Tentu ramai yang setuju bila aku katakan dunia kini bergerak terlalu pantas. 24 jam 10 tahun dulu terasa lebih lambat putarannya berbanding 24 jam kini. Lantas manusia menjadi lebih sibuk dan lebih terkejar-kejar membereskan urusan dunia yang menghambat kehidupan setiap waktu.
Suka atau tidak, sengaja atau tanpa nawaitu, institusi kekeluargaan turut menerima kesannya. Aku merasakan hubungan kekeluargaan yang satu waktu dulu cukup ampuh mula merapuh di telan waktu yang beredar. Tidak menyalahkan keadaan atau masa, aku sering muhasabah diri adakah ini kerana kealpaanku. Lantas sewaktu menerima undangan ke walimah Zul dan Eja, perkara pertama yang terlintas difikiran ialah inilah peluang terbaik untuk bertemu saudara mara.
Perjalanan sejauh 300km terasa dekat kerana hati merasa teruja untuk bertemu saudara mara yang mungkin hanya dapat bertemu setahun sekali waktu menyambut Syawal. Alhamdulillah, dengan izin Allah jua, dapatlah aku melaksanakan misi menjejaki salasilah keluarga As-Sulaiman yang dah sampai ke generasi ke-4. Untuk yang tak dapat memenuhi undangan , muga gambar-gambar yang disertakan mampu mengubat rindu kalian.