Sepanjang jalan kehidupan ini aku bertemu dengan terlalu ramai insan istimewa yang setiap satunya menempati ruang tersendiri dalam kamus hidupku. Bingkisan dari nuraniku ini untuk menyatakan betapa mereka akan sentiasa dekat dihatiku...insya-Allah
Friday, December 30, 2011
Sesungguhnya manusia INI dalam kerugian....
Bila di pusat pengajian tinggi belajar hanya apabila di bilik kuliah atau bila ada group study
Kini aku sedar hidup ini adalah kelas dan kehidupan ini adalah guru...
Sukarnya bangkit dari sebuah musibah yang menguji kekuatan iman insan. Kadang kadang hati teguh seperti karang yg tetap tegap walau dilanda badai...tidak kurang juga waktu hati ini mendung seperti cuaca di musim tengkujuh...
Sejujurnya telah lama aku tidak peduli pada taman kecil di depan rumah semenjak pemergian arwah suami. Kesian taman yg tidak berdosa ini menjadi mangsa hati yang gagal dikuasai. Suatu pagi Allah menggerakkan hati untuk membersihkan pokok pokok di taman ini. Subhana-Allah, Maha suci Allah, yg menizinkan aku belajar dari kehebatan ciptaanNya. Tanaman yg telah lama tidak dipeduli tetap bertunas. Malunya aku pd diri, begitu kuat azammu pokok, walau tidak dipeduli tuanmu, kau tetap tumbuh. ...aku sedar aku bukanlah 'tuanmu', aku hanya penjaga yg diamanahkan untuk memeliharamu.
Wahai hati, wahai iman bangkitlah dari 'kealpaan'...lihatlah kelilingmu dan ambillah pengajaran, tunas baru akan sentiasa tumbuh. Belajarlah dari 'ketaatan' pokok terhadap pemiliknya...
Aku sedar perjalanan ini masih sangat panjang....menuju destinasi abadi yang menjadi matlamat setiap yang mengaku dirinya beriman. Sembuhlah wahai hati yang diuji...bangkitlah dari lena yang panjang...belajar dan teruslah nelajar dari hidup dan kehidupan.....
Tuesday, September 13, 2011
Monday, September 12, 2011
Salam Eidul Fitri 1432H
Rasanya sudah terlalu lama rumah ini tidak menerima tetamu dalam jumlah yang ramai. Kali terakhir aku menjemput tetamu datang ke rumah ialah semasa aku dan arwah suami pergi Haji tahun 1429H. Selepas hampir 3 tahun, akhirnya Syawal ini hatiku tergerak untuk mengajak staff staff al Fatih yang telah ku anggap sebagai saudara sendiri untuk datang ke rumah. Alhamdulillah, dengan bantuan deq Pah, kami berjaya menyediakan nasi tomato dan lauk pauk dari air tangan sendiri untuk dihidangkan kepada para tetamu.
Alhamdulillah, muga muga kehadiran mereka membawa 1000 rahmat dan keceriaan kembali ke rumah kami.
Wednesday, September 7, 2011
Kemaafan
Berilah kemaafan itu
Lepaskan segala belenggu
Tanpa berpaling lagi
Pada dendam dan amarah
Berilah senyuman itu
Ikatkan doa yang suci
Pada salam yang terhulur
Pasti jiwa kan terhibur
Berilah hati itu
Bebaskan segala yang terbuku
Tanpa diguris duka
Pastikan dia bahagia
Berilah apa yang dipinta
Dengan apa yang kau ada
Pasti Tuhan menilainya
Diberi kelapangan jiwa!
Saturday, July 23, 2011
Salam Ramadhan Al Mubarak
Salam Ramadhan Al Mubarak kepada semua sahabat handai,saudara mara jauh dan dekat. Kehadiran Ramadhan sesungguhnya satu hadiah agung daripada Allah kepada kita.
Aku berdoa semuga Allah memberikan kesihatan yang baik, iman yang mantap, iltizam yg tinggi kepada diriku dan semua untuk mengharungi ramadhan dengan sebaik baik amal, mendapat rahmat dipermulaanya, keampunan di pertengahannya dan keselamatan dari api neraka di penghujung ramadhan.
Melalui detik kehadiran Ramadhan ke-3 tanpa suami di sisi sangat menyentuh hati, dengan izin Allah aku akan terus belajar untuk tabah mengharungi sisa sisa kehidupan ini dengan berani. Aku amat yakin Allah Maha tahu apa yang terbaik untuk diri kerdil ini.
Saturday, February 5, 2011
Down Mubarak !
BERSAMA MENYAMBUT ERA DEMOKRASI DI MESIR
Memorandum kepada Amerika Syarikat
4 Februari 2011
Kami, rakyat Malaysia yang prihatin, penegak kebenaran, kebebasan, keadilan, hak asasi manusia dan demokrasi, percaya bahawa pergolakan di Mesir sekarang ini mesti berakhir dengan kemuncak tuntutan rakyat Mesir dipenuhi.
Selepas tiga dekad pemerintahan yang zalim, rakyat Mesir tanpa mengira kepercayaan agama, kedudukan sosial atau kumpulan sekutu telah membuat tuntutan dasar untuk perubahan rejim. Hosni Mubarak mesti meninggalkan takhta presidennya segera.
Inilah satu-satunya tuntutan yang dibawa semasa Perarakan Sejuta Manusia ("million man march") pada 1 Februari 2011. Peristiwa seterusnya telah menjadi semakin buruk dengan tindakan ganas yang dimulakan oleh penyokong Hosni Mubarak ke atas perhimpunan aman di Medan Tahrir. Keganasan ini boleh merebak.
Amerika Syarikat jelas mempunyai pengaruh yang besar ke atas Hosni Mubarak. Sudah tiba masanya bagi Amerika untuk menyatakan pendiriannya, tanpa syarat, bahawa Mubarak mesti berundur. Peralihan dan transisi yang baik ("the orderly transition") mesti bermula dengan Hosni Mubarak berundur. Dengan cara itu sahajalah Amerika Syarikat boleh mendakwa bahawa ia mendengar suara rakyat Mesir.
Rakyat Mesir berhak kepada perubahan rejim. Rakyat Mesir berhak kepada kebebasan, hak untuk menentukan dan membina masa depan mereka sendiri.
Kami dengan ini, atas semangat solidariti bersama rakyat Mesir, menuntut perkara-perkara berikut:
- Bahawa Hosni Mubarak mesti berundur serta merta;
- Bahawa Amerika Syarikat mesti menggesa agar Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan serta merta;
- Bahawa Masyarakat antarabangsa bertindak untuk:
- memastikan keganasan tidak berlarutan,
- memberi tekanan ke atas Hosni Mubarak untuk meninggalkan takhta persidennya serta merta,
- meminta agar kerajaan perpaduan ("government of national unity") ditubuhkan yang akan berperanan sebagai "care taker",
- membantu mengadakan pilihanraya adil dan saksama yang diselia oleh pihak antarabangsa;
- Bahawa semua rejim yang zalim terutama di Timur Tengah mesti mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa yang sedang berlaku dan mendengar suara rakyat mereka
Parti-parti politik, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Rakyat Malaysia yang Prihatin