Wukuf Di Arafah adalah kemuncak perjalanan Haji kami seperti Sabda Rasulullah " Haji itu ialah Arafah". Hari Wukuf kali ini bersamaan dengan 7hb Disember 2008. Oleh kerana kami hanya dibenarkan membawa sebiji beg sahaja, maka kami perlu berhati-hati memilih pakaian dan barang yang betul betul perlu sahaja utk dibawa. Rombongan jemaah Haji Mitra Kembara bertolak dengan 3 bas dari hotel penginapan di Misfalah pada 8 Zulhijjah kira kira jam 11:45 pagi. Sewaktu kami bertolak, jalan jalan ke Masjidil Haram dan kedai kedai mulai lengang kerana kebanyakan Jemaah Haji telah mula bergerak meninggalkan Mekah menuju ke Mina dan Arafah.
Terasa begitu mendebarkan perjalanan kali ini kerana membayangkan arus manusia yang berjumlah hampir 3 juta yang akan melalui laluan yang sama menuju destinasi yang sama. Arafah yg terletak di luar batas Tanah Haram terletak kira-kira 22km dari sebelah tenggara masjidil Haram. Alhamdulillah perjalanan kami lancar, 10 minit sebelum pukul 1 kami sampai di perkhemahan Arafah yang dari jauh kelihatan seperti cendawan tumbuh di waktu hujan. Sukar membayangkan padang Arafah yang tandus dan gersang itu akan menjadi destinasi ibadah yang begitu penting dalam kehidupan seorang muslim.
Dari Aisyah r.a Rasulullah bersabda (maksudnya) "Tidak ada hari yang Allah membebaskan ramai hambaNya daripada api neraka lebih ramai daripada Hari Arafah. Allah hampir dengan hambanya dan berbangga -bangga dengan mereka kepada Malaikat dengan berfirman "Apa yang mereka mahu".
Kami adalah antara Jemaah yang awal sampai di Maktab 83. Selepas meletakkan beg di khemah aku mengambil kesempatan meninjau-ninjau sekitar khemah yang masih lengang, Alhamdulillah kemudahan tandas yang disediakan agak banyak dan selesa. Pepohonan yang ditanam kerajaan Arab Saudi juga telah mula merendang dan ini menjadikan kawasan khemah itu agak mendamaikan berbanding cerita yang ku dengar dari jemaah yang terdahulu.
Terasa begitu nikmat menghirup udara di bumi Arafah, bumi di mana Rasulullah s.a.w telah menyampaikan wasiat terakhirnya ketika melakukkan Haji Wida' (iaitu Haji yang terakhir dan pertama bagi Rasulullah s.a.w) pada tahun ke-9 Hijrah. Aku bersyukur Ya Allah kerana Engkau telah mengurniakan nikmat ini kepadaku.
Aktiviti 9 Zulhijjah kami bermula dengan Qiamullail, Solat Subuh berjamaah, kuliah ringkas dan membaca Al Mathurat yang telah menjadi zikir harian 'wajib' bagi kami yg mengikuti rombongan Ustaz Halim. Selepas Subuh kami dianjurkan berehat untuk menyediakan diri bagi waktu Wukuf. Seawal jam 11:30 pagi kami semua telah bersiap-siap menunggu Azan Zuhur. Khutbah Arafah yang disampaikan oleh Ustaz Halim dihayati dengan penuh khusyuk.
Selepas Solat Zuhur, Ustaz Halim memimpin kami untuk bertalbiah, berzikir, bertasbih, tauhid, bertahmid dan istighfar. Airmata penyesalan mengiringi doa yang dibacakan Ustaz Halim. Ada ketikanya terasa jiwa begitu sebak lantaran rasa dhaif dan takut tidak diterima doa dan taubat lantaran dosa yang menggunung dan pengharapan bahawa Allah Maha Pengampun dan Maha menerima Taubat hambaNya. Ketika itu walaupun kami duduk bersesak-sesak dalam khemah yang sempit tetapi terasa masing masing begitu sibuk berkomunikasi dengan Khaliqnya. Hanya esak tangis dan rintihan hamba yang begitu mengharap dari Tuhannya yang memenuhi ruang khemah kami. Kira kira 10 minit sebelum masuk waktu maghrib kami keluar ke tanah lapang di sebelah khemah untuk berdoa. Sukar menggambarkan perasaan yang bersarang dalam hati ketika itu. Aku berdoa semuga semua saudara mara dan sahabat-sahabatku akan diberi Allah nikmat untuk berada walau sekejap di Bumi Arafah ini, insya-Allah.
Selesai waktu Wukuf kami segera berkemas untuk berangkat ke Mudzalifah kerana kami telah diberitahu Ustaz bahawa rombongan kami adalah rombongan kedua yang akan bergerak dari Arafah, so sebaik makanan tiba kami menjamah makan malam seadanya dan terus solat maghrib berjamaah. Sebelum bergegas berlari untuk ke tempat menunggu bas, aku dan suami sempat bergambar bersama rakan rakan sebilik dan inilah hasilnya..
No comments:
Post a Comment