Thursday, July 9, 2009

Doa Buat Kekasih


Sungguh aku tidak akan
melupakanmu
Masakan dalam diri ini aku bisa lupa
Pada orang tersayang yang banyak
berjasa
Sungguh, aku tidak akan lupa

Dalam ria dan tangismu
Sentiasa aku ada disitu
Walaupun kita terpisah
Tetapi cinta dan kasih kita tidak!
Kau kusayang
Kaulah temanku sepanjang jalan

kekasih
Kekadang lidah letih menuturkan
badan penat menghantarkan
Akhirnya bicara cinta terlantar hanya
melalui sendu
Bisu...tetapi getarannya tidak pernah diam
Dan tika terpisah sendu itu memuncak
Ingin kudakap,
Ingin kupeluk,
Tidak mahu kulepaskan
Tapi siapalah kita yang tidak mahu
merelakan
Cinta itu semakin kukuh
Bila menjauh

Sayang,
terkadang aku tidak mampu meluahkan
Bila jemu, letih dan putaran hidup kian
mencengkam
Tetapi percayalah
Cintaku tidak pernah letih
Sayangku tidak pernah padam
Dalam sunyi dan ratap
Engkau tetap hadir dalam doa dan
harap

Ya Allah
Rahmati kekasih hatiku dibumi
Agar cinta kami membumbung tinggi
Tiada sempadan, tiada tara
...sampai syurga!
Amin.

Friday, July 3, 2009

Thank You Teacher Eqa & Teacher Umi...

Selasa lepas adalah hari terakhir bagi Teacher Eqa dan Teacher Umi bersama anak-anak Al-Fatih. Alhamdulillah kedua-duanya akan menyambung pengajian mereka demi memenuhi tuntutan mencari ilmu dunia dan akhirat.

Setelah beberapa bulan bersama, anak-anak akan cukup terasa kehilangan keduanya, terutamanya anak-anak daycare yang hampir 12 jam bersama mereka 5 hari seminggu, tidak hairanlah ramai yang menitiskan airmata bila diberitahu teacher Eqa dan teacher Umi tidak akan bersama mereka lagi.

Sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih, petang selasa lepas Asar yang lepas, warga Al Fatih dan anak-anak daycare telah meraikan keduanya dalam majlis BBQ yang simple tapi sungguh bererti (ppeople says, a picture speaks thousand words...)

Untuk Eqa dan Umi, terima kasih atas khidmat cemerlang anda berdua. Semuga pengorbanan yang diberikan dalam mendidik anak-anak akan sentiasa diberkati Allah.

Sunday, June 28, 2009

Israk Mikraj (bulan Rejab) Penguat Iman

Katakan (kepada mereka), ‘Kamu lihatlah apa yang terdapat di langit dan di bumi’..”(Surah Yunus:101). Dari 2 butir pasir di bumi hingga apa sahaja termasuk planet saling menarik antara satu sama lain dengan nilai tetap yang sama di mana-mana alam ini, G=6.67428×10E(-11)m3kg-1s-2 dalam formula F=Gm1m2/r(2) !! Subhanallah !! – Kenangan subjek Physics masa Matriculation 1983 di Australia. (Foto oleh NASA).

Pada hari Jumaat 4.7.2008 (1 Rejab) yang lalu, kita memasuki bulan Rejab yang didalamnya berlaku peristiwa Israk Mikraj yang bersejarah. Peristiwa tersebut bukan sahaja menunjukkan kekuasaan Allah swt di atas sekelian makhluqNya dan benarnya kenabian Muhammad saw, bahkan ianya juga membuka ufuk pemikiran dan cita-cita manusia sejagat dari hanya sekadar terhad kepada muka bumi ini semata-mata kepada cakerawala ciptaan Allah swt yang amat luas dan jauh, siap untuk diamati untuk lebih kita mengenali Tuhan Pencipta Agung, siap untuk diterokai agar manusia memperlengkap dan meninggikan kualiti ilmu pengetahuan demi memenuhi cita-cita tersebut.

Setelah kewafatan Khadijah ra, pendokong moral dan material perjuangan Baginda saw dan kewafatan Abu Talib, pelindung Baginda saw dari ancaman fisikal oleh kafir Quraisy pada Tahun Kesedihan, Dakwah Islam berada diposisi paling tenat disegi saikologi Nabi saw dan para Sahabat ra sendiri, maupun disegi tiadanya kemasukan baru ke dalam agama Islam dari kalangan penduduk Mekah. Dengan azam tidak menyerah kepada keadaan, Baginda saw mencuba nasib, mencari peluang baru untuk Dakwah ini di Taif, 80 km dari Mekah, namun harapan dan sangkaan Baginda saw meleset. Di Taif, Dakwah tidak diterima, Pendakwah dihina dengan dibaling batu oleh penduduknya. Pintu Dakwah ditahun ini hampir tertutup. Namun Allah swt melalui Surah Huud, mengarahkan Nabi saw terus beristiqamah menjalankan amal Dakwah ini meredah fasa-fasa gelap yang sedang menyelubunginya, tanpa isteri yang mendorong dan tanpa bapa saudara yang melindung. “Shayyabatni Huud” (Surah Huud telah mengubankan rambutku !!).

MasyaAllah !! Setelah 9 bulan perjalanan, Amerika menjejakkan alatnya di planet Marikh pada 25.6.2008 lalu dan hari ini menunjukkan fotonya kepada umat manusia di bumi. Tanah Marikh diambil dan dianalisa. Foto ini boleh tiba ke bumi dengan pantasnya, melalui perantaraan apa? Orang kafir sibuk meneroka alam baru sedang umat Islam pula sibuk melayan tuntutan Kuasa-kuasa Besar Dunia dan bercakaran sesama sendiri.

Allah swt tidak membiarkan Rasul Akhir Zaman berpanjangan dalam kemuraman seperti itu. Dakwah ini harus dipacu hingga berjaya bukan sahaja di Mekah, tetapi ke seluruh dunia, merangkumi sekelian jin dan manusia. Pada malam 27 Rejab ~620M, Jibril mengejutkan Rasulullah saw dari lamunan malam dan mengisyaratkan kepada Baginda saw bahawa kenderaan Buraq telah siap di luar sana untuk membawanya ke Masjidil Aqsa di Palestin, naik meredah 7 petala langit, ke Sidradul Muntaha melalui Baitul Makmur, memenuhi undangan Allah swt. Di Masjidil Aqsa Baginda bersolat mengimami kesemua para rasul, melihat bandar Baitul Maqdis, memilih susu dan menolak arak. Di langit, Baginda bertemu sebahagian para rasul, diperlihatkan gelagat penghuni-penghuni Syurga dan Neraka serta tanda-tanda kebesaran Allah swt yang lain. Di Sidratul Muntaha, Baginda diwahyukan Allah swt apa yang hendak diwahyukan olehNya, termasuk kewajipan Solat, ibadah yang paling utama.

Tidak seperti roket yang hanya dipakai buang sekali sahaja disetiap pelancaran dan operasi, “space shuttle” berjaya dicipta Amerika bertindak seperti teksi antara langit dan bumi, boleh diguna berulangkali. Setakat ini 4 buah space shuttle iaitu Columbia (dilancarkan pada 12.4.1981, tepat 20 tahun selepas Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasalepas), Challenger, Endeavour dan Atlantis telah dihasilkan. Tiap satu memakan belanja setahun budget seluruh negara sedang membangun di dunia.

Sekembalinya Nabi saw ke Mekah dari langit, kekuatan Baginda saw untuk berdakwah lebih kental. Segelintir orang Islam murtad kerana tidak dapat menerima hakikat boleh berlakunya peristiwa Muhammad saw pergi ke Palestin dan langit serta kembali semula dalam malam yang sama. Para Sahabat ra yang lain bertambah keyakinan dan kekaguman mereka kepada Nabi tercinta. Bagi Nabi saw pula, melihat sendiri kesudahan manusia di Syurga dan Neraka sudah cukup memberi motovasi penuh untuk menyelamatkan mereka didunia lagi, sebelum mereka menempuh alam Pengadilan dan Pembalasan, belum lagi berpeluang menerima wahyu langsung dari Allah swt di Sidratul Muntaha. Tiga tahun selepas itu, keimanan baru, lebih tinggi dan teruji inilah yang menjadi asas kepada Hijrah dan penegakkan Negara Islam di Madinah.

Ini foto bersejarah kerana kali pertama foto bumi diambil dari angkasalepas (pada ketinggian 300 kilometer). Foto ini diambil oleh Yuri Gagarin, angkasawan Rusia dan manusia ketiga ke angkasalepas pada 12.4.1961, selepas Nabi Isa as (selepas percubaan membunuhnya) dan Rasulullah saw (dalam peristiwa Israk Mikraj).

Dari sinopsis ringkas peristiwa Israk Mikraj, dapat disimpulkan sebahagian pengajaran berguna untuk umat selepasnya dan kita seperti berikut :

  1. Kehebatan dokongan isteri, kerukunan rumahtangga adalah salah satu asas kejayaan dalam diri Pendakwah dan Dakwah itu sendiri.
  2. Perlindungan seperti yang diberi oleh sesiapa contohnya Abu Talib, biar pun dia bukan seorang Islam, adalah penting dalam memastikan Islam berkembang tanpa gangguan terutamanya di fasa awalnya.
  3. Kepentingan Masjidil Aqsa dan Palestin di dalam perjuangan Uslam dan umat.
  4. Dengan Nabi saw menjadi imam semua para Rasul yang lain di Masjidil Aqsa, hari ini dan selepas ini, umat Islam mestilah menjadi imam (pemimpin dan pembimbing) kepada umat-umat yang lain, dan bukan sebaliknya seperti yang berlaku hari ini. Umat Islam mesti bekerja ke arah itu.
  5. Solat adalah ibadah terpenting dalam Islam. Di Hari Kiamat, tidak dinilai amalan-amalan lain jika solatnya dinilai sebagai gagal.
  6. Iman pendokong-pendokong perjuangan Islam, termasuk para Sahabat ra akan terus menerus melalui proses penapisan, untuk membeza dan mengasingkan permata dari kaca.
  7. Negara Islam tertegak bila ada jemaah manusia yang bersedia memikul tanggungjawab tersebut dengan keimanan yang telah teruji seperti para Sahabat ra.
  8. Umat Islam dituntut melihat cakerawala dan kehebatan penciptaannya, bukan terhad atau terkongkong kepada apa yang ada di bumi sahaja.

Masjid Kubah Batu (Pelancaran), di tengah-tengah Masjidil Aqsa, Palestin. Di sini tempat pelancaran kenderaan Buraq membawa Rasulullah saw ke Sidratul Muntaha, menembusi 7 petala langit dan Baitul Makmur. Hari ini ia ditawan oleh Yahudi yang dilaknat Allah swt. Pembebasannya sebelum Hari Kiamat dijamin Allah swt. Bila ? Siapa pembebasnya ? Apa ciri-ciri mereka ? Bagaimana mereka dididik (dihasilkan) ?

Marilah kita sama-sama merai dan memperingati peristiwa bersejarah dan besar ini, dengan mengatur atau menghadiri ceramah mengenainya. Jauh lebih itu ialah mencedok pengajaran-pengajaran darinya untuk kehidupan berkeluarga bersama anak isteri dan perjuangan bersama-sama teman-teman yang beriman. Sekian.

Friday, June 26, 2009

Jiza, Aku Ingin Belajar Dari Ketabahanmu...

Saat aku menghadapi tempoh paling sukar dalam hidup, aku tahu Allah tidak akan pernah meninggalkan aku sendirian. Sesungguhnya aku sedar ungkapan (La hawla wala quwwata illa billah...Tidak ada kekuatan melainkan kekuatan daripada Dia..) itu kini menuntut bukan sahaja kefahaman malahan pelaksanaanya dalam urusan seharian hati, ruh dan fizikalku.

Sebagai manusia kerdil aku tidak mampu menghadapinya sendirian, aku perlu bantuan untuk mendorongku. Di saat aku hampir kehabisan daya, Allah mengirimkan kepadaku khabar seorang sahabat yang dulunya teman sepermainan yang paling akrab. Sahabat ini diuji Allah dengan sakit yang telah bertahun diladeninya dengan sabar dan dengan kekuatan yang luarbiasa bagi seorang wanita sepertinya.

Peluang menziarahi sahabat ini ketika cuti sekolah yang lalu begitu menginsafkan. Mengapa wahai jiwa yang lemah kau tidak melihat disekelilingmu, "Nikmat manakah lagi yang engkau dustakan..".

Terima kasih jiza, disaat aku yang sepatutnya menghiburmu ..sebaliknya kau yang memberiku kata kata ransangan untuk meneruskan amanah sebagai hambaNya. Dulu di sekolah kau yang paling 'lembik' antara kita berlima, kau yang selalu menjadi mangsa buli terutamanya dari aku yang paling 'nakal' antara kita.

Kini aku datang lagi menemuimu jiza, tapi bukan untuk membuli, namun aku ingin berkongsi kekuatan dan keteguhanmu ketika diuji. Aku mendoakan semuga kau akan bangkit semula dan meneruskan tugasmu sebagai pendidik. Terima Kasih sahabatku.

Jom Cooking Bersama Usahawan Cilik Al-Fatih..

Cooking juga antara acara favourite yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak. Antara resepi yang sesuai dibuat bersama anak-anak pra sekolah ialah doughnut. Biarkan anak-anak menggunakan keseluruhan kemahiran motornya untuk membentuk doughnut .

Jika ibu-ibu nak cuba di rumah, pastikan mereka menggoreng dengan kawalan dan pemerhatian ibu bapa. Explain the danger to them ..they will understand insya-Allah.

Fruit juice bukan sahaja minuman yang sihat malah amat mudah untuk membuatnya. Siap dengan hiasan nanas ditepi cawan lagi....
Belum pun masuk Ramadhan anak-anak al-Fatih dah mula ke dapur membuat cookies..tak kira anak-anak lelaki atau perempuan semuanya menunjukkan minat untuk menjadi chef, alhamdulillah...muga-muga dengan kesedaran dan galakan yang berterusan yang kita asah dalam diri generasi warisan ini selepas ini kita tidak perlu lagi risau untuk memilih produk yang halal dan toyibban di pasaran.

Projek Buku Hijau Anak-Anak Al Fatih

Dah lama teacher nor tak menulis tentang aktiviti anak-anak al-Fatih, apapun alasannya, semuga ada kebaikan yang dapat ditimba dari perkongsian ini.
Seperti yang pernah dimaklumkan dulu, Friday ialah hari santai yang ditunggu tunggu oleh semua anak-anak al-Fatih. Salah satu aktiviti dalam 'special subject' ialah Gardening. Aktiviti ini sangat baik untuk meransang perkembangan kognitif kanak-kanak pra sekolah. Anak-anak diberi peluang untuk bereksperimen sendiri dari mencangkul tanah, membuat batas, memilih dan menanam biji benih dan seterusnya memastikan semaian sentiasa disiram.

Anak-anak teruja melihat pohon kacang panjang yang mereka tanam tumbuh dengan suburnya dan mengeluarkan buah.

Anak-anak Al-Fatih tanpa jemu mengambil tanggungjawab menyiram kacang panjang, sawi dan bayam yang tak lama lagi boleh dituai hasilnya.

Sunday, June 14, 2009

Al Fatihah untuk Sheikh Dr Fathi Yakan

Al Fatihah buat Sheikh Dr. Fathi Yakan yang kembali ke rahmatullah pada 13hb Jun di Lebanon. Nama ini mula ku kenali pada tahun 1998 sewaktu mula mula mengenali dan berjinak-jinak dengan dunia Usrah. Bukunya yang bertajuk "MAZA YA'NI INTIMA'I BIL ISLAM (APA ERTI AKU MENGANUT ISLAM") adalah teks yang digunakan dalam Modul usrah.

Semuga Allah merahmati dan menempatkan beliau di kalangan para Nabi, Solehin, Sidiqqin dan syuhada di akhirat dan memberikan kesabaran kepada keluarga beliau. Amin.