Showing posts with label Fuaadnnor Raya. Show all posts
Showing posts with label Fuaadnnor Raya. Show all posts

Wednesday, October 8, 2008

Catatan Aidilfitri 1429H ; Ziarah Raya ...

Setelah selesai bermaaf-maafan, acara berkunjung ke rumah sanak saudara pun dimulakan dengan rasminya. Destinasi kunjungan pertama ialah ke rumah Abang Mek & Kak Ju di Bandar Putra, Kulai. Kalau tak biasa memang boleh kelam kabut tuan rumah maklumlah 5 keluarga berkonvoi sekali. Kalau dikira kepala adalah dalam 25 orang ahli rombongan kami. Anak-anak sedara semuanya dah bujang-bujang dan dara belaka.

Kalau ziarah rumah Abang Mek memang tak sah kalau tak kena 'paksa' makan. Kak Ju memang akan keluarkan semua juadah yang ada kat dapur. So bermacam gayalah tamu menikmati hidangan, masa ni jangan cakaplah tentang nak diet atau kolestrol. Semua tolak tepi...yang penting hajat tuan rumah kena raikan...kalau tak makan nanti Abang Mek dengan Kak Ju kecik hati..(hehe). Lagipun rendang hijau Kak Ju memang sepcial dan dicari semua orang. Mula-mula niat nak jamah sahaja tapi bila dah pekena ayam masak kicap dan masak merah Kak Ju, lawan pulak kuah lodeh dan serunding daging...hmm...kena Kak Ju pulak tak sudah -sudah hulur lauk top up dari dapur...akhirnya semua surrender kekenyangan.

Lepas sembang-sembang dan bekas kuih Abang Mek pun dah mula surut, kami pun beredarlah meminta diri dan perut yang kenyang untuk ke destinasi seterusnya...

Kunjungan hormat kedua ialah ke rumah abang sulung kami, Abang Sanip dan Kak Nem yang bermastautin di Taman Manis, Kelapa Sawit, Kulai. Pergi rumah Kak Nem ni interesting sebab tiap tiap tahun ada sahaja cookies raya terbaru yang diperkenalkan. Anak-anak Abang Sanip ramai yang tinggal di KL so depa pakat angkut segala jenis kuih terbaru yang ada di pasaran. tahun ni dapatlah kami merasa kuih tart Bengkulu yang popular kat Rawang. Kuih ni ole-ole dari menantu abang Sanip yang terbaru, Eja. Khabarnya kuih ni diperkenalkan oleh orang-orang Bengkulu, Indonesia yang dah menjadi penduduk tetap di Rawang.

Walapun Kak Nem pelawa makan tapi masing-masing yang dah kekenyangan hanya mampu mencicipi kuih muih raya dan air minuman sahaja. Sebab memang dah lama tak jumpa, masing-masing sibuk bertukar khabar dan berborak sakan.

Destinasi ziarah Raya ketiga ialah ke rumah Abang Man (suami almarhumah kakak kandungku Saliha@Wok). Rumah Abang Man dekat sangat dengan rumah mak. Actually kalau jalan kaki lalu kebun belakang rumah pun boleh sampai. Dulu-dulu kami berulang-aling dari rumah Bang Man berjalan kaki sahaja, tapi sekarang kebun tu dah semak, jalan pun dah tutup dek pokok-pokok separa hutan. So kenalah naik kenderaan nak ke rumah Bang Man.

Waktu kami sampai, tinggal Bang Man dan Kak Mis je berdua kat rumah. Anak-anak dah keluar beraya ke rumah abang mereka di Kulai. Terasa sunyi rumah besar tu, tanpa dapat di tahan-tahan hati teringat betapa meriahnya rumah ini dahulu semasa almarhumah kak Wok masih ada . Kak Wok memang seronok sangat kalau adik beradik datang rumah dia. Pernah dulu Kak Wok kecik-kecik hati sebab adik beradik tak datang rumah lamanya. Kami pun memang tak sabar-sabar nak singgah rumah Kak Wok, nak menjamah ayam kurma dan ayam masak merah kak Wok yang tiada tandingnya. Yang pasti aku tidak pernah akan lupa betapa perihatinya Kak Wok pd adik bongsunya ni, sebab setiap kali aku datang pasti Kak Wok dah simpankan kepak untuk ku. Sesungguhnya pemergian almarhumah kak Wok masih dirindui.

Destinasi terakhir untuk hari itu ialah ke rumah Abang Epong dan Kak Zie. Rumah Abang Epong adalah jarak sepenanak tomyam dari rumah mak. La...rupa-rupanya hari ini hari ulangtahun ke-50 abangku itu. So kak Zie dan anak-anak dah readykan surprise B'day Cake untuk Atuk Pong...

Khas untuk Abang Epong; Selamat hari lahir, sesungguhnya umur adalah amanah Allah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak, kemana umurmu kau habiskan...dan ingatlah pesan adik bongsumu ini: kejarlah Lima sebelum Lima (Muda sebelum Tua, Sihat Sebelum Sakit, Kaya Sebelum Miskin, Senang Sebelum Sibuk dan Hidup Sebelum Mati)

Selesai acara potong kek, tetamu pun bergerak ke meja makan untuk menikmati lemang dan sambal kayu tempoyak Kak Zie. Rombongan kami kali ini disertai oleh kak Nem anak beranak. So makin meriahlah ziarah aidilfitri. Mana-mana yang masih ada ruang untuk diisi dalam perut tak lepas peluang untuk menjamah hidangan yang disediakan di meja utama. Yang dah surrender setakat menjamah kuih muih. Yang dah mabuk tengok rendang dan lodeh mujur tuan rumah sediakan epal hijau untuk hilangkan muak dan nyah kolestrol. So adalah yang ambil peluang buat air epal hijau. Bila dah ramai memang macam-macam karenah. As for me, duduk diam-diam kat meja kuih sambil makan biskut suji favourite ku dengan air putih. ..

Diam tak diam jam dah menunjukkan pukul 2 lebih. masing-masing belum solat Zuhur lagi, mak kat rumah pun mesti dah risau sebab anak-anak berjalan tak ingat balik. So kami pun menamatkan acara kunjung-mengunjung Raya pertama sampai di sini sahaja. Walaupun hati berat nak berpisah, maklumlah bukan senang nak berkumpul adik beradik macam ni, namun acara perlu diteruskan. Insya-Allah akan ada ruang dan kesempatan lain untuk bertemu. yang pasti setiap pertemuan melakar kenangan dan memori abadi yang tersendiri.

Tuesday, October 7, 2008

Catatan Aidilfitri 1429H ; Raya Pertama ...

Routine 1 syawal bagiku dan kakak-kakak ipar biasanya bermula seawal pukul 5 pagi untuk menyiapkan masakan sayur lodeh yang memang menjadi makanan 'wajib' pagi raya di rumah kami. Selepas subuh biasanya semua makanan telah siap dipanaskan dan hanya menunggu masa untuk dihidangkan.

Di kalangan keluarga Jawa Johor, tradisi munjung masih lagi dikekalkan. Munjung biasanya dihantar kepada ahli keluarga yang lebih tua. Munjung bermaksud mengirim makanan kepada kaum kerabat yang lebih tua sebagai tanda hormat dan silaturrahim. Selalunya setiap pagi Raya maka abang-abang dan kakak-kakak ku yang tinggal berhampiran awal-awal lagi akan berkunjung ke rumah mak untuk menghantar lauk-pauk yang diisi dalam mangkuk tepen (di utara dipanggil mangkuk sia).

Sebagai tuan rumah yang menerima munjung, kami akan membalas pula dengan mengisi mangkuk tepen dengan lauk-pauk kami. Inilah kehebatan tradisi datuk nenek yang begitu indah dan unik. Selalunya kalau pagi Raya maka meja makan utama akan meriah dengan lauk pauk berbagai jenis. Masa nilah kita akan melihat kepelbagaian jenis hidangan silang bangsa. Abang chot memang tiap-tiap tahun akan bawak Burasak (makanan tradisi orang Bugis). So lengkaplah hidangan aidilfitri kami sebab dah berkumpul ketupat, lepat, lemang dan burasak. Tinggal yang nak makan sahaja memilih mana yang berkenan di hati.

Selepas menikmati hidangan yang disediakan, masing-masing mula bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri. Biasanya semua mengamalkan car pool, maklumlah parking lot masjid kampung kami kecil saja.. Irshad dan papanya antara peserta terakhir yang siap, sebab dah tertinggal shutter servis 'terpaksa' naik motor je ....

Balik dari menunaikan solat sunat Aidilfitri, semua ahli keluarga akan berkumpul untuk sessi bermaaf-maafan atau dalam bahasa Jawa di sebut sebagai "peluputan". Seingatku dulu-dulu kami cuma bersalam-salaman sahaja tapi sejak dunia dah 'maju' ni dah ada nilai tambah pulak dalam acara bermaafan, biasanya selepas bersalaman ada pulak sessi pembahgian duit raya. bebudak memang tunggu saat saat ni. Mana-mana yang puasa penuh masa ni lah mereka mengutip hasilnya.

Rasanya inilah antara saat paling syahdu, maklumlah bukan mudah menuturkan perkataan maaf. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula adik beradik dan anak beranak..selalunya tanpa sedar kita sering melukakan hati orang yang hampir dengan kita. Mencium tangan mak di pagi raya mengingatkan betapa syurga di bawah tapak kaki Ibu. Begitu sukar membayangkan satu hari nanti aku tidak berpeluang mencium tangan Ibu seperti aku telah kehilangan rahmat mecium tangan ayah di pagi lebaran.

Selesai acara bermaaf-maafan, kami beramai-ramai akan mengunjungi pusara almarhum ayahanda (Sulaiman Sidek) dan dua kekanda (Saliha Sulaiman dan Mohd Zaid Sulaiman) di tanah perkuburan Islam Kulai. Ziarah kubur waktu raya is really a good tazkirah untuk menginsafkan kita supaya jangan terlalu asyik bersukaria kerana kematian sentiasa mengintai dari celah tabir kehidupan.

Monday, October 6, 2008

Catatan Aidilfitri 1429H ; Malam Raya ...

Sebaik sahaja maghrib 30 Ramadhan berlabuh, maka kami anak beranak pun berbuka puasa ala buffet Ramadhan. Bila dah lebih dari 2 keluarga berkumpul, kenalah bentang saprah kat lantai je sebab meja makan dah tak muat....Rasanya inilah iftar pertama dan terakhir bagi Ramadhan 1429H yang melibatkan begitu ramai keluarga as-sulaiman. Masa nilah masing-masing nak test lemang, ketupat dan lepat yang direbus/bakar siang tadi.

Lepas solat maghrib adalah masa yang ditunggu-tunggu bebudak (and bapak budak jugak). Acara bakar bunga api. Tahun ni entah kerana ekonomi melecet atau memang dah insaf, yang ada cuma bunga api untuk bebudak, mercun adalah 2,3 paket. Jiran-jiran keliling rumah pun tahun ni nampaknya sunyi sepi tak berlawan-lawan bunyi mercun macam tahun-tahun sebelumnya. Kampungku yang biasanya meriah dengan bunyi meriam buluh, tahun ni terasa begitu sunyi. hmm...zaman dah berubah, dunia dah maju...

Aku dan kakak-kakak ipar yang lain pun mula beransur ke dapur untuk menyiapkan juadah untuk hidangan pagi syawal. Sesekali bila takbir raya berkumandang di radio IKIM, terasa syahdu menyelinap di kalbu, terkenang orang tersayang yang jauh, terkenang almarhum ayahanda dan ahli keluarga yang telah pergi menemui Illahi...

Catatan Aidilfitri 1429H ; Edisi Pre Raya ...

Mengenang Syawal 1428H yang disambut dalam suasana muram kerana seminggu sebelum Ramadhan mak mengalami femur fracture, syawal tahun ni begitu dinanti-nanti..

Seakan sudah menjadi satu kemestian bagi keluarga kami untuk menikmati hidangan lepat yang disediakan dari air tangan mak. Sebab tu mak kena juga turun tangan untuk menyediakan hidangan 'wajib' ini. Walaupun ilmu ini dah diturunkan pada anak menantu tapi rasanya tak sama. Jadi pagi 30 Ramadhan tu pagi pagi lagi mak dah mula sibuk mengisi kelonsong ketupat dan membungkus lepat untuk anak cucu yang bakal balik.

Anak bongsu mak pagi-pagi lagi dah sibuk ke pasar membeli sayur-sayur basah dan bahan mentah untuk dimasak malam nanti. Lepas balik pasar sempatlah juga tolong mak menyiapkan membungkus lepat. Lepat pulut ni kalau membungkusnya tak boleh ikat ketat sangat, nanti bila direbus pulut tu tak boleh mengembang jadi lepat tu tak elok masaknya.

Siap membungkus tugas orang lelaki pulak untuk merebus ketupat dan lepat. Kalau dulu-dulu ketupat ni direbus dengan menggunakan kayu api, masa tu abang-abang aku masih bujang, masing-masing asyik cari peluang nak mengelat sebab tak nak jaga api. Sekarang ni sebab pokok getah dah habis kena tebang, terpaksa masak dengan dapur gas. Senang dan mudah tapi tak meriah macam dulu. Tak ada lagi suara leteran mak marahkan anak-anak yang tak jaga api...hmm..zaman dah berubah. Masak ketupat ni biasanya mengambil masa 4-5 jam sebelum ketupat betul-betul tanak dan boleh diangkat.

Sebab rumah Abang Epong dekat dengan rumah mak, dalam sibuk-sibuk menyiapkan lepat tu sempat juga aku mencuri-curi masa berkejar ke rumah Abang Epong untuk melihat proses memasak lemang. Ini memang 'tradisi' ku dari dulu, sibuk meninjau ke rumah abang-abang dan kakak-kakak yang tinggal dekat rumah mak untuk melihat persiapan mereka.

Dulu yang paling aku tunggu-tunggu mestilah meninjau ke rumah almarhumah kak Wok. Kak Wok ni masak apa pun sedap..jadi memang aku seronok betul tengok kak Wok menyiapkan dan menumis lauk-pauk.

Kak Zie, isteri Abang Epong orang Masjid Tanah, Melaka sebab tu Abang Epong dah menurun ilmu buat lemang dari mak mertua. Tahun ni Abang Epong pakat-pakat dengan A.Saat dan Kak Nem (Abang Sanip) untuk berkongsi buat lemang. So pagi tu tiga-tiga keluarga hantar wakil untuk bergotong royong. Khabarnya lepas siap membakar lemang tu team yang jaga api 'koma' keletihan dan kepanasan di bawah kipas angin sampai ke petang...