Mohon maaf kerana perkongsian pengalaman menjadi tetamu Allah terhenti lama. Terima kasih yang bertanya bila nak sambung cerita...insya-Allah akan terus menulis dan berkongsi selagi diizinkan Allah...
Dari Hujjaj terminal (Jeddah) kami dibawa dengan bas menuju ke hotel penginapan kami di Mekah. Nombor bas memang dah awal-awal ditulis pada pelekat maktab. Jadi selepas berkumpul mengikut nombor bas yang dipegang petugas TH kami pun berjalan keluar dari terminal menuju ke deretan bas yg telah menunggu. Sementara pekerja-pekerja terminal mengangkut beg-beg kami ke atas bas, kami dijamu dengan makan tengahari. Sukar juga nak menggayakan hidangan nasi ayam yg disediakan dalam keadaan tempat duduk bas yang agak sempit, Alhamdulillah akhirnya aku berjaya juga menyesuaikan diri dan menikmati kelazatan hidangan nasi ayam Arab yang pertama dalam hidupku.
Jarak perjalanan dari Jeddah ke Makkah mengambil masa kira-kira 1 jam lebih (100+ km). Kami sampai di Mekah ketika maghrib telah melabuhkan tirainya. Di Mekah waktu maghrib awal (kira-kira jam 5:49p.m) Alhamdulillah, akhirnya kami sampai juga ke tanah haram yang dirindui sejak sekian lama. Seribu satu perasaan menyelinap segenap ruang hati, sebak, syukur, gembira, takut.. Aku dan suami mula membaca doa ketika melihat Kota Mekah. Terasa betapa luhurnya rahmat Allah yang telah mengizinkan kami sampai disini.
Selepas beberapa kali bas yang kami naiki berpusing-pusing di sekitar Mekah mencari hotel penginapan, akhirnya kami sampai ke daerah Misfalah dimana hotel penginapan kami terletak. Ketibaan kami disambut oleh Mutawif Muassasah maktab 83 iaitu Tuan Hj Lufti yang boleh bertutur bahasa Malaysia dengan baik. Takdir Allah memang menakjubkan, hotel yang kami singgahi sama dengan nama tadika ku, aku begitu teruja dan berkali-kali meminta suami mengambil gambar untuk dijadikan bukti bila balik Malaysia nanti.
Walaupun keletihan mula terasa selepas melalui jarak perjalanan yang jauh dan masa yang begitu panjang, namun hati mula meronta-ronta untuk mengunjungi Masjidil Haram dan Kaabah. Ustaz Halim (pembimbing Haji - Pakej Mitra Kembara) bagaimanapun meminta kami berehat di bilik dahulu dan berkumpul semula di lobby hotel pada pukul 10mlm.
Walaupun aku dan suami tinggal berasingan namun bilik kami bersebelahan. Aku ditempatkan dibilik 702 manakala suami di bilik 705. Walaupun bilik yang didiami agak kecil untuk kami berkongsi 5 orang namun bagiku cukup selesa. Kami yang menaiki KT74 adalah kumpulan kedua dari pakej Mitra Kembara yang tiba di Mekah. Kumpulan pertama tiba adalah jemaah dari KT71.
Tepat pukul 10, jemaah KT 74 mula berkumpul di depan hotel Ufuk Al Fateh. Ustaz Halim membawa kami menuju ke Masjidil Haram yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari hotel tempat kami menginap. Bila di Mekah, buku doa yang digantung leher menjadi sahabat yang paling setia dan menemani kami kemana jua kami pergi. Sebaik mula menghala ke arah masjidil haram aku mula merasakan kehangatan dan kesesakan ramainya manusia. Walaupun bukan waktu peak hours lautan manusia tetap memenuhi ruang-ruang jalan sehingga ke dataran masjid.
Sepanjang perjalanan Ustaz mengulang kembali secara intensif apakah rukun/wajib dan sunat serta doa-doa dan yang perlu dibaca. Bagi yang memilih kaedah tamatu' maka kami akan melaksanakan umrah dahulu. Jemaah yang memilih untuk melakukan kaedah Ifrad, mereka akan melakukan tawaf selamat datang dan Saie Haji. Memasukki Masjidil Haram yang tersergam indah membuat aku merasa begitu rendah diri dan kerdil...ketika hati masih berperang dengan berbagai perasaan, kaki terus bergerak mengikuti Ustaz Halim ke arah Kaabah yang menjadi pusat tumpuan umat islam seluruh dunia. Ketika aku mengangkat muka sambil membaca doa melihat kaabah di depanku terlihat bangunan yang dilingkungi begitu ramai manusia...
Ya Allah, hambamu datang Ya Allah...Engkau telah membawaku ke sini ke rumahmu yang mulia, hambamu datang menyahut panggilanMu ya Allah, maka terimalah hambamu yang jahil dan berdosa ini..hati ini ingin sekali menangis namun tiada airmata yang menitis ketika aku melafazkan kalimat syukur, adakah ini tandanya hatiku masih keras dan banyak dosa...
Selesai melaksanakan tawaf, kami solat jamak Maghrib dan Isyak di belakang makam Ibrahim. Ramainya manusia tidak memungkinkan kami untuk mendekati Hajar Aswad. Walaupun hati teringin untuk mengucupnya, tapi suami mengingatkan bahawa mengelakkan mudharat adalah lebih utama dari mengejar sunat. Aku sendiri melihat bagaimana manusia berasak-asak apabila mula tiba di rukun yamani hingga ada ketikanya tanpa mereka sedari mereka menzalimi saudara se-islam mereka. Teringat ceramah ustaz TH, mengucup Hajar Aswad itu sunat, tetapi menjaga hak saudara Islam itu wajib.
Selepas tawaf, suami terus memanduku ke Bukit Safa untuk melakukan Saie. Alhamdulillah sebab suami dah pernah pergi sebelum ini maka pergerakan kami menjadi lebih mudah dan tidak perlu mencari-cari. Ketika ini kami telah terpisah dari Ustaz Halim dan ahli kumpulan yang lain. Alhamdulillah kami selesai Saie Umrah dan bertahlul kira kira jam 2 pagi dan terus balik ke hotel untuk berehat.
No comments:
Post a Comment