Thursday, May 28, 2009

Milik Siapakah Harta itu.....

Harta menurut Rasulullah s.a.w itu terbahagi kepada tiga:

Yang pertama, harta yang fana, iaitu harta yang dimakan. Harta itu setelah masuk ke dalam perut manusia akhirnya ia akan dikeluarkan menjadi najis, setelah itu tidak ada sesiapa yang hendak berbangga dengan najis itu, malah tidak ada yang hendak mendakwa sebagai miliknya lagi

Yang kedua, harta yang akan buruk, seperti pakaian, kenderaan dan sebagainya. Semua harta tersebut akan melalui proses keusangan dan setelah ia buruk tidak ada siapa yang menghendakkinya lagi. Pakaian buruk mungkin akan menjadi lap kaki, jika kenderaan buruk akan menjadi besi karat dan terbuang.

Yang ketiganya ialah harta yang diberikan kepada manusia, sama ada dalam bentuk nafkah, sedekah dan hadiah. Harta itu adalah harta simpanan bagi seseorang. Walaupun pada zahirnya harta tersebut telah bertukar milik kerana diberikan kepada orang lain, tetapi pada hakikatnya ia adalah merupakan saham atau tabungan bagi seseorang di sisi Allah yang berupa ganjaran pahala.

Monday, May 25, 2009

Kembara Rabbani Abang Salleh dan keluarga

Jam 9:20 mlm tadi Abang Salleh, isterinya Kak Midah, anak-anak; Farah Shahida, Nurul Nazirah dan Haikal Helmi serta ibu mertua dan kakak ipar berlepas dari KLIA dengan penerbangan Etihad Airways ke Abu Dhabi. Penerbangan mereka akan transit sejam di Abu Dhabi sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah dan seterusnya menaiki bas dari Jeddah ke Madinah.

Permusafiran mereka kali ini insya-Allah untuk mengerjakan Ibadah Umrah. Bagi diriku, menyaksikan suasana kaum keluarga mengucapkan salam perpisahan kepada Jemaah Umrah membangkitkan nostalgia yang cukup membuat dada terasa sebak. Hanya 4 bulan yang lalu aku berada di tempat yang sama dalam suasana yang hampir serupa, cuma bezanya aku ditemani oleh suami yang juga teman sejatiku dan kini aku bersendirian meneruskan perjalanan yang entah di mana noktahnya.

Semuga kembara rabbani abang Salleh dan keluarganya mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Dalam doa yang kau panjatkan didepan kaabah atau di Raudhah nanti jangan lupa doakan adikmu ini diberi kekuatan iman untuk menyusuri setiap detik kehidupan.

Sunday, May 24, 2009

Tazkirah Untuk Diri (Jalan Jalan suburkan silaturrahim)

Memang menjadi kelaziman anak anak al-Fatih untuk membaca Surah Al-Asr dan tasbih Kifarah sebagai penutup kelas. Dan setiap kali membacanya ia memberi tazkirah pada diri, alangkah benarnya janji Allah berkaitan masa, begitu banyak pengajaran yang boleh diambil dari surah yang pendek dan mampu dihafaz dengan baik oleh anak-anak usia tadika sekalipun.

[وَالْعَصْرِ- إِنَّ الإِنسَـنَ لَفِى خُسْرٍ- إِلاَّ الَّذِينَ ءامَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّـلِحَـتِ وَتَوَاصَوْاْ بِالْحَقّ وَتَوَاصَوْاْ بِالصَّبْرِ-]

(1. By Al-`Asr.) (2. Verily, man is in loss.) (3. Except those who believe and do righteous deeds, and recommend one another to the truth, and recommend one another to patience.)

Berbagai perisitiwa yang menimpa diri sungguh adalah peringatan Allah buat diri yang kerdil lagi lalai ini, aku bersyukur Ya Allah, aku belajar redha menerima semuanya, musibah yang menimpa diri adalah ibarat teguran penuh kasih sayang dariMu terhadap hambaMu.

Menginsafi betapa masa adalah modal utama yang dibekalkan Allah, waktu yang telah berlalu hari ini tidak mungkin akan kembali lagi pada hari esok. Aku harus bangkit dan belajar untuk bangun dan berlari semula...

Hadis sahih riwayat al-Tirmiziy [1] yang bermaksud : Tidak akan berganjak kaki seseorang itu pada hari Kiamat sehinggakan dia ditanya tentang umurnya, bagaimanakah dia menghabiskannya, dan tentang ilmunya apakah yang dilakukan dengannya, tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan bagaimanakah dia membelanjakannya, dan tubuhnya bagaimanakah dia menggunakannya.


Sabtu lepas aku memilih untuk mengisi cuti hujung minggu dengan menziarahi anak saudaraku Lynn dan Ujang yang berniaga kedai makan di Kg Subang. Kami berempat (aku ditemani mak, Dik Pah dan Aziah) bertolak menyusuri lebuhraya untuk memberi sokongan moral kepada Lynn dan Ujang. Alhamdulillah rezeki kami petang tu dapat menjamu selera dengan hidangan ala carte yang lazat. Tahniah, hidangan yang disediakan berkualiti dan khidmat layanan pun cepat. Cuma rasa rugi betul tak dapat makan mee bandung Muar, lain kali insya-Allah kami datang lagi. Nanti maksu kempen kat semua sedara mara kita untuk ke kedai Lynn dan Ujang bila diaorang datang rumah maksu lepas ni.

Lynn dan Ujang memulakan perniagaan sejurus sebelum aku dan suami bertolak ke Mekah. Masih terbayang di ruang mataku, Ujang 'berguru' dengan allahyarham paksu tentang sepak terajang dunia perniagaan pada malam kenduri kesyukuran sebelum keberangkatan kami ke Mekah. Alhamdulillah, teruskan perjuangan Lynn dan Ujang. Sematkan semua wasiat paksu dalam menempuhi dunia perniagaan yang mencabar ini, ingat selalu pesan Paksu "Ar Rizk Minnallah ~ Rezeki itu dari Allah). Lepaskan pergantungan kepada manusia dan hanya kepada Allah tempat kita meletakkan harapan.

Sunday, May 17, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...Wukuf Di Arafah

Wukuf Di Arafah adalah kemuncak perjalanan Haji kami seperti Sabda Rasulullah " Haji itu ialah Arafah". Hari Wukuf kali ini bersamaan dengan 7hb Disember 2008. Oleh kerana kami hanya dibenarkan membawa sebiji beg sahaja, maka kami perlu berhati-hati memilih pakaian dan barang yang betul betul perlu sahaja utk dibawa. Rombongan jemaah Haji Mitra Kembara bertolak dengan 3 bas dari hotel penginapan di Misfalah pada 8 Zulhijjah kira kira jam 11:45 pagi. Sewaktu kami bertolak, jalan jalan ke Masjidil Haram dan kedai kedai mulai lengang kerana kebanyakan Jemaah Haji telah mula bergerak meninggalkan Mekah menuju ke Mina dan Arafah.

Terasa begitu mendebarkan perjalanan kali ini kerana membayangkan arus manusia yang berjumlah hampir 3 juta yang akan melalui laluan yang sama menuju destinasi yang sama. Arafah yg terletak di luar batas Tanah Haram terletak kira-kira 22km dari sebelah tenggara masjidil Haram. Alhamdulillah perjalanan kami lancar, 10 minit sebelum pukul 1 kami sampai di perkhemahan Arafah yang dari jauh kelihatan seperti cendawan tumbuh di waktu hujan. Sukar membayangkan padang Arafah yang tandus dan gersang itu akan menjadi destinasi ibadah yang begitu penting dalam kehidupan seorang muslim.

Dari Aisyah r.a Rasulullah bersabda (maksudnya) "Tidak ada hari yang Allah membebaskan ramai hambaNya daripada api neraka lebih ramai daripada Hari Arafah. Allah hampir dengan hambanya dan berbangga -bangga dengan mereka kepada Malaikat dengan berfirman "Apa yang mereka mahu".

Kami adalah antara Jemaah yang awal sampai di Maktab 83. Selepas meletakkan beg di khemah aku mengambil kesempatan meninjau-ninjau sekitar khemah yang masih lengang, Alhamdulillah kemudahan tandas yang disediakan agak banyak dan selesa. Pepohonan yang ditanam kerajaan Arab Saudi juga telah mula merendang dan ini menjadikan kawasan khemah itu agak mendamaikan berbanding cerita yang ku dengar dari jemaah yang terdahulu.

Terasa begitu nikmat menghirup udara di bumi Arafah, bumi di mana Rasulullah s.a.w telah menyampaikan wasiat terakhirnya ketika melakukkan Haji Wida' (iaitu Haji yang terakhir dan pertama bagi Rasulullah s.a.w) pada tahun ke-9 Hijrah. Aku bersyukur Ya Allah kerana Engkau telah mengurniakan nikmat ini kepadaku.

Aktiviti 9 Zulhijjah kami bermula dengan Qiamullail, Solat Subuh berjamaah, kuliah ringkas dan membaca Al Mathurat yang telah menjadi zikir harian 'wajib' bagi kami yg mengikuti rombongan Ustaz Halim. Selepas Subuh kami dianjurkan berehat untuk menyediakan diri bagi waktu Wukuf. Seawal jam 11:30 pagi kami semua telah bersiap-siap menunggu Azan Zuhur. Khutbah Arafah yang disampaikan oleh Ustaz Halim dihayati dengan penuh khusyuk.

Selepas Solat Zuhur, Ustaz Halim memimpin kami untuk bertalbiah, berzikir, bertasbih, tauhid, bertahmid dan istighfar. Airmata penyesalan mengiringi doa yang dibacakan Ustaz Halim. Ada ketikanya terasa jiwa begitu sebak lantaran rasa dhaif dan takut tidak diterima doa dan taubat lantaran dosa yang menggunung dan pengharapan bahawa Allah Maha Pengampun dan Maha menerima Taubat hambaNya. Ketika itu walaupun kami duduk bersesak-sesak dalam khemah yang sempit tetapi terasa masing masing begitu sibuk berkomunikasi dengan Khaliqnya. Hanya esak tangis dan rintihan hamba yang begitu mengharap dari Tuhannya yang memenuhi ruang khemah kami. Kira kira 10 minit sebelum masuk waktu maghrib kami keluar ke tanah lapang di sebelah khemah untuk berdoa. Sukar menggambarkan perasaan yang bersarang dalam hati ketika itu. Aku berdoa semuga semua saudara mara dan sahabat-sahabatku akan diberi Allah nikmat untuk berada walau sekejap di Bumi Arafah ini, insya-Allah.

Selesai waktu Wukuf kami segera berkemas untuk berangkat ke Mudzalifah kerana kami telah diberitahu Ustaz bahawa rombongan kami adalah rombongan kedua yang akan bergerak dari Arafah, so sebaik makanan tiba kami menjamah makan malam seadanya dan terus solat maghrib berjamaah. Sebelum bergegas berlari untuk ke tempat menunggu bas, aku dan suami sempat bergambar bersama rakan rakan sebilik dan inilah hasilnya..

Friday, May 8, 2009

Dahaga Cinta...


Ketika aku masih anak-anak
Tanganku buka mengharapkan pelukanmu
Lalu kau berikan beruang mainan sebagai ganti

Ketika aku mengharapkan sepenuh perhatianmu bersama senduku
Kau berikan pelbagai mainan untuk menghiburku

Hanya TV, Video dan Kartun
Menggantikan kehadiranmu sebagai penghibur, teman dan keluarga

Kita bersama
Hanya di dalam kereta
Ketika pergi dan balik dari rumah asuhan
Ada ketikanya, kau dan aku
Terlalu penat atau pun mengantuk
Lalu kita pun membisu dalam kedinginan sunyi

Kini aku telah dewasa, kau pula lanjut usia
ketika kau, ku bawa berkereta
Kesepian yang menyeksakan itu berulang semula

Ku tanya apa mahumu
Ku tanya ke mana ingin kau tuju
Dan doktor mana yang menjadi pilihanmu

Namun, aku masih bercanda bersama pelbagai mainanku
Kereta, telefon bimbit, golf,shopping
PADA KETIKA , KAU MEMERLUKAN KEHADIRANKU

Saturday, May 2, 2009

Dunia Binatang....

Dialah Allah, Yang Menciptakan, Yang Menjadikan, Yang Membentuk Rupa. Baginya nama-nama terbaik. Semua yang ada di langit dan bumi mengagungkan-Nya. Dialah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Bijaksana (QS Al Asyr: 24)

... Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang-binatang yang
melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda
(kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini
(QS Al-Jaatsiyah: 4)



30hb April yang lepas anak-anak Al-Fatih mengunjungi zoo negara dalam misi menyingkap tabir rahsia kebesaran Allah. Seminggu sebelum itu anak-anak memang telah didedahkan dengan tema binatang dalam subjek Little Scientist. Bukan satu tugas yang mudah untuk menanamkan dalam jiwa anak-anak pada umur 4-6 tahun untuk melihat setiap kejadian Allah dengan sudut pandangan yang berbeza.

Pernah satu waktu aku hampir tidak mampu menahan air mata saat men'curi' dengar perbualan dua orang anak al-Fatih ketika salah seorang teman mereka dengan kejamnya membuli ulat gonggok. "Awak, janganlah bunuh ulat tu, kan teacher kata dia makhluk Allah.." Teman yang agak nakal tadi tidak peduli .."alah teacher tak nampaklah.." Si teman tadi menjawab dengan yakin " Kita bukan takut teacher, kita takut Allah"..Allahuakbar, aku yakin jika anak ini digilap imannya, jika menjadi jurutera dia akan menjadi jurutera yang amanah, jika menjadi pemimpin dia akan menjadi pemimpin yang amanah.

Menjadi guru yang dapat memberikan "makna" kepada anak-anak didiknya adalah tugas paling berat pernah ku pikul dalam dunia kerjayaku selama 19 tahun. Kadangkala aku merasa tersepit antara tuntutan untuk menyempurnakan lesson plan dan keinginan untuk menyuburkan sifat ingin mengenali kejadian Allah dalam diri anak-anak generasi warisan ini. Semuga aku terus diberi petunjuk dan kekuatan untuk menyempurnakan amanah ini.

Pengembaraan anak-anak Al-Fatih ke dunia binatang sangat mengujakan. Itulah anak anak, walaupun (menurut ibu bapa) ada yang dah kali ke-7 mengunjungi zoo masih juga seronok apatah lagi kunjungan mereka kali ini bersama teman-teman. Dunia binatang ternyata sangat luas horizonnya, setiapkali ke zoo, ada sahaja binatang yang baru dikenali. Memang tercabar bila anak-anak tanya." binatang apa ni teacher" dan teacher terpaksa mencari papan tanda sebab teacher pun tak tahu...

Trip bersama anak anak yang penuh stamina juga mencabar kekuatan fizikal, mujurlah trip kali ni sengaja dipilih pada 30 April supaya kami ada masa 3 hari untuk memulihkan tenaga..

Dalam dunia di mana manusia dihadapkan dengan krisis identiti, di mana manusia mula lupa tugasnya sebagai Khalifah yang sepatutnya mengurus amanah alam, di mana manusia lupa mengapa dia dilahirkan di dunia, apakah ada pilihan lain selain kembali kepada Allah Yang Mencipta dan Menjadikan. Sebagai Ibu Bapa dan pendidik, di bahu kitalah terpikulnya amanah dan tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak anak yang masih suci jiwanya ini supaya sentiasa memikirkan kebesaran ciptaan Allah. Sila click sini untuk lebih memahami, mudah-mudahan membantu.