Sunday, September 28, 2008

Eid Mubarak...


Eid Mubarak kepada semua saudara mara, sahabat handai dan taulan jauh dan dekat. Semuga Syawal kali ini disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Lapangkan dada dengan kemaafan. AidilFitri, insya-Allah antara wasilah terbaik untuk mengeratkan silaturrahim dan ukhuwwah. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasi-serasikan.

Salam kemaafan, salam kasih sesama insan dari diriku(dan suami) dan dari keseluruhan warga Al-Fatih. Blog akan bercuti sementara kerana empunya diri Insya-Alah akan mula bermusafir ke kampung halaman di Johor hari ini. Beriman ketika memandu, jangan hadiahkan tangisan kepada yang tersayang yang menunggu di kampung halaman...

Eid Mubarak...Minal Aidil Wa Faizin....

Friday, September 26, 2008

Kad Raya DIY...

Entry kali ni terlambat sikit, bulan posa ni jadual padat dan mencabar pengurusan masa. 19 september lepas anak-anak Al-Fatih berkreativiti, mereka menyediakan kad Raya untuk ayahanda dan bunda. Anak-anak Al-Fatih memang hebat bab-bab yang melibatkan seni kreativiti. Anak-anak ni fitrah mereka kena selalu ingatkan tentang mentaati ibu bapa. Muga-muga sehingga akhir hayat mereka, anak-anak akan menjadi anak solih yang menggembirakan ayah bunda.

Mak dan ayah tentu tersenyum gembira apabila membaca kad Raya sentuhan anak-anak. Walaupun tulisan mereka tidak secantik yang dijual di kedai tapi apa yang tertulis dalam kad ini lahir dari jiwa anak-anak yang masih suci. Masing-masing begitu bangga menunjukkan kad yang telah siap.

Bila demam Raya dah mula terasa, teacher-teacher pun mulalah rasa glamour sebab masa nilah kita dapat banyak kad raya. Antara banyak-banyak kad yang teacher Nor terima, kad raya dari Adlina cukup mencuit hati. Kad yang dihiasi duit raya ni tertulis serangkap pantun yang cukup menggamit nostalgia zaman kanak-kanak ku. Pecah Kaca Pecah Gelas, Sudah Baca Harap Balas. Dulu-dulu memang tak sah kalau hantar kad raya kat kawan-kawan atau cikgu yang kita admire tak tulis pantun dua kerat ni. Sekarang kita pulak yang dapat dari anak-anak didik.

Tuesday, September 23, 2008

Bersamamu...anak-anak Al-Fatih prihatin

Hari ini 23 Ramadhan, dengan rasminya Tabung Infaq Ramadhan anak-anak Al-Fatih ditutup dan selepas ditotalkan, jumlahnya mencapai RM 800...ALLLAHUAKBAR! Tahniah anak-anak Al-Fatih yang dengan prihatinnya setiap hari membawa syiling dan RM untuk disumbangkan kepada Fakir miskin dan mereka yang memerlukan.

Seperti dijanjikan pada anak-anak ini, mereka sendiri yang akan menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terpilih. Destinasi pihatin pertama hari ini di Kajang. Kami mengunjungi kelurga Makcik Norsiah yang tinggal di Flat Citra, Taman Kajang Utama. Makcik Norsiah yang dipotong kakinya pada bulan April lepas kerana penyakit kencing manis begitu terharu apabila dimaklumkan yang duit sumbangan adalah dari anak-anak sendiri.

Makcik Norsiah yang tinggal di tingkat 4 kini terpaksa menyewa di ground floor kerana tidak mampu naik tangga ke rumahnya. Suami Makcik Norsiah hanya bekerja kilang dan mereka mempunyai 2 orang anak. yang sulung baru mula bekerja di Kilang dan yang ke-2 akan mendudukki PMR tahun ini. Waktu kami sampai, anak lelaki makcik Norsiah tidak ke sekolah kerana perlu menghantar ibunya ke hopsital kajang membuat pemeriksaan. Makcik Norsiah sedang memohon untuk mendapatkan kaki palsu yang berharga RM 8000. Terfikir dibenakku, itukah harga sebelah kaki manusia ?RM8000 ? Begitu besar nikmat Allah yang memberikan kita nikmat kaki..dengan percuma.

Macam-macam soalan yg ditanyakan anak-anak. Ada yang tanya kenapa dengan kaki nenek?, macamana nak mandi?, sakit lagi ke tak ?Makcik Norsiah begitu sabar melayani setiap soalan anak-anak. Selepas kira-kira 45 minit kami di sana, dan menyampaikan sedikit sumbangan, kami pun mohon diri untuk beredar.

Destinasi Prihatin ke-2 ialah di Kilang Papan Bangi. Tentu blogger harian kenapa pulak hantar sumbangan ke Kilang ? Kami dimaklumkan bahawa pondok pengawal di Kilang papan itu merupakan rumahku, syurgaku bagi sepasangan warga emas. Kedatangan kami disambut dengan gembira oleh Pakcik karim dan isterinya. Rumah yang layak dipanggil pondok itu lah yang menjadi tempat berteduh panas dan hujan Pakcik Karim dan isterinya sejak 40 tahun lalu. Pondok pengawal yang telah disambung untuk menjadi dapur itu adalah ihsan towkey kilang papan (Chinese) mengenang kan jasa Pakcik karim yg telah lebih 40 tahun bekerja disitu.

Berasal dari Melaka, Pakcik Karim mempunyai 2 orang anak yang juga hidup susah, jadi Pakcik Karim lebih rela menumpang di pondok pengawal yang telah menjadi syurganya selama ini. Walapun rumahnya jauh lebih kecil dari master bedroom rumah kebanyakan kita, Pakcik Karim begitu ceria dan seronok dengan kehadiran anak-anak. Beria-ia mempersilakan kami masuk ke dalam 'rumahnya', habis semua kerusi yang ada dikeluarkan nak memastikan tamunya selesa.

Bila anak-anak tanya kenapa rumah atuk kecil ? Pakcik Karim menjawab spontan, "Alhamdulillah setakat ini rezeki Allah bagi kat atuk, atuk redha..." Ada juga anak-anak tanya "Atuk balik kampung tak raya?. Jawapan Pakcik Karim "Atuk naik motor buruk je nak...tengoklah sampai mana motor atuk bawak nanti kat situlah atuk raya ..". Sewaktu anak-anak bersalaman untuk balik, Pakcik Karim dan isterinya bersungguh-sungguh berpesan anak-anak supaya belajar sungguh-sungguh ..."jangan jadi macam atuk.. "katanya

Kerana jam telah menunjukkan 11:30, kami terpaksa balik ke tadika, muga-muga anak-anak yang telah terbiasa dibesarkan dengan kemewahan dan serba kecukupan dapat belajar sesuatu dari perjalanan hari ini. bagi kami yang telah dewasa ini ia begitu menginsafkan. Apatah lagi di saat Ramadhan semakin hampir melabuhkan tirainya, kisah Makcik Norsiah dan Pakcik Karim adalah antara ribuan lagi kisah menyayat hati di luar sana yang menjadi ujian keperihatinan dan persaudaraan kita. Prihatinkah kita?

Sunday, September 21, 2008

IFTAR Ramadhan...9

Dalam sibuk-sibuk maksu bergotong royong memasak kat rumah jiran, kat rumah no.5, anak-anak buahku pandai-pandai membawa diri. Hari ni kak In, suaminya (Adi) and my handsome grandson, Haris yang tinggal di puncak Jalil datang untuk join kami berbuka puasa. Chef Lynn hari ni masak mee rebus. Awal pagi tadi lepas ke kedai dan beli bahan mentah maksu terus serah senduk pada Lynn. Maksu kalau Lynn ada memang tak risau, insya-Allah beres.

Bila maksu balik hampir pukul 7 tadi, semua dah siap terhidang atas tikar. Alhamdulillah, murahnya rezeki orang berpuasa, hari ni kami iftar dengan mee rebus dan nasi tomato. Terima kasihlah anak-anak buah ku yang sporting, minta maaf lah tetamu pulak kena masak. inilah hikmah Ramadhan, semua berebut-rebut nak beramal. Masing-masing nak merebut ganjaran pahala menyediakan makanan berbuka untuk orang yang puasa.

Lepas maghrib, Kak In dan Lynn dah bersiap-siap nak balik untuk meneruskan perjuangan masing-masing. Tak puas rasanya dapat sembang kejap aje, tu pun dah berlarut-larut sampai ke kereta sambung lagi, takpe, Insya-Allah kita jumpa lagi syawal nanti di kampung.

Warga 3/5 beramal lagi....

Hari ini giliran warga 3/5 untuk siapkan juadah berbuka dan moreh untuk surau as-syakirin. Seperti yang disyurakan sebelum ini menu kali ni ialah nasi tomato, ayam masak merah dan acar jelatah. Alhamdulillah kali ni warga kerja yang membantu lebih ramai sebab weekend. 14 ekor ayam dan 14 kilogram beras telah dikorbankan untuk diagih-agihkan sebagai hidangan berbuka. Warga 3/5 memang bertuah sebab dikurniakan ramai chef chef berbakat yang air tangan mereka memang susah nak pertikaikan.

Untuk mempercepatkan proses masak memasak, Chef Nor (koordinator 3/5) pagi pagi dah agih-agihkan ayam untuk dibersihkan. Tugas kami cuma menyiapkan menu ayam masak merah dan acar. Nasi tomato gam, kak Raja dengan murah hatinya telah menawarkan diri untuk siapkan. Kami panggil nasi tomato gam sebab version nasi tomato kak Raja siap ada ayam dalam nasi ...memang marvellous, tengok rupa dan hidu bau pun dah cukup menggoncang rasa...

Kurang lebih jam 6:45 ptg, urusan packaging siap dan ready for shipment. Alhamdulillah, hari ni warga 3/5 sehati sejiwa, semua rumah menu sama. Muga-muga usaha semua warga 3/5 ini diterima Allah sebagai amal solih. Credit to all yang telah bertungkus lumus : Chef Norizah, Chef Kak Yati, Yam, Sha, Nora, Yati (PT Ceria) , Kak Raja dan Jehan.

Saturday, September 20, 2008

IFTAR Ramadhan...8

Selang beberapa jam lepas keluarga abang Surip berangkat balik ke Segamat, Johor, rumah kami diziarahi tamu dari Johor juga, kali ni anak buah ku Dek Dah pulak yang berkunjung. Dek Dah datang dengan kak Lynn dan abang Ujangnya.

Lynn dan adik-adiknya ni dah macam anak sendiri padaku, maklumlah ibu mereka kakak kandungku (almarhumah kak Saliha) meninggal dunia ketika Dek Pah berumur 8 thn dan Dek Dah 10 tahun. Melihat mereka membesar di depan mata macam tak percaya anak-anak buah yang dulu dikelek dan diriba kini dah jadi anak dara rupanya....hai terasa betapa dah tak mudanya maksu ni ya...

Alhamdulillah, beruntung jadi maksu ni sebab dulu-dulu masa depa membesar kita dah jenuh jadi tukang masak dan tukang kemas kat dapur, sekarang bila nak-anak buah dah besar, maksu tinggal arah saja. Macam ptg ni maksu dah beli siap siap bahan, serah je kat depa nak masak apa. kalau Lynn datang memang maksu seronok sangat. Masa nak berbuka, tu dia aih...atas meja dah penuh makanan. Sebab tukang masak Johorean, masakan pun ala Johorean. Asam pedas memang tak tinggal, atuk order ikan kering, maksu order kailan ikan masin. Yang lain tu ikut selera diaorang lah pulak.

Hari ni dapat ilmu baru dari Chef Lynn. Once upon a time (can't remember when) me and hubby pernah minum teh layered ni kat Seri Malaysia, Taiping. So bila Lynn offer nak ajar cara buat, kecil tapak tangan gelas ku tadahkan...Lynn kata gelas kena tinggi tapi tulah gelas paling tinggi yng ada kat umah maksu, takpe lepas ni maksu mintak paksu beli gelas lagi tinggi...

Untuk syrup teh layered ni kita guna syrup teh C yang memang dah siap jual kat kedai, tuang je dalam gelas as a base. lepas tu masuk ais dua tiga ketul diikuti susu cair. last sekali kita tuang air teh yg dah dibancuh pekat, kalau nak nampak layer kena guna teh serbuk supaya jadi pekat, tapi kat umah maksu ada teh uncang je...bolehlah jugak...dan inilah hasilnya. rasa dia macam cendol sikit...

So berbuka hari ni memang menongkah arus sebab biasanya rumah maksu tak hidang ais untuk berbuka, Dek Dah dengan Lynn punya pasal, takpelah maksu korban sikit...(.hehehe)

Malam ni sekali lagi mujahadah nak pergi tarawih, semakin nak masuk malam 10 Ramadhan ni makin besar ujian....selepas berhempas pulas menentang nafsu kenyang dan malas, akhirnya aku dan Dek Dah berjaya juga mengheret perut yang kenyang ni dan berjalan kaki ke surau as-syakirin.

Friday, September 19, 2008

Musafir Ramadhan...

Jumaat, 19 Ramadhan 1429H melakar kenangan tersendiri dalam sejarah. Hari ni kami bakal menerima tetamu dari Segamat, Johor. Hari ni Abang Surip (broher in law) suami almarhumah kak Salmah dan keluarga akan datang berbuka bersama kami.

Abang Surip datang bersama tiga anaknya, Nah and family, Mahani and family dan Jali. Sebab abang Surip and geng bertolak lewat dari Segamat so sampai just in time untuk berbuka puasa. Along (Fairuz) dan adiknya Malini yang datang dari Puchong dah sampai awal untuk join kami berbuka. Penuh restoran Phi-Phi dengan keluarga As-Sulaiman malam ni.

Lepas buka dan solat maghrib, kami berbondong-bondong pulak ke KLIA. Thanks Toksu yang jadi pemandu pelancung ke KLIA. Sebenarnya kedatangan keluarga Abang Surip kali ni nak menghantar cucu Abang Surip (anak sulung Mahani dan Mad) Nani Rahayu yang akan berangkat ke Birmingham, Uk untuk menyambung pengajian sarjana nya. Sementara menunggu Ayu check in, kami pun melepak-lepaklah kat KLIA tu, mujurlah pergi dah kenyang, takut betul tengok harga barangan yang dijual di airport tu. Sebotol air mineral yang biasa dijual dgn harga RM0.95 di luar, kat KLIA dah jadi RM 3.90 (exclusive of 5% tx govt.)

Lepas babak air mata dengan sanak sedara yang menghantar dan Ayu pun dah selamat boarding, kami pun beredar. Tapi acara untuk malam ni belum tamat. Knowing Abang Surip , aku btahu hubby supaya singgah di kedai Hj Tapah untuk acara mengeteh. Seronok betul Abang Surip dapat teh tarik dengan roti tempayan, yang lain-lain pun masa kat airport tadi nampak bukan main layu bila sampai kat Hj Tapah nampak cerah balik.

Macam-macam style, aku yang tak pernah makan roti pisang pun tergoda tengok si Alqy makan roti pisang..lepas pekena teh tarik, barulah kami beredar ke 3/5 untuk berehat. Sebab semua dah kepenatan, terus je acara cari bantal dan toto dimulakan.

As tuan rumah, aku tidur paling awal dan bangun pun kenalah paling awal. Pagi ni aku dah plan nak siapkan nasi lemak untuk tetamu. Rugi betul tak dapat snap gambar kami bersahur pagi tu, bukan main panjang bentang tikar kat lantai. Seronok tengok Jali makan bertambah dua tiga kali. Jali anak sedaraku yang masih membujang ni kata dah lama tak makan nasi panas masa bersahur. Hai Jali kenalah cari calon lebih intensif lepas ni, supaya ada orang masakkan nasi panas...

Esoknya lepas masing-masing bangun tidur, kami bersembang melepas rindu, maklumlah dah lama betul tak jumpa keluarga Abang Surip ni. Dalam pukul 12 tengahari mereka pun bertolak balik ke Johor. Sebelum balik Shah menyelongkar kereta mencari tiket tol yg hilang masa di plaza tol KLIA malam tadi, sebab nak cepat kenalah bayar RM 40++ sebab hilangkan tiket. Alhamdulillah jumpa, so bolehlah singgah di plaza Tol Nilai minta reimbursement buat bayar tol balik Johor.
Alahmdulillah, walaupun sekejap cuma , kesudian Abang Surip bersama anak dan cucu bermalam di rumah kami adalah penghormatan buat aku dan suami. Awal Nov nanti anak Mahani ada konvo di GMI, Bangi, so nak datang tidur sini, silakan....Paksu dan Maksu memang always welcome tetamu kat rumah kami ni. Mudah-mudahan bertambah tambah rahmat dengan kehadiran tetamu.

Untuk cucuku Nani Rahayu: Toksu berdua mendoakan kesejahteraan Ayu di rantau orang..Selamat meneruskan Perjuangan.

Wednesday, September 17, 2008

IFTAR Ramadhan...7

Pada peringkat umurku sekarang, aku menyakini bahawa tiada jalan pintas untuk mencapai silaturrahim. Ianya ibarat sebuah kisah percintaan yang memerlukan dua pihak untuk menjayakannya. Iftar kami hari ini lebih dari sekadar sebuah iftar biasa ...hari ini iftar kami iftar silaturrahim. Sewaktu menerima sms dari Nawal (hubby's sister), naluri untuk berbuka bersama di rumahnya di TTDI Jaya, Shah Alam lebih dari sekadar memenuhi undangan berbuka puasa tapi juga menyantuni nilai persaudaraan.

Walaupun fitrah Ramadhan itu dalam keadaan biasa membataskan aktiviti ziarah, tapi aku dan hubby mengambil kesempatan ini untuk melebarkan sayap persaudaraan kurniaan Illahi. W/pun bukan yang pertama, alhamdulillah kami sampai awal di rumah Nawal. Master Chef (Kak Izar, my dearest sister in law yg tinggal di Tanjung Malim) dah beat kami untuk jadi tetamu merangkap co-host yg terawal sampai .

Kak Izar dah masak siap-siap dari rumah dan bawa ke rumah Nawal untuk dikorbankan. So aktiviti petang tu lebih kepada menyiapkan aksessori mee rebus. chef undangan dapatlah menyumbangkan puding sagu untuk tambahan pemanis mulut.

Iftar jamaie dengan saudara mara is always my favourite. Apatah lagi aku memang datang dari keluarga besar yang rajin makan ramai-ramai. Lagi tak cukup lagi sedap makan. Memang tak sama nikmatnya dengan makan di hotel walaupun lauk melimpah ruah.

Seronok betul tengok masing-masing bersilang tangan nak merasai kelazatan mee rebus kak Izar. Nasi dengan tomyam yg tuan rumah sediakan dah tak ada orang pandang dah. Walaupun sebelum tu hubby menyakat orang Jawa berbuka makan nasi (aku dan suami berkahwin silang bangsa, JJ vs MP (Jawa Johor dengan Melayu Perak..) tapi malam ni JJ pun tak sentuh nasi sebab dah terkena badi mee rebus Tg Malim.
Lepas solat maghrib berjamaah, kami pun duduklah catching up (my hubby terminolgy for this activity) sambil menyambung jejak iftar yg berbaki tadi. Bertambah meriah bila Azrul (anak sulung kak Izar) & Wife datang bersama anak sulungnya yang juga cucu sulung kak Izar. Hai betuahnya jadi Opah dan Wan muda-muda ni . Masih kuat nak dukung cucu.

Penutup malam ni kami dihidangkan pulak dengan cempedak Kerling yang Kak Izar bawa tu belum campur lagi tat nanas pra- Raya yang Nawal hidang, aduh...agaknya perut pun menjerit..mana nak taruh ni..akhirnya kami pun minta diri nak balik sebab perjuangan masih panjang. Sebelum balik BSP, kami hantar anak buah hubby balik ke UM, PJ. Walaupun malam tu kami mujahadah solat tarawih sebab kepenatan dan kekenyangan, namun demi sebuah rahmat persaudaran, given a chance...we'll do it again ..insya-Allah.

Monday, September 15, 2008

IFTAR Ramadhan...6

Hari ni 'cuaca' masih 'mendung dan berjerebu'...tak rasa nak berbuka sorang-sorang, so bila Chef Ina dengan Yan pelawa berbuka dengan diorang di rumah bujang mereka di Flat Seri Melati memang aku tak lepas peluang. (btw, lupa mention Ina dan Yan ni adik beradik se-ibu se-bapa). Walaupun rumah bujang tapi menu special, kalau tak takkan children Al-Fatih panggil Chef Kak Ina.

Hari ini Ina hidang nasi ayam lengkap dengan salad dan air sarsi. Walaupun tetamu cuma aku dan Zai (pembantu guru Al-Fatih) tapi Ina masak macam nak makan satu sekolah. Alhamdulillah bertuah betul siapa jadi suami Chef Ina nanti, Insya-Allah tak lapar...Yan dengan Zai hari ni OT jaga daycare, bila sampai terus siapkan buah-buahan yang teacher nor bawak dan hidangkan makanan. Al-Fatih memang bertuah betul dapat staff budak dua beradik ni, boleh di bawa ketepi ketengah. Cekap kat sekolah, cekap kat rumah. Thumbs up untuk Pak kasad dgn Makcik Mah yang dah membesarkan anak dengan baik.

Lepas buka, kami solat maghrib berjamaah. Semuga Allah kukuhkan tautan hati antara kami dan kekalkan kami dalam suasana berkasih sayang yang abadi.

Sunday, September 14, 2008

IFTAR Ramadhan...5

Maha Suci Allah, besar sungguh rahmatMu Ya Allah, ketika engkau tahu aku sedang bersedih, Kau kirimkan saudaraku untuk menggembirakan ku. Rumah 3/5 hari ini dikunjungi tetamu dari Bandar Puteri, Puchong.

Dapur yang dah lama sepi hari ini menjadi meriah dengan juadah yang disediakan untuk memuliakan tetamu yang datang. Maklumlah tetamu Ramadhan. Lagipun yang datang ni bukan calang-calang tetamu. Lynn dan Ujang ~ tukang masak yang biasa menyediakan makanan untuk pengunjung restoran. So sambil masak memang tak lepas peluang minta tips dari chef sekali.

Resepi berbuka hari ni Seafood Platter style ~ Buttered Prawn with egg floss, Rendang Kerang dan kangkung goreng ikan masin. Untuk pembuka bicara ~ Cempedak Tg Malim Goreng bingkisan dari my dearest sis in law (kak Izar). Dah dua hari simpan cempedak kat rumah, saja nak ambil aromanya yang menghiris rasa. Lynn beritahu dia memang tengah cari cempedak so bila masuk rumah maksu bau cempedak, memang dia happy sesangat. Rezeki Ramadhan ni memang penuh dengan hikmah yang tersembunyi.

As usual penutup acara hari ni solat tarawih di surau As-Syakirin. Malam ni hujan lebat so suasana dalam surau sangat nyaman dan syahdu, Macam terbau-bau wangi Lailatul Qadar...

Saturday, September 13, 2008

Nakba Palestine...

Aku percaya 100% tidak ada manusia yang waras di dunia ini yang tidak akan tersentuh hatinya melihat gambar di bawah..tapi sedarkah kita bahawa situasi seperti ini seolah olah sudah menjadi pemandangan biasa di Palestin. Anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa muncung senapang dan ledakan bom syaitan bertopengkan manusia.

Sejarah perjuangan membebaskan Palestin dari penjajahan terang-terangan dan kurang ajar Israel telah bermula seawal tahun 1946. Dan sehingga kini rakyat Palestin masih istiqomah dengan jihad membebaskan Al-Quds dari Israel dan zionis.

Walaupun sudah banyak kali aku menghadiri program berkaitan Palestin namun kerana isu ini begitu berkait rapat dengan akidah, maka pagi tadi aku berjihad melawan nafsu yang mengajak berehat-rehat hujung minggu untuk menghadiri program Nakbah Palestin (btw nakba bermaksud - The 1948 Palestinian exodus (Arabic: الهجرة الفلسطينية‎, al-Hijra al-Filasteeniya), better known to by most People in the world, Palestinians and Arabs as the Nakba (Arabic: النكبة‎), meaning the "disaster", "catastrophe", or "cataclysm,"[1][2][3] refers to the creation of the Palestinian refugee problem during and after the 1948 Palestine war.)

Nakbah Palestin di Surau An Najah, Taman Universiti, Sg Tangkas disampaikan oleh Puan Noorazian Anidin. Alhamdulillah, kehadiran kaum ibu Taman U menunjukkan mereka juga terpanggil dan ingin mendalami isu ummah sejagat ini.

Perjuangan membebaskan palestin memang sepatutnya menjadi agenda umat Islam di seluruh muka bumi Allah ini. Redhakah kita melihat Israel yang dilaknati Allah meruntuhkan Masjid Al-Aqsa yang merupakan masjid ketiga termulia selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Israel tidak berhak walau seinci pun ke atas bumi Palestin, ini bumi para anbiya' yang diwariskan kepada umat Islam, ini kiblat pertama umat Islam. Mendidihnya darah bila tengok video anak-anak dan wanita Palestin ditembak dari jarak dekat. Meluap-luap kemarahan melihat rumah dirobohkan sesuka hati, dan betapa biadapnya mereka membina tembok di atas runtuhan rumah rakyat Palestin . Naik bulu roma melihat semangat jihad anak-anak muda bersenjatakan batu berhadapan kereta kebal dan muncung senapang askar Israel yang berhati syaitan...dan akhirnya semua yang hadir tidak dapat menyembunyikan esak tangis bila Puan Azian sendiri dengan sebak membacakan kenyataan wakil Palestin yang menanyakan di mana saudara Islam mereka bilamana mereka berjuang membebaskan Masjidil Aqsa dan bumi anbiya'.

Terasa beratnya bahu ini memikul soalan itu..."Jikalau kami gugur syahid dan anda sekalian terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut dari Allah di atas kelembapan anda semua. Kami tidak akan redha terhadap kelesuan dan kebisuan anda semua. kami tidak akan memaafkannya."

Astaghfirullah, di mana kita, di mana aku ? Untuk berjihad membaling batu aku tidak mampu, namun paling kurang aku/kita boleh membantu dengan mendoakan mereka. Mahal sangatkah harga Doa ku/kita ? Ramadhan ini banyakkan Doa untuk mereka dan tindakan lain yang boleh kita buat ialah boikot barangan Israel atau sekutunya, for list of Israeli products, you may refer here . Paling tidak pun Ramadhan ni kita banyak berjimat sebab makan pun dah kurang, so bolehlah infaq ke Tabung Palestin.

Alhamdulillah, thank you Allah menggerakkan iman ku untuk bersama saudaraku dalam program ini. Thank you Yan yang setia menemaniku ke mana jua. Thank You hubby yang tanpa izinnya tak mungkin aku ke sini. Semuga kita semua tidak termasuk golongan yang dituntut di hari pembalasan kerana tidak berbuat apa-apa. Wallahualam.

Friday, September 12, 2008

Ramadhan Race....

Hari ni buka puasa sorang-sorang, mula-mula ingat nak berbuka puasa di surau As-Syakirin je, everyday memang ada juadah berbuka disediakan ihsan warga Melati dan Putra Terrace. Tapi bila singgah kedai tengahari tadi teringin pulak nak makan kuew tiow goreng dan sotong tempura.

Tengah goreng tempura, Ina datang hantar cendol Seri Menanti...Alhamdulillah, murah betul rezeki orang puasa ni, complete lah hidangan buka puasa 12 Ramadhan ku, ada kurma, ada cendol, ada pisang jiran depan bagi, ada kuew tiow dan sotong tempura.

Sejak Ramadhan ni aku bergilir-gilir solat tarawih antara KUIS dan Surau As-Syakirin. Hari ni rasa nak solat tarawih di masjid al-Azhar KUIS, maybe sebab weekend tak berapa ramai student, so cuma tinggal 3 saff saja, tak meriah macam biasa. Hari ni pergi dengan teacher Yan, memang I make a point to jemput and hantar dia dari rumah sewanya. Bila dah jadi majikan ni kenalah lebih prihatin.

Teringat kata-kata Helina masa kami lunch di UNIKEB, dia memang strict bab solat staff. Kalau ada staff yang tak solat, dia akan tegur dan ingatkan, jika tak berubah selepas beberapa kali peringatan akan diterminate. Sebab Helina kata "Saya tak nak rezeki yang saya dapat tak berkat sebab ada staff yang tak solat..." Masya-Allah berani dan tegas betul pendirian Helina ttg bab solat ni. Kena belajar dari dia, no wonder perniagaan mereka begitu cepat berkembang...

Diam tak diam dah 12 Ramadhan. Kena buat mutabaah amal ni. Takut leka dengan dunia, tak sedar dunia meninggalkan kita. Bila tengok checklist mutabaah amal terasa betapa jauhnya aku tertinggal dalam mencari rahmat dan keampunan Allah. Tadarus masih jauh dari target, liatnya nak bangun Qiamulail, sedekah ku ...cukupkah apa yang telah ku infaq kan selama ini ? Hadith 40 belum hafal, buku-buku Fiqah tak buka lagi...ish takut nak menyebut yang lainnya...

Ya Allah, bantulah hambamu ini, berikan kekuatan dan istiqomah kepadaku, aku mahu menjalani 20 malam terakhir Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya Ya Allah. Ameen.

Tuesday, September 9, 2008

Projek IFTAR Putra Terrace 3/5...

Alhamdulillah benar janji Allah bahawa Ramadhan ini Allah janjikan rahmat pada permulaanya, keampunan pada pertengahannya dan pembebasan dari api neraka pada penghujungnya. Di bulan Ramadhan ini kita akan dapat melihat umat Islam mengerumuni masjid dan surau seperti kelkatu menghurungi lampu di waktu hujan, usai hujan, maka kelkatu juga hilang entah ke mana. Mudah-mudahan kita umat Islam tidak jadi kelkatu...

Bulan Ogos 2004, dengan rasminya aku dan suami berdaftar sebagai warga putra Terrace 3/5. Alhamdulillah suasana kejiranan di sini cukup kondusif. Majoriti warga 3/5 adalah pemilik rumah, walaupun ada yang menyewa dan bertukar ganti namun keharmonian kejiranan ini cukup menyenangkan.

Hari ini kami berkumpul di rumah Norizah untuk bergotong royong memasak juadah berbuka dan moreh untuk dihantar ke surau As-Syakirin berhampiran Putra Terrace. Dalam mesyuarat sebelum ni dah dipersetujui kutipan dana akan dibuat dari seluruh warga muslim Jalan 3/5 dan kaum Ibu diberi tanggungjawab menyediakan menu mengikut giliran.

Hari ni 9 Ramadhan, giliran 3/5 siapkan juadah iftar. Lepas balik Tadika tengahari tadi, aku terus je ke rumah Nor untuk membantu setakat yg mampu. Nor memang chef kat jalan 3/5, dibantu oleh assistant chef (Kak Yati). Teman tolong-tolong kacau senduk dalam periuk bolehlah. Menu kali ni pulut kuning dengan kari daging.

Seronok betul dapat bergotong royong kali ni, sebab kami pun dah lama tak berkumpul. Habis semua topik kita cover sekali..special betul kaum wanita ni, boleh buat 2-3 kerja dalam 1 masa, sambil bersembang, sambil masak kari, sambil kukus pulut, sambil buat packaging. Siap packing 150 pulut kuning dah dekat pukul 6:45, nampaknya tak sempatlah aku masak hari ni, terpaksa SOS kat suami minta ihsan beli juadah berbuka di Bazar Ramadhan. Giliran kali ni sebab weekdays, kami masak yg sederhana berat je...dengarnya sekali lagi giliran weekend bolehlah masak resepi special.

So there goes my siang of the 9th Ramadhan, mudah-mudahan amal yang sekelumit ini diterima Allah sebagai amal solih.

Monday, September 8, 2008

IFTAR Ramadhan...4

Alhamdulillah, hari ini Birthday gentleman belanja iftar di Puri Pujangga (UKM). As usual, when it comes to my hubby, there's no saja-saja program, misi kali ini ialah nak buat food testing as my other half ada projek mega di Puri Pujangga soon.

We reached there about 6:45p.m, hari ni pengunjung tak ramai, so dengan santainya kami dapat meninjau-ninjau suasana persekitaran dan menu yg dihidangkan. Not bad dengan harga yang ditawarkan. Sangat sesuai bagi yang ingin menikmati buffet Ramadhan dalam aura yang tenang. Moto Puri Pujangga pun comel ~ An Oasis of Serenity~ ...Maybe UKM don't intend to commercialized tempat ni, sebab tu maintenance kurang diberi perhatian. Teringat tak lama dulu PM Malaysia pun pernah tegur pasal kelemahan maintenance dlm sektor awam. Well either it's not a priority or memang attitude?


Usai berbuka, kami pun beredar untuk mengejar waktu solat tarawih. My comment : Bagi yang mencari medium budget buffet utk belanja keluarga atau kawan-kawan, Puri Pujangga is one alternative. Lokasi pun senang cari dan tempatnya agak damai especially weekdays. Amaran: Hidangan yg disediakan sesuai dengan tekak Melayu, so kalau anda international taste maybe kena cari tempat lain.

Tahniah Teacher NurulMukmini dan Saleh..


Alhamdulillah, Ramadhan 1429H menambah seorang lagi ahli keluarga Al-Fatih. Tahniah untuk teacher Nurulmukmini dan suami (Saleh) yang baru menerima kehadiran cahaya mata sulung, a baby boy yang diberi nama Muhammad Nur Irfan.

Petang tadi staff al-Fatih buat rombongan ke Nilai untuk menziarah anak sedara baru kami ni. Nurul dan baby baru keluar dari Hospital Seremban semalam sebab baby kuning. Alhamdulillah waktu kami sampai Ibu dan baby nampak sihat dan ceria. Walapun makcik-makcik riuh bersembang, Irfan relax je tidur....maybe dah biasa kot, maklumlah Irfan dah mula mengajar budak-budak tadika sejak berumur 3 bulan lagi....

To Nurul dan Saleh, selamat menempuh pengalaman baru menjadi Ibu dan Ayah...kak Nor dan pakcik yakin Nurul dan Saleh mampu menggalas amanah ini dengan baik, insya-Allah.

Sunday, September 7, 2008

Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung ..

Dah lama aku terlupa tentang buku ni, tapi tadi sewaktu sedang menyelongkar himpunan buku-buku yang belum sempat dibelikan kabinetnya, terjumpa pulak buku yang satu ini. Buku ini pertama kali dicetak dalam tahun 2003 dan sehingga August 2008 ia telah di ulang cetak sebanyak 7 kali...Alhamdulillah

Why is this book so special to me ? Panjang kisahnya, namun yang pasti ia melakar kenangan tersendiri dalam sanubariku selamanya insya-Allah. Sekiranya secebis sumbangan yang ku hulurkan mampu menjadi iktibar maka itulah rahmat Allah yang terindah..

Selamat menyambut Ulangtahun Jubli Emas My Dearest hubby...



Saturday, September 6, 2008

SOGO Craze....

Plan asal sebenarnya nak jalan-jalan cari baju di Jalan TAR dengan Yan, tak sangka pulak terperangkap dengan business trick SOGO...lepas turun komuter di stesyen Bandaraya, untuk ke Jalan TAR kami biasanya pass through SOGO. Tapi kali ni kena tahan pulak dengan security kat pintu tu...

La...rupanya hari ni Sale Preview untuk SOGO member sahaja, bila kami jengah kat dalam tu punyalah ramai manusia, entah macamana kami tukar fikiran pulak nak tengok apa yang sale sangat tu...Pandai SOGO, siapa nak masuk kena apply membership. Sorang RM12, entah berapa SOGO buat duit untuk 3 hari Sale Preview.

Ya Allah, ramainya lautan manusia kat dalam tu...rasanya kat setiap inci ruang dalam SOGO tu ada manusia berdiri. Bukan orang Melayu je yang sibuk berbelanja nak Raya, bangsa lain pun ikut mengambil kesempatan. Inilah gambaran keharmonian dan kemewahan masyarakat majmuk Malaysia .

Bila dah ramai macam tu, stress betul nak memilih barang. Dahlah tu kat every Cashier punyalah panjang manusia beratur nak membayar. Sampaikan nak try pakaian kat changing room pun kena beratur...ini betul betul Hari Beratur Sedunia. Tengah lenguh-lenguh kaki tukar beratur dengan Yan, ada pulak orang datang dekat kami tersengih-sengih..ehh macam kenal je.....la rupanya Fathiyah and hubby, Bad (anak buah suami) tengah shopping jugak kat Sogo. Untung Fathiyah tak yah beratur panjang, depa pakat mencelah je kat depan kami...

Sambil sembang dengan Bad, kami terfikir jugak kalau buat bisness bagus ni, ambik upah beratur nak bayar...bulan ramadhan ni sure ramai yg tak larat berdiri lama, kalau kami offer sekali beratur RM5-10, rasanya ramai yg prefer bayar lagi daripada stress berdiri almost 30 minit.

Orang yang shopping memang seronok tapi kesian yang menunggu. Bermacam karenah dan gaya, inilah antara aksi yg sempat dirakamkan oleh lensaku..Biasanya kaum Bapaklah yang paling 'menderita' bila menjelang Syawal ni, dahlah poket kemarau ..masa tu jugaklah jadi 'driver' dan 'tukang angkat barang'...sabar ya kaum lelaki kalau anda sabar dan ikhlas, insya-Allah besar ganjarannya. kan Rasulullah pesan. .." Yang paling baik diantara kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya dan Aku ( Rasul ) yang paling baik terhadap keluargaku..."
Dalam komuter masa nak balik, sambil melayan kaki yg lenguh aku berfikir adakah ramainya lautan manusia yg keluar shopping ni menunjukkan masyarakat kita masih mewah dan tak terjejas dengan kenaikan harga minyak dan barang.

Atau memang mereka terpaksa berbelanja demi memenuhi tuntutan adat yang mengatakan Hari Raya kena serba baru. Sambil beratur tunggu nak bayar, aku perhatikan satu keluarga at least membayar RM 500, itu baru satu floor, belum tempat lain lagi. And mostly depa bayar pakai credit card. Rasanya aku dgn Yan je yg bayar cash , maklumlah orang lain letak barang penuh kaunter, kami ...(hehe nak cakap pun segan)

Apapun, ini hanya perkongsian rasa salah satu senario yang berlaku sempena Ramadhan dan menjelang Syawal and I happened to be at the wrong place at the right time....

Thursday, September 4, 2008

IFTAR Ramadhan...3

Hari ini, 4 Ramadhan... aku dan suami bermusafir ke Negeri Sembilan untuk menghantar mak ke rumah Abang Saleh di Ladang Risda Palong. Hujan lebat mengiringi sepanjang perjalanan kami dari Bandar Seri Putra ke Kuala Pilah. Subhana-Allah indahnya pemandangan sebaik sahaja memasukki area Bukit Putus. Bagi yang biasa ke N9 tentu tahu betapa mencabarnya jalan Bukit Putus ni, mujur semalam kami keluar awal untuk mengelakkan kesesakan bila orang mula rush untuk balik berbuka.

Sempat juga kami singgah di Bazaar Ramadhan Batu Kikir sebab mak teringin nak makan lomang paneh tapi kan habis sepanjang bazaar tu kami jalan tak ada bayang lomang pun, agake orang nogori tak makan lomang bulan poso ni, alang-alang dah sampai tu kami cari sekali buah tangan untuk tuan rumah....kebetulan pulak terbeli murtabakdan kuih tako yg rupanya paling popular kat Batu Kikir tu. Info ni dapat kemudian dari teacher Yan yang dulu sekolah kat Batu Kikir. patutlah den makan memang sodap murtabak tu...

Kesian suamiku, kepenatan drive sempat lolap mato beberapa minit sebelum azan kedengaran. Hari ni macam kebetulan je kak Midah masak sup ikan merah yang memang one of me and hubby's favourite. Sambil makan tak kering gusi kami dengar Haikal bercerita tentang pengalamannya pergi solat tarawih. kecik-kecik dah pandai auta anak jantan abang Saleh yang sorang ni...sebijik macam ayahnya..ialah (ke mana tumpahnya kuah sup ikan kalau tak ke nasi kan? )
lepas solat maghrib dan bersembang lebih kurang dengan kak midah, kami terpaksa minta diri kerana perlu balik semula ke BSP. Alhamdulillah perjalanan balik lebih mudah kerana hujan telah berhenti, walaupun letih dan penat tapi rasa lega sebab dapat menunaikan hajat mak nak berpuasa dengan anak lelakinya pulak.

Wednesday, September 3, 2008

IFTAR Ramadhan...2

Setiap tahun seboleh mungkin Al-Fatih Management akan cuba meraikan staff dengan IFTAR bersama. Tahun ni kami buat awal. Alhamdulillah IFTAR kali ni semua staff hadir bersama keluarga. (kecuali Teacher Nurul yang cuti bersalin). Selari dengan saranan dalam banner KURANGKAN JUADAH, LEBIHKAN SEDEKAH...menu kali ini sederhana sahaja. Selain main dish yg disediakan oleh Chef Kak Ina - Nasi , Ikan bakar cicah kuah asam, ayam masak merah dan sayur ada juga appetizers sumbangan staff Al-Fatih - kurma, kuey tiow goreng kerang, kuih karipap, puding karamel dan agar-agar santan.

Seawal pukul 6:45 semua staff dan keluarga dah mula berkumpul, yang bapak-bapak mengambil peluang untuk bertaaruf dan bertukar-tukar kad. Yang Ibu-ibu tentunya mengambil tempat di dalam untuk menyiapkan juadah. Selepas berbuka puasa dengan juadah ringan, kami solat maghrib berjamaah dan diikuti dengan acara makan nasi. Lepas makan masing-masing pun bersurai untuk berkejar mengerjakan solat tarawih.

Setinggi kesyukuran kepada Allah yang memberi ruang untuk berukhuwwah, penghargaan dan terima kasih kepada semua staff dan keluarga yang hadir, muga-muga Ramadhan Mubarak memberikan suntikan untuk kita lebih motivated dan committed mendidik anak-anak.

Monday, September 1, 2008

IFTAR Ramadhan...

Dulu-dulu hari pertama Ramadhan ialah hari yang paling ditunggu-tunggu, sebab ini adalah antara masa di mana almost seluruh ahli keluarga besar As-sulaiman akan berusaha untuk berkumpul dan beriftar bersama. Msa tulah berbagai jenis juadah akan terhidang di atas lantai.. (mana muat meja dah masa tu...at least 30 orang berkumpul...)

Tapi kini ..ialah ibarat iklan kat TV tu... zaman dah berubah, dunia dah makin maju. Arus perubahan itu telah tanpa dirancang turut menukar banyak gaya hidup keluarga kami. Ramadhan 1429Hijrah melakar sejarah bagiku kerana inilah kali pertama aku akan menyambut Ramadhan berdua dengan mak jauh dari kampung halaman dan saudara mara..

Alhamdulillah, bertepatan dengan ucapan Ramadhan Kareem (generous Ramadhan), kami mendapat khabar gembira bahawa Intan dan Sal akan datang untuk berbuka bersama kami. Jadi 1st Ramadhan kami tidaklah sepi lagi, untuk tidak menghampakan hajat mak, ku masakkan ayam masak kicap as-Sulaiman style, muga-muga dapat mengubat sedikit kerinduan mak pada kampung halaman dan rumah pusaka yang ditinggalkan.

Terima kasih Sal dan Intan yang sudi bertamu, mudah-mudahan kegembiraan dan rahmat yang dibawa tetamu akan lebih menyerikan Ramadhan di rumah kami.