Thursday, March 26, 2009

16hb Mac itu...

Cuti sekolah minggu lepas, aku balik ke kampung halaman di Johor. Bertolak dari BSP hampir pukul 5 ptg kami sampai di rumah Kak sarah di Kg Parit Lapis Mahang waktu jam menunjukkan hampir pukul 9 malam. Mujur permusafiran kami kali ni ditemani teacher Yan yang teringin nak tengok kampungku. Hujan lebat sepanjang perjalanan dari Bangi ke Ayer Hitam mungkin faktor utama jalan masuk ke kampung begitu sunyi, hampir kami tak bertemu dengan kereta sepanjang jalan dari Parit Hamid ke rumah Kak Sarah, hanya doa dan tawakkal menjadi peneman sepanjang perjalanan.

Persinggahan kami ke rumah Kak Sarah memang dirancang sebab nak ziarah kak sarah yang baru lepas buat coronary intervention (heart blockage). Kak Sarah sepatutnya menjalani 3 kali rawatan, the next one will be in May. Alhamdulillah kakak kelihatan sihat dan masih bersemangat.

Balik kampung memang percutian yang menenangkan. Pesara macam abang iparku begitu tenang menikmati masa pencennya. Selain berkebun kelapa sawit, kang Salam mengutip buah buah pinang untuk dijemur dan dijual sebagai kopra pinang, walaupun harganya murah tapi baginya inilah salah satu aktiviti riadah yang telah dilakukannya sejak zaman bujang lagi.

Sehari semalam di rumah Kak Sarah kami meneruskan pejalanan balik ke rumah mak di Kulai kerana keesokkan paginya aku telah merancang untuk menziarahi pusara suami di tanah perkuburan Kangkar Pulai. Tarikh 16hb Mac itu begitu bererti bagiku kerana ia adalah tarikh ulangtahun perkahwinan kami. Dalam usia perkahwinan kami yang amat singkat ini dia telah memberikan aku seluruh kebahgiaan yang didambakan oleh seorang isteri dari seorang suami. namun sebagai hamba, aku akur bahawa seluruh cinta dan kasih sayangku tidak mungkin menandingi cinta dan kasih sayang Allah padanya..

Akhirnya dengan berat aku meninggalkan tanah perkuburan yang begitu mendamaikan itu. Aku harus kembali ke alam realiti dan meneruskan kehidupan seperti yang diamanahkan.

Sebelum balik lagi aku telah berjanji dengan anak-anak saudaraku untuk membawa mereka ke zoo sempena cuti sekolah. Selepas ke kubur kami pun meneruskan perjalanan ke Zoo Interactive di Saleng. Melihat keletah dan keriangan anak-anak saudara seolah mengubat mendung yang berlabuh di hati. Sesungguhnya anak-anak itu dilahirkan dalam fitrah, mereka umpama air hujan yang menjadi penawar di kala kemarau panjang. Lama juga kami berlegar-legar di dalam zoo, kebetulan cuaca pun tak berapa panas terik jadi suasana agak nyaman.

Alhamdulillah, percutian yang singkat namun begitu bererti. Ada seorang insan pernah memberitahu ku...kadangkala untuk ke depan kita perlu melangkah beberapa tapak ke belakang.....Berputus asa bukan sifat insan yang dikasihi Tuhan, namun mencari ruang-ruang dan sisa-sisa kekuatan untuk meneruskan perjalanan hingga sampai masa dipanggil pulang...

No comments: