Mengenang Syawal 1428H yang disambut dalam suasana muram kerana seminggu sebelum Ramadhan mak mengalami femur fracture, syawal tahun ni begitu dinanti-nanti..
Seakan sudah menjadi satu kemestian bagi keluarga kami untuk menikmati hidangan lepat yang disediakan dari air tangan mak. Sebab tu mak kena juga turun tangan untuk menyediakan hidangan 'wajib' ini. Walaupun ilmu ini dah diturunkan pada anak menantu tapi rasanya tak sama. Jadi pagi 30 Ramadhan tu pagi pagi lagi mak dah mula sibuk mengisi kelonsong ketupat dan membungkus lepat untuk anak cucu yang bakal balik.
Anak bongsu mak pagi-pagi lagi dah sibuk ke pasar membeli sayur-sayur basah dan bahan mentah untuk dimasak malam nanti. Lepas balik pasar sempatlah juga tolong mak menyiapkan membungkus lepat. Lepat pulut ni kalau membungkusnya tak boleh ikat ketat sangat, nanti bila direbus pulut tu tak boleh mengembang jadi lepat tu tak elok masaknya.
Siap membungkus tugas orang lelaki pulak untuk merebus ketupat dan lepat. Kalau dulu-dulu ketupat ni direbus dengan menggunakan kayu api, masa tu abang-abang aku masih bujang, masing-masing asyik cari peluang nak mengelat sebab tak nak jaga api. Sekarang ni sebab pokok getah dah habis kena tebang, terpaksa masak dengan dapur gas. Senang dan mudah tapi tak meriah macam dulu. Tak ada lagi suara leteran mak marahkan anak-anak yang tak jaga api...hmm..zaman dah berubah. Masak ketupat ni biasanya mengambil masa 4-5 jam sebelum ketupat betul-betul tanak dan boleh diangkat.
Sebab rumah Abang Epong dekat dengan rumah mak, dalam sibuk-sibuk menyiapkan lepat tu sempat juga aku mencuri-curi masa berkejar ke rumah Abang Epong untuk melihat proses memasak lemang. Ini memang 'tradisi' ku dari dulu, sibuk meninjau ke rumah abang-abang dan kakak-kakak yang tinggal dekat rumah mak untuk melihat persiapan mereka.
Dulu yang paling aku tunggu-tunggu mestilah meninjau ke rumah almarhumah kak Wok. Kak Wok ni masak apa pun sedap..jadi memang aku seronok betul tengok kak Wok menyiapkan dan menumis lauk-pauk.
Kak Zie, isteri Abang Epong orang Masjid Tanah, Melaka sebab tu Abang Epong dah menurun ilmu buat lemang dari mak mertua. Tahun ni Abang Epong pakat-pakat dengan A.Saat dan Kak Nem (Abang Sanip) untuk berkongsi buat lemang. So pagi tu tiga-tiga keluarga hantar wakil untuk bergotong royong. Khabarnya lepas siap membakar lemang tu team yang jaga api 'koma' keletihan dan kepanasan di bawah kipas angin sampai ke petang...
No comments:
Post a Comment