Thursday, October 16, 2008

Jejak Sahabat...Cikgu Shahrir

Alam persekolahan memang penuh dengan memori indah dan nostalgia yang akan sentiasa menggamit kenangan . Nostalgia dan memori inilah yang telah mendorong suami ku untuk mencuri masa dari kesibukan kerja, meredah hujan lebat dan perjalanan sejauh hampir 330 km ke Taiping untuk menghadiri jamuan ulangtahun Ex-Edwardian dan sekaligus bertemu dengan kawan persekolahan yang telah sekian lama tidak ditemui.

Dalam perjalanan, suami beritahu kami akan singgah 'sebentar' di Kuala Kangsar untuk bertemu sahabat lamanya yang telah 32 tahun tidak ditemui. Sahabat yang dimaksudkan, Cikgu Shahrir tinggal di kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Walaupun baru pertama kali bersua, Cikgu Shahrir dan isterinya Kak Wan begitu ramah menyambut dan meladeni kehadiran kami membuat kami merasa seperti telah lama berkenalan.

Kediaman Cikgu Shahrir dan Kak Wan memang sangat mendamaikan. Rumah papan yang berkonsepkan chalet nampak begitu unik. Menurut Kak Wan papan yang digunakan untuk membuat rumah didatangkan khas dari Terengganu. Alhamdulillah, walaupun kehadiran kami tanpa dirancang, keberkatan syawal mengizinkan ukhuwwah yang dijalinkan begitu terasa 'chemistry' nya..

Dalam kerancakan bertanya khabar setelah sekian lama terpisah, Cikgu Shahrir sempat menunjukkan padaku pokok Tin yang ditanam di belakang rumahnya. Ini merupakan pengalaman yang begitu mengujakan bagiku kerana inilah pertama kali aku melihat pokok Tin, selama ini cuma makan buah Tin kering yang selalu dibawa sebagai ole-ole oleh mereka yang pulang dari Mekah. Kesian tengok aku yang begitu teruja dan sibuk mengekorinya pergi mengutip buah Tin yang masak, Cikgu Shahrir offer nak downloadkan gambar-gambar buah tin untukku. Terima kasih atas ihsan Cikgu Shahrir dapatlah gambar-gambar dan informasi di bawah dikongsikan dengan blogger seantero dunia.

Sambil bersembang-sembang, kami dihidangkan dengan buah Tin 'fresh' yang dipetik dari pokok belakang rumah. Selepas dikupas kulitnya, terserlah isinya yang berwarna kemerah jambuan dan rasanya yang manis dan harum.

Tak cukup dengan menjamah buah segar, bila tahu yang suami memang dah jadi pembeli dan pemakan setia ubat high blood, Cikgu Shahrir tak lokek berkongsi rahsia minuman herba yang diamalkan oleh keluarganya. Menurut beliau, minuman herba Tin terdiri dari daun Tin yang dicampur dengan daun betik (Pesan Cikgu Shahrir : pastikan daun yang dipilih adalah daun yg gugur sendiri ..JANGAN dipetik). Kedua-dua daun ini dikeringkan dan dikisar halus seperti serbuk teh. Kemudian bancuh dengan air panas dan ditapis lalu diminum airnya.

Sempatlah kak Wan 'brew'kan minuman resepi keluarga untuk suamiku. Sebelum balik Cikgu Shahrir dan kak Wan juga bekalkan beberapa helai daun tin untuk kami kisar sendiri. Terima Kasih yang tak terhingga kepada keduanya, hanya Allah yang mampu membalas kebaikan Cikgu dan Kak Wan . Insya-Allah balik kampung weekend ni nanti akan ku carikan daun betik untuk dikisar bersama daun tin yang dah kering cantiknya di dapur kami. Bidalan Melayu ada menyatakan "Pemberian yang datang dari Hati akan jatuh ke Hati jua". kalau Cikgu Shahrir baca tulisan ni kirim salam sayang untuk Kak Wan dan Najwa.

No comments: