Sunday, March 1, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...1

Niat untuk menulis pengalaman menjadi tetamu Allah mula tersemat di hati sebaik menerima pengesahan dari TH bahawa aku dan allahyarham suami terpilih sebagai JH (Jemaah Haji) 1429H. Insya-Allah catatan ini adalah pengalaman peribadi yang ingin dikongsikan bersama sahabat blogger dan sesiapa yang sudi membaca. Mudah-mudahan ada sedikit kebaikan yang dapat dikutip dari perjalanan rabbani kami.

Kami diminta check in di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada pukul 3:30 pagi , 25hb November 2008. Seawal pukul 2:30 pagi Fairuz (anak buah suami) tiba di rumah kami untuk menghantar kami ke Kelana Jaya. Selesai mengenakan pakaian Ihram dan bersolat sunat musafir & solat sunat Ihram kami bertolak dengan perasaan berdebar-debar. Entah mengapa permusafiran kali ini terasa lain benar.

Kami tiba di Kompleks TH tepat jam 3:30 pagi. Rupanya kami adalah antara JH terakhir yang tiba. Kebanyakan JH sampai seawal 8 malam. Suspen juga melihat suasana yang agak lengang, Booth pendaftaran untuk mengambil beg pun dah ditutup. kami diarahkan supaya terus beratur untuk check in.

Alhamdulillah kami tak perlu beratur atau menunggu lama, urusan check in berjalan lancar. Kami dibawa terus ke dewan menunggu di kompleks TH untuk taklimat sebelum bertolak. SubhanAllah, kami memang betul-betul dilayan sebagai VIP malam tu. Dalam hati bercampur antara malu dan bersyukur. Selepas taklimat kami menaiki bas yang diiringi oleh Polis trafik menuju ke KLIA. Bas meluncur laju tanpa perlu berhenti walaupun lampu trafik merah.

Setibanya di KLIA kami terus dibawa ke ruang menunggu dan mengerjakan solat Subuh di sana. Penerbangan KT 74 yg dijadualkan berlepas jam 7:00 a.m di tunda ke pukul 9:00a.m kerana masalah teknikal. Dalam hati aku beristighfar banyak-banyak, ujian telah bermula. Tepat pukul 9:00 Saudi Airlines berlepas meninggalkan KLIA. Penerbangan pergi selama 8 jam agak mendebarkan, masih terasa betapa eratnya genggaman tangan suami setiapkali k/terbang bergegar kuat. Selepas berniat di miqat (Qarnul Manazil) aku dan suami terus-terusan melafazkan talbiah dan air mata mula mengalir kerana kami sedar tempat yang dirindui untuk dikunjungi sekian lama makin hampir.

Akhirnya Saudi Airlines yang membawa JH KT74 mendarat di lapangan terbang Jeddah jam 12:35 noon (5p.m waktu Malaysia) . Sebaik k/tbang mendarat perkara pertama yg terlintas di benak ialah melihat muka bumi Jeddah yang begitu kering dan berbatu. Begitu juga dengan layanan yang diterima amat berbeza dari kakitangan TH atau KLIA. Masa inilah terlintas di fikiran perbincangan sirah dengan sahabat-sahabat usrah. Memang benar bangsa Arab secara fizikal dan tuturcaranya agak 'kasar' dan ini tentunya berkait rapat dgn muka bumi Tanah Arab.

Sebaik memasukki ruang Hujjaj Terminal, aku memberitahu diriku sendiri ujian sebenar telah bermula..selepas 8 jam 'terikat' di kerusi kapalterbang, masing-masing mula tidak sabar untuk meneruskan perjalanan. Urusan pemeriksaan passport dan visa yg dilakukan secara 'manual' dalam suasana manusia beratur panjang seolah-seolah satu pesta meraikan kedatangan kami. Teriakan-teriakan 'Haji' dan 'Hajjah' mula memenuhi setiap ruang.. rasanya kenalah membiasakan diri dengan panggilan-panggilan ini selepas ini..

Selesai urusan memeriksa passport kami di bawa ke ruang berehat untuk JH dari Malaysia. Alhamdulillah fasiliti yang disediakan cukup selesa. Sementara menunggu bas yang akan membawa kami ke Mekah, JH mengerjakan solat Zuhur dan Asar di ruang solat yg disediakan. Bagi yang ingin ke tandas masa ini digunakan sebaik-baiknya untuk melegakan keperluan keperluan yang mendesak selepas 8 jam terkurung di dalam kapal terbang. Kerana kami pergi dengan penerbangan terus ke Mekah, semua JH pergi dalam keadaan berihram.

Sewaktu mengambil wudhu' untuk solat Zuhur, tanpa sengaja aku melurut rambut untuk membetulkan ikat rambut yg hampir terungkai, dan akibatnya dua helai rambut gugur...Masya-Allah segera aku mengingatkan diri sendiri supaya lebih berhati-hati.

No comments: