Showing posts with label Fuaadnnor Hajj. Show all posts
Showing posts with label Fuaadnnor Hajj. Show all posts

Sunday, July 26, 2009

Melontar Jamrah di Mina (2)...Masjid Baiah Aqabah..

Ingin berkongsi antara coretan sirah yang berlaku di Mina. Perjumpaan antara Rasulullah dengan orang orang Madinah berlaku pada 3 kali haji (3 tahun). Pada haji tahun ke-3, rombongan yang terdiri dari 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari Madinah telah berjumpa dengan Nabi Muhammad secara senyap-senyap di waktu malam di sebuah tempat yang dinamakan Masjid Baiah Aqabah.

Masjid Baiah Aqabah (pemandangan luar)


Masjid Baiah Aqabah (pemandangan dalam)

Antara yg dibincangkan dalam perjanjian Aqabah ialah, untuk berhijrah ke Madinah Rasulullah meletakkan syarat : Orang Madinah bersedia untuk melindungi Rasulullah seperti mereka menjaga anak dan isteri mereka.

Syarat ini membawa indikasi bahawa Rasulullah meletakkan kepentingan akan perlunya sebuah kementerian pertahanan yang ampuh. Kerana implikasi dari penghijrahan ini ialah penentangan terbuka terhadap kaum Quraisy Mekah yg selama ini tidak pernah ditentang oleh mana mana puak sebelum ini.

Menyedari besarnya risiko yg perlu ditanggung, orang-orang Madinah bertanya kepada Rasulullah apakah ganjarannya jika mereka bersetuju dengan perjanjian Aqabah, jawab Rasulullah : Jannah ganjarannya.

Mendengar jawapan Rasulullah, pada masa itu juga orang-orang Madinah menyatakan persetujuan mereka. Allahuakbar! hebatnya iman orang orang Ansar generasi awwalun ini.

Ketika pertemuan ini hendak bersurai, Iblis telah bertempik di Mina bahawa Muhammad telah membuat perjanjian dengan orang Madinah di Mina. Natijah dari perjanjian ini Nabi telah mengarahkan sahabat2 untuk berhijrah ke Madinah sehingga akhirnya Baginda sendiri bersama shabat tercinta Abu Bakar berhijrah.

Bagaimana mungkin hati orang yang beriman tidak bergetar apabila berada di bumi berlakunya peristiwa besar dalam sejarah Islam. Selepas mendengar kuliah sirah yang cukup mengesankan ini dari ketua rombongan kami, Ustaz Halim, terasa sekali betapa besarnya makna ritual melontar jamrah itu. Maka segala kesukaran yang perlu dihadapi selama berkampung di Mina menjadi kecil dan mudah berbanding kesukaran yang perlu dihadapi Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan risalah ini kepada umatnya.

Gambar allahyarham suami bersama Ustaz Halim Abdullah di Jamrah.

Hajj The Journey of a Lifetime...Melontar Jamrah di Mina

Perkhemahan Jemaah Haji di Mina (pemandangan malam)

Perkhemahan Jemaah Haji di Mina (pemandangan selepas Subuh)

Selepas tengah malam Hari Nahar (10 Zulhijjah), rombongan kami bergerak meninggalkan Mudzalifah menuju ke Mina untuk melaksanakan wajib Haji iaitu bermabit dan melontar Jamrah di Mina. Alhamdulillah, perjalanan dengan bas hanya mengambil masa lebih kurang 20 minit .

Sepanjang menghadiri kursus Haji yg dikendalikan oleh TH, bakal jemaah memang telah dimaklumkan supaya menyediakn mindset untuk berhadapan dgn suasana khemah di Mina. I guess it really helps, jemaah nampaknya begitu redha dengan ruang khemah yang memang muat muat untuk menampung tubuh seorang manusia. Teringat lelucon ustaz sebelum berangkat, pastikan jemaah hanya membawa sebuah beg sahaja seorang, jika bawa beg lebih saya tak jamin jika jemaah kena tidur di luar khemah. Selepas mengambil posisi masing masing di khemah yang disediakan, kami berehat sebentar dan bersiap mengambil Wudhu' untuk solat subuh.

Sebaik selesai solat subuh, aku terus 'syahid' kerana keletihan, hanya terdengar sayup sayup suara rakan rakan lain membaca mathurat. Rasanya lena sungguh tidurku kali ini hingga tidak terasa bahang panas yang mula menggigit kerana teriknya mentari Mina dan suhu manusia yang ramai berada dalam khemah. Selepas mandi dan makan, barulah terasa segar dan kami menghabiskan hari itu dengan bertilawah dan solat sunat.

Malam itu kami digalakkan berehat dan tidur awal kerana esok kami akan bergerak sebelum Subuh untuk melontar Jamrah Aqabah dan membuat lontaran untuk 11 Zulhijjah. Selepas isyak aku dan rakan rakan sebilik mengambil kesempatan untuk meninjau-ninjau disekitar khemah dan macam berjanji pulak kami bertemu dgn suami masing-masing yang sedang membuat teh panas yang disediakan ditepi tepi khemah.

Seperti dirancang, jam 3:30 waktu tempatan kami pun berkumpul untuk bergerak ke Jamrah. Jemaah Malaysia memang telah diingatkan untuk mengelakkan melontar pada waktu 'peak' untuk mengelakkan kesesakan. Namun seperti dijangkan Bumi Mina seperti Bumi Mekah memang tidak pernah 'tidur'. Pergerakan manusia sepeti tiada hentinya. Dalam kegelapan penghujung malam kami pun bergerak melalui terowong Muassim untuk menuju ke Jamrah.

Dalam perjalanan kami berpapasan dengan rombongan yang kebanyakannya dari Asia terutamanya Indonesia. Sewaktu kami tiba di kawasan Jamrah, suasana masih lapang dan alhamdulillah kami dapat melontar dengan selesa. Selesai menyempurnakan lontaran Jamrah Aqabah, kami pun terlepas dari tahallul awwal. Jemaah lelaki mula bercukur rambut, dan bergunting bagi jemaah wanita.

Selesai solat Subuh di kawasan Jamrah kami bergerak pula untuk melakukan lontaran bagi 11 Zulhijjah. Dengan kerja kerja naik taraf yang berteruan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, insya-Allah Jamrah itu cukup selesa untuk menampung jemaah haji yang akan bertambah setiap tahun. Mina yang terletak 5 batu dari Masjidil haram adalah bumi yang penuh dengan sirah perjuangan. Nabi Ibrahim a.s telah di bawa ke Mina Ketika Jibril mengajar nabi Ibrahim cara cara untuk mengerjakan Haji.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri dalam usahanya menyampaikan risalah telah menunggu musim Haji untuk berdakwah kepada kabilah kabilah yg berada di Mina dan Mudzalifah. Namun tiada khemah yang menerima dakwah Rasulullah. Nabi s.a.w telah berjalan hingga ke Jamrah Aqabah dan berjumpa dengan 6 orang dari Madinah yg sedang bercukur, dan mereka inilah kumpulan pertama yang menerima dakwah Rasulullah. Hati terasa begitu dekat dengan kekentalan semangat perjuangan Rasulullah. Setiap inci bumi Mina menyimpan sejarah yang perlu ditelusuri dan difahami setiap yang mengaku dirinya umat Muhammad s.a.w

Sunday, June 14, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...Mabit Di Mudzalifah

Ketika jam yang ku pakai menunjukkan 6:45 waktu di KSA bas yang kami naiki bergerak meninggalkan padang Arafah dan kira kira 25 minit kemudian kami tiba di Mudzalifah. Bas yang kami naiki berhenti betul betul di depan sebuah kawasan lapang yang berpagar dan kami pun mula mengangkut beg dan selimut untuk mencari tempat untuk berehat sementara menantikan waktu tengah malam.

Agak sukar mencari kawasan untuk meletakkan beg beg kami kerana kawasan itu telah mula dipenuhi ratusan (mungkin ribuan ?) jemaah. Selepas membentang tikar pemberian TH yang memang cukup berguna sepanjang di sana, kami pun mengerjakan solat Isyak secara berjamaah. Cabaran untuk ke tandas bermula bagiku kerana walaupun cuba ditahan tapi 'panggilan fitrah' itu begitu sukar dielak. Akhirnya setelah hampir 30 minit menunggu aku dapat juga masuk ke tandas dan seterusnya memperbaharui wudhu'.

Kemudahan tandas yang terhad memang menguji, terutamanya bagi jemaah wanita. Bagi yang kurang sabar ada yang mengambil wudhu' di kawasan lapang tanpa memperhatikan soal menjaga aurat. Sambil beratur menunggu giliran berbagai ragam manusia dapat ku lihat. Cukup simpati melihat jemaah haji terutamanya yang sudah lanjut umur. Maklumlah bila sudah berumur memang sukar menahan untuk buang air, maka mereka selalunya minta untuk memotong barisan, bagi yang bertimbang rasa tentu diizinkan tapi bagi yang agak kurang emphati sikit, terpaksalah juga makcik-makcik ni menunggu giliran sambil menahan rasa. yang paling dikhuatiri ialah apabila mulut mula mengomel dan tak kurang juga yang marah-marah.

Bagi diriku sendiri, memang ini antara ujian yang paling ku takuti..kerana berdasarkan pengalaman di tanahair, kalau drive dari BSP sampai ke RnR Ayer Keroh pun mesti ke toilet. Alhamdulillah berkat doa yang tak putus-putus kupanjatkan, aku dapat melalui ujian itu.

Mabit di Mudzalifah ialah sekurang-kurangnya berada sekejap di Mudzalifah selepas tengah malam, antara amalan yang sunat dilakukan ialah berdoa, berzikir, solat sunat dan mengutip batu. Sementara menunggu tengah malam kami mengambil kesempatan berehat seketika. Semasa di Mekah, kami dimaklumkan yang suhu di Mudzalifah dijangkakan sejuk, kerana itu kami diminta membawa selimut tebal hotel sebagai persiapan. Bagaimanapun Alhamdulillah, suhu dan cuaca malam itu cukup baik dan cantik dengan cahaya bulan mengambang yang begitu indah.

Walaupun bekas kandang kambing yang kami duduki itu begitu padat dgn lautan manusia, aku tetap merasakan nikmatnya berada di bumi ibadah yang menjanjikan penghapusan dosa. Sambil duduk-duduk bersama suami kami menyaksikan jemaah haji Indonesia mula berarak meninggalkan Mudzalifah menuju ke Mina dengan berjalan kaki. Laungan talbiah memenuhi setiap ruang angkasa Mudzalifah. Ada juga yang mula bertakbir raya.

Tepat jam 11:33 malam, Ustaz Halim mengisytiharkan bermulanya waktu tengah malam di Mudzalifah, selepas berdoa kami pun mengutip batu batu disekitar tempat kami duduk dan mula berkemas kemas semula kerana rombongan kami akan mula bergerak meninggalkan Mudzalifah untuk ke Mina.

Sunday, May 17, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...Wukuf Di Arafah

Wukuf Di Arafah adalah kemuncak perjalanan Haji kami seperti Sabda Rasulullah " Haji itu ialah Arafah". Hari Wukuf kali ini bersamaan dengan 7hb Disember 2008. Oleh kerana kami hanya dibenarkan membawa sebiji beg sahaja, maka kami perlu berhati-hati memilih pakaian dan barang yang betul betul perlu sahaja utk dibawa. Rombongan jemaah Haji Mitra Kembara bertolak dengan 3 bas dari hotel penginapan di Misfalah pada 8 Zulhijjah kira kira jam 11:45 pagi. Sewaktu kami bertolak, jalan jalan ke Masjidil Haram dan kedai kedai mulai lengang kerana kebanyakan Jemaah Haji telah mula bergerak meninggalkan Mekah menuju ke Mina dan Arafah.

Terasa begitu mendebarkan perjalanan kali ini kerana membayangkan arus manusia yang berjumlah hampir 3 juta yang akan melalui laluan yang sama menuju destinasi yang sama. Arafah yg terletak di luar batas Tanah Haram terletak kira-kira 22km dari sebelah tenggara masjidil Haram. Alhamdulillah perjalanan kami lancar, 10 minit sebelum pukul 1 kami sampai di perkhemahan Arafah yang dari jauh kelihatan seperti cendawan tumbuh di waktu hujan. Sukar membayangkan padang Arafah yang tandus dan gersang itu akan menjadi destinasi ibadah yang begitu penting dalam kehidupan seorang muslim.

Dari Aisyah r.a Rasulullah bersabda (maksudnya) "Tidak ada hari yang Allah membebaskan ramai hambaNya daripada api neraka lebih ramai daripada Hari Arafah. Allah hampir dengan hambanya dan berbangga -bangga dengan mereka kepada Malaikat dengan berfirman "Apa yang mereka mahu".

Kami adalah antara Jemaah yang awal sampai di Maktab 83. Selepas meletakkan beg di khemah aku mengambil kesempatan meninjau-ninjau sekitar khemah yang masih lengang, Alhamdulillah kemudahan tandas yang disediakan agak banyak dan selesa. Pepohonan yang ditanam kerajaan Arab Saudi juga telah mula merendang dan ini menjadikan kawasan khemah itu agak mendamaikan berbanding cerita yang ku dengar dari jemaah yang terdahulu.

Terasa begitu nikmat menghirup udara di bumi Arafah, bumi di mana Rasulullah s.a.w telah menyampaikan wasiat terakhirnya ketika melakukkan Haji Wida' (iaitu Haji yang terakhir dan pertama bagi Rasulullah s.a.w) pada tahun ke-9 Hijrah. Aku bersyukur Ya Allah kerana Engkau telah mengurniakan nikmat ini kepadaku.

Aktiviti 9 Zulhijjah kami bermula dengan Qiamullail, Solat Subuh berjamaah, kuliah ringkas dan membaca Al Mathurat yang telah menjadi zikir harian 'wajib' bagi kami yg mengikuti rombongan Ustaz Halim. Selepas Subuh kami dianjurkan berehat untuk menyediakan diri bagi waktu Wukuf. Seawal jam 11:30 pagi kami semua telah bersiap-siap menunggu Azan Zuhur. Khutbah Arafah yang disampaikan oleh Ustaz Halim dihayati dengan penuh khusyuk.

Selepas Solat Zuhur, Ustaz Halim memimpin kami untuk bertalbiah, berzikir, bertasbih, tauhid, bertahmid dan istighfar. Airmata penyesalan mengiringi doa yang dibacakan Ustaz Halim. Ada ketikanya terasa jiwa begitu sebak lantaran rasa dhaif dan takut tidak diterima doa dan taubat lantaran dosa yang menggunung dan pengharapan bahawa Allah Maha Pengampun dan Maha menerima Taubat hambaNya. Ketika itu walaupun kami duduk bersesak-sesak dalam khemah yang sempit tetapi terasa masing masing begitu sibuk berkomunikasi dengan Khaliqnya. Hanya esak tangis dan rintihan hamba yang begitu mengharap dari Tuhannya yang memenuhi ruang khemah kami. Kira kira 10 minit sebelum masuk waktu maghrib kami keluar ke tanah lapang di sebelah khemah untuk berdoa. Sukar menggambarkan perasaan yang bersarang dalam hati ketika itu. Aku berdoa semuga semua saudara mara dan sahabat-sahabatku akan diberi Allah nikmat untuk berada walau sekejap di Bumi Arafah ini, insya-Allah.

Selesai waktu Wukuf kami segera berkemas untuk berangkat ke Mudzalifah kerana kami telah diberitahu Ustaz bahawa rombongan kami adalah rombongan kedua yang akan bergerak dari Arafah, so sebaik makanan tiba kami menjamah makan malam seadanya dan terus solat maghrib berjamaah. Sebelum bergegas berlari untuk ke tempat menunggu bas, aku dan suami sempat bergambar bersama rakan rakan sebilik dan inilah hasilnya..

Sunday, April 26, 2009

Kepedulian Hassan Al-Banna..

Hassan al-Banna tetap menanamkan rasa kebersamaan yang tinggi kepada kaum muslimin, terutamanya kepada mereka yang ada di Palestin. Ada sebuah peristiwa yang mampu membuat raut muka Hassan al-Banna berubah kerana memendam kesedihan sekaligus kemarahan. Peristiwa ini berlaku dalam tahun 1948, ketika pasukan al-Ikhwan terlibat dalam perang di Palestin.

Saya tidak akan lupakan selama lamanya bagaimana pandangan mata ayah. Ibu bersama makcik dan nenek saya berada di sebuah ruangan, bersama-sama membuat kuih-muih untuk menyambut hari raya. Ayah memandang ibu dan berkata , "Ya Ummu Wafa, apakah engkau akan membuat roti sedangkan ada 12 orang kader al-Ikhwan gugur di Palestin.." Selepas itu ayah meminta salah seorang pembantunya mengemas semua peralatan membuat roti dan kuih. Ibu saya tidak meneruskan usaha membuat roti dan sejak hari itu, ibu memang tidak pernah membuat roti lagi di rumah... (Petikan dari buku Cinta Di Rumah Hasan Al Banna)

Membaca buku ini membuka satu ruang dimensi yang baru dalam aku mencuba memahami dunia baruku. Ia membangkitkan kenangan 40 hari terindah dalam hidupku. Dua hari selepas kami tiba di Mekah, kami membaca berita tentang sekatan ekonomi yang dikenakan rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin. Sekembalinya kami dari Mina kami menerima berita pula tentang serangan rejim zionis ke atas Semenanjung Gaza. Ustaz Halim pun sering mengingatkan kami supaya mempertingkatkan doa untuk saudara saudara kami di palestin.

Berita itu begitu menggugat hati kami, apatah lagi dalam satu insiden yang berlaku di dalam masjidil Haram, ketika itu beberapa kumpulan jemaah wanita sedang bertilawah sambil menunggu masuknya waktu Asar. Di depan ku seorang wanita berjilbab hitam menerima panggilan telefon dan selepas itu menangis tersedu-sedu sehingga terpaksa ditenangkan oleh sahabat-sahabatnya. Dari seorang jemaah yang duduk sebaris dengan wanita itu, kami kemudiannya mengetahui bahawa salah seorang ahli keluarganya di Palestin baru sahaja terkorban.

Ketika dihadapkan dengan pemergian allahyarham suami, entah mengapa aku sering mengingati peristiwa di Masjidil Haram. Begitu berat kesedihan yang ku tanggung, tentunya lebih berat lagi bagi wanita itu menerima berita kehilangan orang tersayang ketika sedang berada jauh di permusafiran. Jika pernyataan ini mampu menghiburkan hatinya maka dia sebenarnya beruntung kerana menerima berita itu di rumah Allah yang sangat mulia.

Tarbiyyah perjalanan Haji bukan sekadar mulut mengatakan kami beriman tetapi ia adalah pernyataan yang menuntut amal dan tindakan. Perang sudah barang tentu tentu membawa musibah dan penderitaan, namun melihat dari sudut yang lebih makro, ia juga peluang untuk manusia menebus kafarah dosanya dan jika manusia mampu bersabar maka balasan yang menanti adalah kebaikan. Semuga aku belajar lebih peduli tentang dunia dan seisinya, lebih emphati terhadap berbagai rupa penderitaan di sekelilingku.

Sunday, April 19, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...rindu Masjidil Haram

Sementara menanti Hari Wukuf, kami berpeluang menghabiskan 12 hari di Mekah. Aku dan suami mengambil peluang sepenuhnya untuk memenuhi hari hari ini dengan melaksanakan sebanyak mungkin ibadat-ibadat untuk menyediakan diri sebelum bertamu ke Arafah.

Sesungguhnya berada di tanah haram Mekah begitu menginsafkan. Jalan-jalan ke Masjidil Haram sentiasa dipenuhi lautan manusia berbagai bangsa yang datang dari seluruh pelosok dunia dengan tujuan yang satu. Terasa begitu kuatnya ukhhuwah persaudaraan yang diikat atas landasan akidah yang sama. Tiada sempadan warna kulit maupun dialek bahasa. Yang pasti ketika itu kami menyahut seruan yang sama, Kami rukuk dan sujud mengadap kiblat yang sama.
Agenda utama kami pastinya untuk memastikan kami dapat mengerjakan solat Fardhu berjamaah di Masjidil Haram. Setiap pagi kami akan saling mengejutkan rakan sebilik seawal pukul 2 pagi untuk memastikan kami mendapat tempat yang strategik dalam masjid. Ketika waktu-waktu 'peak' biasanya kami akan ke masjid seawal pukul 3 pagi, jika terlewat, kemungkinannya bukan sahaja tak dapat tempat strategik, malah mungkin nak masuk ke dalam pun tak dapat, maka solat di dataran masjidlah nampaknya.

Memang menjadi routineku setiap pagi selepas Subuh, aku akan mencari tempat yang paling hampir dengan kaabah untuk memandang kaabah sambil berdoa. Sungguh syahdu suasana pada waktu itu, jika manusia terlalu ramai biasanya suami akan jadi 'bodyguard' di belakangku untuk pastikan aku tidak terhimpit di kalangan JH yang terlalu ramai.

Biasanya jadual Masjidil Haram aku dan suami akan bermula pukul 3:30 pagi, selepas solat subuh kami akan balik ke hotel untuk sarapan. Masa antara selepas Subuh dan Zuhur inilah kami gunakan untuk berehat (tidur) dan menyelesaikan urusan harian seperti membasuh baju. Zuhur kami akan ke masjid semula dan pulang selepas Zuhur untuk makan tengahari. Waktu solat Asar selalunya kami akan stay di masjid sehingga selepas solat Isyak. Waktu itu kami gunakan untuk bertilawah dan bertaaruf dengan sahabat sahabat Jemaah dari negara lain. Alhamdulillah kerana dalam banyak insiden aku dipertemukan dengan Jemaah yang boleh berbahasa Inggeris.

Melalui pemerhatianku aku melihat kebanyakan JH wanita Malaysia lebih selesa memilih untuk solat berdekatan dengan JH senegara(M'sia)/Indonesia/S'pore (Asean). Bagiku aku mengambil cabaran untuk masuk ke dalam saff lain. Banyak masa juga aku terpaksa berbual dlm bahasa isyarat. namun persaudaraan yg didasari iman ternyata melangkau sempadan bahasa. Kemesraan terasa begitu natural dan tidak dibuat-buat, kehangatan berpelukan dengan makcik-makcik Turki dan Pakistan masih terasa hangatnya.

Kerana aku dan suami tidak tinggal sebilik, biasanya waktu selepas isyak kami gunakan untuk keluar 'date' sambil menikmati angin malam di Misfalah. Di musim-musim Haji ni jalan-jalan di kota Mekah tidak tidur, sentiasa 'butsling' dgn kenderaan dan manusia yang berulang alik ke masjid. Waktu waktu begini biasanya kami penuhi dengan menghantar baju ke kedai dobi atau mengunjungi pasar-pasar basah yang menjual buah-buahan segar dan sayur-sayuran. Majoriti penjual kedai-kedai di sekitar Kota Mekah boleh berbahasa melayu (Indonesia). Kebanyakan mereka bukan local tetapi pekerja yg datang dari negara berdekatan, namun keramahan dan manis mulut mereka berjaya memancing pembeli.

Sebelum balik semula ke bilik hotel biasanya kami akan mengakhiri malam kami dengan menikmati aiskrim Mekah yang memang popular sedapnya.

Saturday, March 28, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...2

Mohon maaf kerana perkongsian pengalaman menjadi tetamu Allah terhenti lama. Terima kasih yang bertanya bila nak sambung cerita...insya-Allah akan terus menulis dan berkongsi selagi diizinkan Allah...

Dari Hujjaj terminal (Jeddah) kami dibawa dengan bas menuju ke hotel penginapan kami di Mekah. Nombor bas memang dah awal-awal ditulis pada pelekat maktab. Jadi selepas berkumpul mengikut nombor bas yang dipegang petugas TH kami pun berjalan keluar dari terminal menuju ke deretan bas yg telah menunggu. Sementara pekerja-pekerja terminal mengangkut beg-beg kami ke atas bas, kami dijamu dengan makan tengahari. Sukar juga nak menggayakan hidangan nasi ayam yg disediakan dalam keadaan tempat duduk bas yang agak sempit, Alhamdulillah akhirnya aku berjaya juga menyesuaikan diri dan menikmati kelazatan hidangan nasi ayam Arab yang pertama dalam hidupku.

Jarak perjalanan dari Jeddah ke Makkah mengambil masa kira-kira 1 jam lebih (100+ km). Kami sampai di Mekah ketika maghrib telah melabuhkan tirainya. Di Mekah waktu maghrib awal (kira-kira jam 5:49p.m) Alhamdulillah, akhirnya kami sampai juga ke tanah haram yang dirindui sejak sekian lama. Seribu satu perasaan menyelinap segenap ruang hati, sebak, syukur, gembira, takut.. Aku dan suami mula membaca doa ketika melihat Kota Mekah. Terasa betapa luhurnya rahmat Allah yang telah mengizinkan kami sampai disini.

Selepas beberapa kali bas yang kami naiki berpusing-pusing di sekitar Mekah mencari hotel penginapan, akhirnya kami sampai ke daerah Misfalah dimana hotel penginapan kami terletak. Ketibaan kami disambut oleh Mutawif Muassasah maktab 83 iaitu Tuan Hj Lufti yang boleh bertutur bahasa Malaysia dengan baik. Takdir Allah memang menakjubkan, hotel yang kami singgahi sama dengan nama tadika ku, aku begitu teruja dan berkali-kali meminta suami mengambil gambar untuk dijadikan bukti bila balik Malaysia nanti.

Walaupun keletihan mula terasa selepas melalui jarak perjalanan yang jauh dan masa yang begitu panjang, namun hati mula meronta-ronta untuk mengunjungi Masjidil Haram dan Kaabah. Ustaz Halim (pembimbing Haji - Pakej Mitra Kembara) bagaimanapun meminta kami berehat di bilik dahulu dan berkumpul semula di lobby hotel pada pukul 10mlm.

Walaupun aku dan suami tinggal berasingan namun bilik kami bersebelahan. Aku ditempatkan dibilik 702 manakala suami di bilik 705. Walaupun bilik yang didiami agak kecil untuk kami berkongsi 5 orang namun bagiku cukup selesa. Kami yang menaiki KT74 adalah kumpulan kedua dari pakej Mitra Kembara yang tiba di Mekah. Kumpulan pertama tiba adalah jemaah dari KT71.

Tepat pukul 10, jemaah KT 74 mula berkumpul di depan hotel Ufuk Al Fateh. Ustaz Halim membawa kami menuju ke Masjidil Haram yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari hotel tempat kami menginap. Bila di Mekah, buku doa yang digantung leher menjadi sahabat yang paling setia dan menemani kami kemana jua kami pergi. Sebaik mula menghala ke arah masjidil haram aku mula merasakan kehangatan dan kesesakan ramainya manusia. Walaupun bukan waktu peak hours lautan manusia tetap memenuhi ruang-ruang jalan sehingga ke dataran masjid.

Sepanjang perjalanan Ustaz mengulang kembali secara intensif apakah rukun/wajib dan sunat serta doa-doa dan yang perlu dibaca. Bagi yang memilih kaedah tamatu' maka kami akan melaksanakan umrah dahulu. Jemaah yang memilih untuk melakukan kaedah Ifrad, mereka akan melakukan tawaf selamat datang dan Saie Haji. Memasukki Masjidil Haram yang tersergam indah membuat aku merasa begitu rendah diri dan kerdil...ketika hati masih berperang dengan berbagai perasaan, kaki terus bergerak mengikuti Ustaz Halim ke arah Kaabah yang menjadi pusat tumpuan umat islam seluruh dunia. Ketika aku mengangkat muka sambil membaca doa melihat kaabah di depanku terlihat bangunan yang dilingkungi begitu ramai manusia...

Ya Allah, hambamu datang Ya Allah...Engkau telah membawaku ke sini ke rumahmu yang mulia, hambamu datang menyahut panggilanMu ya Allah, maka terimalah hambamu yang jahil dan berdosa ini..hati ini ingin sekali menangis namun tiada airmata yang menitis ketika aku melafazkan kalimat syukur, adakah ini tandanya hatiku masih keras dan banyak dosa...

Selesai melaksanakan tawaf, kami solat jamak Maghrib dan Isyak di belakang makam Ibrahim. Ramainya manusia tidak memungkinkan kami untuk mendekati Hajar Aswad. Walaupun hati teringin untuk mengucupnya, tapi suami mengingatkan bahawa mengelakkan mudharat adalah lebih utama dari mengejar sunat. Aku sendiri melihat bagaimana manusia berasak-asak apabila mula tiba di rukun yamani hingga ada ketikanya tanpa mereka sedari mereka menzalimi saudara se-islam mereka. Teringat ceramah ustaz TH, mengucup Hajar Aswad itu sunat, tetapi menjaga hak saudara Islam itu wajib.

Selepas tawaf, suami terus memanduku ke Bukit Safa untuk melakukan Saie. Alhamdulillah sebab suami dah pernah pergi sebelum ini maka pergerakan kami menjadi lebih mudah dan tidak perlu mencari-cari. Ketika ini kami telah terpisah dari Ustaz Halim dan ahli kumpulan yang lain. Alhamdulillah kami selesai Saie Umrah dan bertahlul kira kira jam 2 pagi dan terus balik ke hotel untuk berehat.

Sunday, March 1, 2009

Hajj The Journey of a Lifetime...1

Niat untuk menulis pengalaman menjadi tetamu Allah mula tersemat di hati sebaik menerima pengesahan dari TH bahawa aku dan allahyarham suami terpilih sebagai JH (Jemaah Haji) 1429H. Insya-Allah catatan ini adalah pengalaman peribadi yang ingin dikongsikan bersama sahabat blogger dan sesiapa yang sudi membaca. Mudah-mudahan ada sedikit kebaikan yang dapat dikutip dari perjalanan rabbani kami.

Kami diminta check in di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya pada pukul 3:30 pagi , 25hb November 2008. Seawal pukul 2:30 pagi Fairuz (anak buah suami) tiba di rumah kami untuk menghantar kami ke Kelana Jaya. Selesai mengenakan pakaian Ihram dan bersolat sunat musafir & solat sunat Ihram kami bertolak dengan perasaan berdebar-debar. Entah mengapa permusafiran kali ini terasa lain benar.

Kami tiba di Kompleks TH tepat jam 3:30 pagi. Rupanya kami adalah antara JH terakhir yang tiba. Kebanyakan JH sampai seawal 8 malam. Suspen juga melihat suasana yang agak lengang, Booth pendaftaran untuk mengambil beg pun dah ditutup. kami diarahkan supaya terus beratur untuk check in.

Alhamdulillah kami tak perlu beratur atau menunggu lama, urusan check in berjalan lancar. Kami dibawa terus ke dewan menunggu di kompleks TH untuk taklimat sebelum bertolak. SubhanAllah, kami memang betul-betul dilayan sebagai VIP malam tu. Dalam hati bercampur antara malu dan bersyukur. Selepas taklimat kami menaiki bas yang diiringi oleh Polis trafik menuju ke KLIA. Bas meluncur laju tanpa perlu berhenti walaupun lampu trafik merah.

Setibanya di KLIA kami terus dibawa ke ruang menunggu dan mengerjakan solat Subuh di sana. Penerbangan KT 74 yg dijadualkan berlepas jam 7:00 a.m di tunda ke pukul 9:00a.m kerana masalah teknikal. Dalam hati aku beristighfar banyak-banyak, ujian telah bermula. Tepat pukul 9:00 Saudi Airlines berlepas meninggalkan KLIA. Penerbangan pergi selama 8 jam agak mendebarkan, masih terasa betapa eratnya genggaman tangan suami setiapkali k/terbang bergegar kuat. Selepas berniat di miqat (Qarnul Manazil) aku dan suami terus-terusan melafazkan talbiah dan air mata mula mengalir kerana kami sedar tempat yang dirindui untuk dikunjungi sekian lama makin hampir.

Akhirnya Saudi Airlines yang membawa JH KT74 mendarat di lapangan terbang Jeddah jam 12:35 noon (5p.m waktu Malaysia) . Sebaik k/tbang mendarat perkara pertama yg terlintas di benak ialah melihat muka bumi Jeddah yang begitu kering dan berbatu. Begitu juga dengan layanan yang diterima amat berbeza dari kakitangan TH atau KLIA. Masa inilah terlintas di fikiran perbincangan sirah dengan sahabat-sahabat usrah. Memang benar bangsa Arab secara fizikal dan tuturcaranya agak 'kasar' dan ini tentunya berkait rapat dgn muka bumi Tanah Arab.

Sebaik memasukki ruang Hujjaj Terminal, aku memberitahu diriku sendiri ujian sebenar telah bermula..selepas 8 jam 'terikat' di kerusi kapalterbang, masing-masing mula tidak sabar untuk meneruskan perjalanan. Urusan pemeriksaan passport dan visa yg dilakukan secara 'manual' dalam suasana manusia beratur panjang seolah-seolah satu pesta meraikan kedatangan kami. Teriakan-teriakan 'Haji' dan 'Hajjah' mula memenuhi setiap ruang.. rasanya kenalah membiasakan diri dengan panggilan-panggilan ini selepas ini..

Selesai urusan memeriksa passport kami di bawa ke ruang berehat untuk JH dari Malaysia. Alhamdulillah fasiliti yang disediakan cukup selesa. Sementara menunggu bas yang akan membawa kami ke Mekah, JH mengerjakan solat Zuhur dan Asar di ruang solat yg disediakan. Bagi yang ingin ke tandas masa ini digunakan sebaik-baiknya untuk melegakan keperluan keperluan yang mendesak selepas 8 jam terkurung di dalam kapal terbang. Kerana kami pergi dengan penerbangan terus ke Mekah, semua JH pergi dalam keadaan berihram.

Sewaktu mengambil wudhu' untuk solat Zuhur, tanpa sengaja aku melurut rambut untuk membetulkan ikat rambut yg hampir terungkai, dan akibatnya dua helai rambut gugur...Masya-Allah segera aku mengingatkan diri sendiri supaya lebih berhati-hati.