerjakan solat Isyak secara berjamaah. Cabaran untuk ke tandas bermula bagiku kerana walaupun cuba ditahan tapi 'panggilan fitrah' itu begitu sukar dielak. Akhirnya setelah hampir 30 minit menunggu aku dapat juga masuk ke tandas dan seterusnya memperbaharui wudhu'.
Kemudahan tandas yang terhad memang menguji, terutamanya bagi jemaah wanita. Bagi yang kurang sabar ada yang mengambil wudhu' di kawasan lapang tanpa memperhatikan soal menjaga aurat. Sambil beratur menunggu giliran berbagai ragam manusia dapat ku lihat. Cukup simpati melihat jemaah haji terutamanya yang sudah lanjut umur. Maklumlah bila sudah berumur memang sukar menahan untuk buang air, maka mereka selalunya minta untuk memotong barisan, bagi yang bertimbang rasa tentu diizinkan tapi bagi yang agak kurang emphati sikit, terpaksalah juga makcik-makcik ni menunggu giliran sambil menahan rasa. yang paling dikhuatiri ialah apabila mulut mula mengomel dan tak kurang juga yang marah-marah.
Bagi diriku sendiri, memang ini antara ujian yang paling ku takuti..kerana berdasarkan pengalaman di tanahair, kalau drive dari BSP sampai ke RnR Ayer Keroh pun mesti ke toilet. Alhamdulillah berkat doa yang tak putus-putus kupanjatkan, aku dapat melalui ujian itu.

Walaupun bekas kandang kambing yang kami duduki itu begitu padat dgn lautan manusia, aku tetap merasakan nikmatnya berada di bumi ibadah yang menjanjikan penghapusan dosa. Sambil duduk-duduk bersama suami kami menyaksikan jemaah haji Indonesia mula berarak meninggalkan Mudzalifah menuju ke Mina dengan berjalan kaki. Laungan talbiah memenuhi setiap ruang angkasa Mudzalifah. Ada juga yang mula bertakbir raya.

No comments:
Post a Comment