Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Friday, December 30, 2011

Sesungguhnya manusia INI dalam kerugian....

Dulu masa di sekolah rendah dan menengah aku fikir belajar itu hanya apabila di dalam kelas berhadapan dengan guru dan papan hitam

Bila di pusat pengajian tinggi belajar hanya apabila di bilik kuliah atau bila ada group study

Kini aku sedar hidup ini adalah kelas dan kehidupan ini adalah guru...

Sukarnya bangkit dari sebuah musibah yang menguji kekuatan iman insan. Kadang kadang hati teguh seperti karang yg tetap tegap walau dilanda badai...tidak kurang juga waktu hati ini mendung seperti cuaca di musim tengkujuh...

Sejujurnya telah lama aku tidak peduli pada taman kecil di depan rumah semenjak pemergian arwah suami. Kesian taman yg tidak berdosa ini menjadi mangsa hati yang gagal dikuasai. Suatu pagi Allah menggerakkan hati untuk membersihkan pokok pokok di taman ini. Subhana-Allah, Maha suci Allah, yg menizinkan aku belajar dari kehebatan ciptaanNya. Tanaman yg telah lama tidak dipeduli tetap bertunas. Malunya aku pd diri, begitu kuat azammu pokok, walau tidak dipeduli tuanmu, kau tetap tumbuh. ...aku sedar aku bukanlah 'tuanmu', aku hanya penjaga yg diamanahkan untuk memeliharamu.



Wahai hati, wahai iman bangkitlah dari 'kealpaan'...lihatlah kelilingmu dan ambillah pengajaran, tunas baru akan sentiasa tumbuh. Belajarlah dari 'ketaatan' pokok terhadap pemiliknya...

Aku sedar perjalanan ini masih sangat panjang....menuju destinasi abadi yang menjadi matlamat setiap yang mengaku dirinya beriman. Sembuhlah wahai hati yang diuji...bangkitlah dari lena yang panjang...belajar dan teruslah nelajar dari hidup dan kehidupan.....

Tuesday, December 1, 2009

Tidak tersisakah cinta...

Kesempatan bertemu dan berdiskusi dengan seorang kenalan tentang kisah 'kegagalan' rumahtangganya benar benar membuat aku kehilangan kata kata. Kisah benarnya sedikit sebanyak menyingkap tabir hikmah yang selama ni tidak mampu ku tembusi hijabnya.

Sukar sekali memahami bagaimana sebuah rumahtangga yang dibina atas dasar 'cinta' setelah sekian lama berakhir dengan tragedi. Seolah olah cinta dan kasih sayang yang dulunya ibarat kisah 'laila majnun' hilang dalam sekelip mata dan lebih menyedihkan bertukar menjadi dendam dan persengketaan yang tidak bersempadan.

Berkali kali aku meminta penjelasan darinya, tidak tersisakah cinta atau paling kurang rasa ihsan kepada bekas pasangan yang telah berkongsi segalanya selama ini. Apapun yang berlaku, tak mungkin tidak ada lansung kemanisan dan kebahgiaan yang pernah dikecapi selama bertahun tahun berkongsi kehidupan, apatah lagi mereka telah dikurniakan beberapa cahayamata. Namun kemaafan seolah olah telah terpadam dari kamus hidupmu ketika ini.

Wahai teman,

Jika kau benarkan aku berbicara, maka lihat dan ambil pengajaran lah dari apa yang berlaku disekelilingmu. Dunia ini hanyalah persinggahan sementara untuk menuju ke dunia yang kekal abadi. Sibukkanlah dirimu untuk menyediakan bekalan ke negeri abadi itu nanti. Aku bukan kaunselor rumahtangga yang paling layak untuk memberi nasihat, tapi aku tahu bagaimana rasanya kehilangan seorang insan yang bergelar suami. Aku meyakini Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Selepas mendengar kisahmu, aku bersyukur kerana Allah mengambil suamiku di saat kami dalam suasana berkasih sayang kerana aku tidak mungkin mampu menghadapi ujian yang sedang kau tempuh ketika ini.

Usah kau biarkan dirimu terbelenggu dengan dendam dan kebencian. Ia hanya akan merosakkan jiwa dan memesongkan tumpuan dan matlamat insan yang sepatutnya adalah untuk mencari keredhaan Tuhannya. Semuga kau bertemu jalan pulang yang terbaik.

Friday, June 26, 2009

Jiza, Aku Ingin Belajar Dari Ketabahanmu...

Saat aku menghadapi tempoh paling sukar dalam hidup, aku tahu Allah tidak akan pernah meninggalkan aku sendirian. Sesungguhnya aku sedar ungkapan (La hawla wala quwwata illa billah...Tidak ada kekuatan melainkan kekuatan daripada Dia..) itu kini menuntut bukan sahaja kefahaman malahan pelaksanaanya dalam urusan seharian hati, ruh dan fizikalku.

Sebagai manusia kerdil aku tidak mampu menghadapinya sendirian, aku perlu bantuan untuk mendorongku. Di saat aku hampir kehabisan daya, Allah mengirimkan kepadaku khabar seorang sahabat yang dulunya teman sepermainan yang paling akrab. Sahabat ini diuji Allah dengan sakit yang telah bertahun diladeninya dengan sabar dan dengan kekuatan yang luarbiasa bagi seorang wanita sepertinya.

Peluang menziarahi sahabat ini ketika cuti sekolah yang lalu begitu menginsafkan. Mengapa wahai jiwa yang lemah kau tidak melihat disekelilingmu, "Nikmat manakah lagi yang engkau dustakan..".

Terima kasih jiza, disaat aku yang sepatutnya menghiburmu ..sebaliknya kau yang memberiku kata kata ransangan untuk meneruskan amanah sebagai hambaNya. Dulu di sekolah kau yang paling 'lembik' antara kita berlima, kau yang selalu menjadi mangsa buli terutamanya dari aku yang paling 'nakal' antara kita.

Kini aku datang lagi menemuimu jiza, tapi bukan untuk membuli, namun aku ingin berkongsi kekuatan dan keteguhanmu ketika diuji. Aku mendoakan semuga kau akan bangkit semula dan meneruskan tugasmu sebagai pendidik. Terima Kasih sahabatku.

Thursday, May 28, 2009

Milik Siapakah Harta itu.....

Harta menurut Rasulullah s.a.w itu terbahagi kepada tiga:

Yang pertama, harta yang fana, iaitu harta yang dimakan. Harta itu setelah masuk ke dalam perut manusia akhirnya ia akan dikeluarkan menjadi najis, setelah itu tidak ada sesiapa yang hendak berbangga dengan najis itu, malah tidak ada yang hendak mendakwa sebagai miliknya lagi

Yang kedua, harta yang akan buruk, seperti pakaian, kenderaan dan sebagainya. Semua harta tersebut akan melalui proses keusangan dan setelah ia buruk tidak ada siapa yang menghendakkinya lagi. Pakaian buruk mungkin akan menjadi lap kaki, jika kenderaan buruk akan menjadi besi karat dan terbuang.

Yang ketiganya ialah harta yang diberikan kepada manusia, sama ada dalam bentuk nafkah, sedekah dan hadiah. Harta itu adalah harta simpanan bagi seseorang. Walaupun pada zahirnya harta tersebut telah bertukar milik kerana diberikan kepada orang lain, tetapi pada hakikatnya ia adalah merupakan saham atau tabungan bagi seseorang di sisi Allah yang berupa ganjaran pahala.

Friday, May 8, 2009

Dahaga Cinta...


Ketika aku masih anak-anak
Tanganku buka mengharapkan pelukanmu
Lalu kau berikan beruang mainan sebagai ganti

Ketika aku mengharapkan sepenuh perhatianmu bersama senduku
Kau berikan pelbagai mainan untuk menghiburku

Hanya TV, Video dan Kartun
Menggantikan kehadiranmu sebagai penghibur, teman dan keluarga

Kita bersama
Hanya di dalam kereta
Ketika pergi dan balik dari rumah asuhan
Ada ketikanya, kau dan aku
Terlalu penat atau pun mengantuk
Lalu kita pun membisu dalam kedinginan sunyi

Kini aku telah dewasa, kau pula lanjut usia
ketika kau, ku bawa berkereta
Kesepian yang menyeksakan itu berulang semula

Ku tanya apa mahumu
Ku tanya ke mana ingin kau tuju
Dan doktor mana yang menjadi pilihanmu

Namun, aku masih bercanda bersama pelbagai mainanku
Kereta, telefon bimbit, golf,shopping
PADA KETIKA , KAU MEMERLUKAN KEHADIRANKU

Saturday, June 7, 2008

Tujuh petunjuk kebahagiaan dunia


muhasabah untuk diriku.....dan untuk anak-anak saudaraku yang masih hijau dalam perkahwinan dan untuk mereka yang sudi membaca.

Oleh Pauziah Ahmad

Perkahwinan harmoni dikecapi menerusi kesungguhan pasangan tingkat ilmu rumah tangga

PERKAHWINAN adalah satu ikatan suci antara dua insan bergelar suami isteri. Pasangan suami isteri ini berkemungkinan berasal daripada latar belakang keluarga berbeza suasana persekitaran, pendidikan serta pendekatan ketika masih kecil hingga dewasa. Selepas tiba masanya, mereka mengikat janji setia mendirikan mahligai kehidupan, bersetuju untuk diakad nikah dan mengharapkan mahligai kasih serta keluarga dibina sentiasa sejahtera dunia akhirat.

Firman Allah bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda bagi kaum berfikir." (Surah ar-Rum, ayat 21).

Namun, dalam melayari kehidupan berkeluarga, kesejahteraan diharapkan tidaklah semudah seperti diidamkan. Perhubungan yang sepatutnya intim mungkin kadang-kala menjadi dingin, hambar atau tegang. Hal sedemikian boleh berlaku. Justeru, suami isteri juga insan biasa yang pasti melakukan kesilapan dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia perlu ditangani dengan baik kedua-dua pihak, dengan sifat murni seperti sikap keterbukaan dan berlapang dada.

Suami isteri perlu sedar hakikat kehidupan berkeluarga sebenar dan berusaha mencari ilmu serta menimba pengalaman seni hidup berumah tangga lantaran masing-masing mempunyai harapan, keperluan dan kehendak bersendirian. Ini mencetuskan perbezaan pandangan dan haluan yang hakikatnya anugerah semula jadi pemberian Ilahi kepada setiap pasangan.

Perbezaan juga boleh lengkap-melengkapi, sokong-menyokong dan bantu-membantu dalam pembentukan mahligai kasih diinginkan. Justeru, setiap pasangan berkewajipan berusaha menimba ilmu melalui pembacaan, menghadiri kursus mahupun perbincangan dengan kaunselor kekeluargaan. Ia penting demi keharmonian seluruh ahli keluarga. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri dan keturunan sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa." (Surah al-Furqan, ayat 74)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang berbuat baik kepada ahli (keluarganya) dan aku dikalangan kamu adalah orang yang paling baik dengan ahliku." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Selepas berusaha membina mahligai kasih, kita boleh berasa dan melihat hasilnya dengan mengecap kebahagiaan di dunia berdasarkan kayu ukur Islam yang diungkapkan Ibnu Abbas.

Suatu hari Ibnu Abbas ditanya Tabi'in apa yang dimaksudkan kebahagiaan dunia.

Jawab Ibnu Abbas ada tujuh kayu ukur atau petunjuk kebahagiaan dunia iaitu:

1- Hati yang selalu bersyukur - Memiliki jiwa yang menerima seadanya tanpa angan-angan kosong tidak berpijak di alam nyata, tidak ada tekanan. Inilah nikmat bagi hati yang selalu bersyukur. Seorang yang pandai bersyukur sangat memahami sifat Allah SWT. Apa saja diberikan Allah kepadanya, ia terasa sungguh terhutang budi, berterima kasih, terpesona dengan pemberian dan keputusan Allah. Apabila berhadapan kesulitan, terus mengingati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika kita sedang susah perhatikanlah orang yang lebih susah daripada kita. Apabila diberi kemudahan, ia bersyukur dengan menggandakan amal ibadahnya, kemudian Allah akan mengujinya dengan kemudahan lebih besar lagi. Bila ia tetap istiqamah dengan terus bersyukur, maka Allah akan mengujinya lagi dengan kemudahan yang lebih besar lagi."

2- Pasangan hidup yang salih - Pasangan hidup yang salih akan menciptakan suasana rumah dan keluarga harmoni serta aman damai. Berbahagialah menjadi seorang isteri kepada suami yang salih dan berusaha membawa isteri serta anak mencari keredaan Allah. Demikian pula seorang isteri yang salih, akan memiliki kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani suaminya. Maka berbahagialah menjadi seorang suami yang memiliki isteri salih.

3- Anak yang salih - Satu ketika Rasulullah SAW sedang bertawaf bertemu dengan seorang pemuda yang melecet bahunya. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada pemuda itu: "Kenapa bahumu itu? Jawab pemuda itu: Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah melepaskan dia. Saya melepaskan ibu saya hanya ketika buang hajat, solat, atau berehat. Selain itu selalu mendukungnya (dibahu). Lalu anak muda itu bertanya: Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua? Nabi SAW sambil memeluk anak muda itu dan mengatakan: Sungguh Allah reda kepadamu, kamu anak salih, anak yang berbakti. Tetapi anakku ketahuilah, kamu tidak akan mampu membalas cinta orang tuamu."

4-Lingkungan kondusif untuk iman kita - Yang dimaksudkan lingkungan yang kondusif ialah suasana keliling dan sahabat rapat memberi nilai tambah terhadap keimanan kita. Rasulullah SAW menganjurkan kita selalu bergaul dengan orang salih yang mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita apabila berbuat salah. Orang salih adalah orang yang bahagia kerana nikmat iman dan Islam selalu terpancar pada cahaya wajahnya. Insya-Allah cahaya itu akan ikut menyinari orang di sekitarnya.

5-Harta yang halal - Riwayat Imam Muslim dalam bab sedekah, Rasulullah SAW pernah bertemu dengan seorang sahabat yang berdoa mengangkat tangan. "Kamu berdoa sudah bagus," kata Nabi SAW, Namun sayang makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggalnya didapatkan secara haram, bagaimana doamu akan dikabulkan." Berbahagialah menjadi orang yang hartanya halal kerana doanya sangat mudah dikabulkan Allah. Harta yang halal juga akan menjauhkan syaitan dari hatinya, maka hatinya semakin bersih, suci dan kukuh hingga memberi ketenangan dalam hidupnya.

6-Semangat untuk memahami agama - Allah menjanjikan nikmat bagi umat-Nya yang menuntut ilmu, semakin ia belajar semakin cinta ia kepada agamanya, semakin tinggi cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya.

7- Umur yang berkat - Umur yang berkat ertinya umur yang semakin tua semakin salih, setiap detik diisi dengan amal ibadah. Seseorang yang mengisi hidupnya untuk kebahagiaan dunia semata, maka hari tuanya akan diisi dengan banyak bernostalgia mengenai masa mudanya. Orang yang mengisi umurnya dengan banyak mempersiapkan diri untuk akhirat (melalui amal ibadah), maka semakin tua semakin rindu ia untuk bertemu dengan Penciptanya. Tidak ada rasa takut meninggalkan dunia ini, bahkan ia penuh harap untuk segera berasakan keindahan alam kehidupan berikutnya seperti dijanjikan Allah.